Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Mendirikan Sembahyang Jumaat Di Surau Penanjong

Soalan: Sejak tahun 1991, Penanjong Garison di Daerah Tutong telah mempunyai sebuah Suraunya sendiri untuk kemudahan anggota-anggota tentera mengerjakan sembahyang lima waktu dan juga acara-acara keagamaan.

Sejak surau berkenaan didirikan sehingga ke hari ini, ia tidak dapat digunakan untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat. Anggota-anggota tentera yang tinggal di Garison ini terpaksa bersembahyang di masjid-masjid yang berdekatan di sekitar Garison ini seperti di Masjid Kampung Penanjong, Masjid Keriam, Masjid Kampung Bukit Panggal ataupun di Masjid Pekan Tutong.

Bagi anggota-anggota yang memiliki kenderaan sendiri perkara ini tidaklah merupakan satu masalah besar. Bagi anggota-anggota yang tidak memiliki kenderaan sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada kenderaan tentera maka mereka akan mengalami masalah seandainya kenderaan tentera tersebut digunakan di tempat lain. Masalah ini juga akan bertambah rumit memandangkan kebanyakan kenderaan tentera yang tersedia ada kini sudahpun lama dan sering tidak dapat digunakan akibat mengalami kerosakan dan ketiadaan barang ganti.

Masjid-masjid yang dikunjungi oleh anggota tentera untuk bersembahyang Jumaat pula selalunya didapati kurang berkemampuan untuk menampung kadar jemaah yang bertambah, terutama sekali dengan kehadiran lebih kurang 500 orang rekrut, askar muda beserta dengan jurulatih mereka.

Oleh itu dipohonkan pertimbangan serta khidmat bakti untuk meluluskan Surau Penanjong Garison dinaikkan tarafnya bagi membolehkan sembahyang fardhu Jumaat dikerjakan di surau ini.

Seandainya kelulusan diberikan, orang awam yang tinggal berdekatan Penanjong Garison juga akan dibenarkan masuk ke dalam perkhemahan mulai 10.00 pagi hingga 14.30 petang dan Surau Penanjong Garison akan dibukakan kepada orang ramai agar kemudahan ini dapat dirasakan bersama.

Dengan adanya pertimbangan serta khidmat bakti ke atas perkara ini, mudah-mudahan akan dapat memudahkan anggota-anggota tentera di Penanjong Garison menunaikan ibadat fardhu ‘ain ini.

Jawapan: Di antara syarat-syarat sah Jumaat itu ialah tidak berhimpun dua Jumaat pada satu tempat, di samping cukup 40 orang Islam lelaki, ‘âqil bâligh, merdeka dan mustauthîn (diam kekal di suatu tempat didirikan Jumaat itu). Dalam makna yang lain 40 orang itu terdiri daripada ahli Jumaat yang sah sembahyangnya.

Ditimbulkan perkara tidak berhimpun dua Jumaat pada satu tempat ialah mengambil kira serta merujuk kedudukan Surau Penanjong dengan Masjid Penanjong, jika kedua-duanya itu berada di suatu tempat yang sama yakni Kampung Penanjong, maka sembahyang Jumaat tidaklah boleh didirikan di Surau Penanjong.

Adapun jika Surau Penanjong itu terletak di luar kawasan atau di luar Kampung Penanjong dan tidak ada penduduk kampung yang bermustauthîn yang tinggal berhampiran dengan kawasan Surau Penanjong itu, walaupun orang-orang yang di luar kawasan Surau Penanjong itu akan dibenarkan untuk bersembahyang Jumaat di situ (Surau Penanjong), namun mereka itu bukanlah orang-orang bermustauthîn sebagaimana juga anggota-anggota tentera, pegawai-pegawai awam atau pekerja-pekerja yang tinggal di Penanjong Garison yang bukan mustauthinîn atau orang-orang yang bermustauthîn. Mereka itu lambat laun akan pulang juga ke kampung atau ke rumah tetap masing-masing, sedangkan di antara syarat-syarat sah Jumaat itu, mereka atau ahli Jumaat itu hendaklah orang-orang yang bermustauthîn di tempat di mana didirikan sembahyang Jumaat itu.

Oleh yang demikian tidaklah sah sembahyang Jumaat di Surau Penanjong, jika Surau Penanjong itu terletak di tempat yang sama yang ada didirikan sembahyang Jumaat di situ, iaitu Masjid Kampung Penanjong, sebagaimana juga tidak sah sembahyang Jumaat di Surau Penanjong sekiranya orang-orang yang sembahyang itu bukan terdiri daripada 40 orang ahli Jumaat di kawasan atau tempat didirikan Jumaat itu. Maka dalam hal ini walaupun penduduk Kampung Penanjong akan dibenarkan untuk bersembahyang Jumaat di Surau Penanjong bersama-sama dengan anggota-anggota tentera di situ, namun kawasan Surau Penanjong itu bukanlah tempat mustauthîn orang-orang Kampung Penanjong itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8894