Mendirikan Sembahyang Jumaat di Surau Bolkiah Garison
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita dipohonkan penjelasan mengenai beberapa permasalahan abis kaola seperti yang termaktub di bawah ini:
Kementerian Pertahanan sedang membuat perancangan untuk mendirikan surau baru di Bolkiah Garison.
Persoalannya, bolehkah didirikan sembahyang fardhu Jumaat di dalamnya, di mana surau ini terletak berhampiran dengan Kampong Perpindahan dan Kampong Burung Pingai Berakas?
Untuk perhatian jua bahawa orang ramai adalah dibenarkan masuk ke dalamnya. (Di luar kawsan terkawal)
Di atas penjelasan, fatwa dan seranan Pehin mengenai masalah-masalah di atas ini terlebih dahulu abis kaola mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga Allah akan sentiasa memberikan hidayah dan rahmatNya kepada kita semua, Amin.
Jawapan: Di antara syarat-syarat sah sembahyang Jumaat itu ialah tidak berhimpun dua sembahyang Jumaat pada satu tempat, di samping cukup 40 orang Islam lelaki, ‘âqil bâligh, merdeka dan mustauthîn (diam kekal di suatu tempat didirikan sembahyang Jumaat itu).
Adapun kita timbulkan perkara tidak berhimpun dua Jumaat pada satu tempat ialah kerana merujuk kedudukan surau Bolkiah Garison dengan Masjid Sufri Bolkiah, Kampong Perpindahan Berakas, adakah kedua-duanya itu berada di suatu tempat atau kawasan yang sama? Jika ya, maka sembahyang Jumaat tidaklah boleh didirikan di surau Bolkiah Garison itu, walaupun orang-orang di luar kawasan surau Berakas Garison itu dibenarkan masuk untuk bersembahyang Jumaat di surau itu. Kemudian persoalan ‘mustauthîn’. Siapakah yang dinamakan orang-orang mustauthîn itu? Adakah anggota-anggota tentera, pegawai-pegawai awam dan pekerja-pekerja di Berakas Garison itu penghuni tetap dan kekal duduk atau menetap di situ? Jika inilah hakikat mereka itu, maka harus dan sah mendirikan Jumaat. Ataukah mereka itu hanya orang-orang yang datang dan tinggal buat sementara kerana tugas atau pekerjaan, di mana setelah sampai masanya kelak mereka akan pulang juga semula ke kampung asal atau ke rumah tetap masing-masing? Jika ini pula keadaan dan hakikat mereka, maka tidaklah harus mendirikan Jumaat, kerana di antara syarat sah sembahyang Jumaat itu hendaklah mencukupi 40 orang lelaki ‘âqil bâligh, merdeka dan mustauthîn.
Walau bagaimanapun oleh kerana perkara mendirikan sembahyang Jumaat itu ada peraturan-peraturannya yang tertentu di negara ini selain daripada syarat-syarat sah Jumaat, maka perlulah ia dirujukkan lebih dahulu kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid atau Majlis Ugama Islam Brunei.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8887
