Menegah Buruh Asing Berkahwin Dengan Wanita Tempatan
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzimnya sukacita kaola memohon fatwa dan juga nasihat daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin mengenai dengan isu perkahwinan di antara warganegara asing (lelaki) dengan warganegara/penduduk tetap Brunei (perempuan).
Jabatan Imegresen dan Pendaftaran kebangsaan telah diberi makluman bahawa pada masa ini telah berlaku masalah sosial berhubung dengan perkahwinan di antara lelaki berwarganegara asing dengan perempuan yang berwarganegara Brunei atau dari kalangan penduduk tetap negara ini. Antara isu-isu sosial yang timbul adalah seperti berikut:
1. Suami (warganegara asing) menggunakan/menyuruh isteri (orang tempatan) atau anaknya menjadi agen pengedar/penjual dadah.
2. Suami (warganegara asing) melakukan jenayah dan dipenjara menyebabkan anak-anak dan isteri terabai.
3. Suami (warganegara asing) balik ke negara asalnya dan meninggalkan anak isteri tanpa pembelaan, akhirnya anak isteri hidup dalam kesusahan.
Memandangkan keadaan yang kaola nyatakan di atas, Jabatan kaola sebagai salah sebuah agensi Kerajaan yang bertanggungjawab mengenai kemasukan orang-orang asing ini telah diarahkan untuk merumuskan satu peraturan bagi memperketatkan syarat-syarat perkahwinan di antara warganegara asing (lelaki) dengan warganegara/penduduk tetap Brunei (perempuan) sebagai satu jalan untuk menghindarkan masalah-masalah yang tersebut di atas daripada berpanjangan dan akan menjadi bebanan kepada negara.
Ke arah itu, antara syarat yang abis kaola fikirkan mungkin bersesuaian untuk diperkenalkan dan dikuatkuasakan ialah:
1. Untuk tidak membenarkan lelaki asing (dalam kategori buruh) berkahwin di negara ini sama ada dengan warganegara ataupun penduduk tetap negara ini kerana kategori inilah yang dikenalpasti penyebab kepada masalah yang disebutkan.
2. Membatalkan pas kerja orang asing (buruh) yang bekerja yang telah berkahwin di Brunei dan menegah dia masuk semula ke Brunei.
Bagaimanapun sebelum keputusan muktamad dibuat ke atas cadangan peraturan tersebut, kaola sukacita memohon apa jua kiranya yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin akan dapat memberikan fatwa dan nasihat kepada tiga persoalan berikut:
1. Apakah peraturan-peraturan yang abis kaola cadangkan untuk dikenakan ini bertentangan dengan hukum syara‘ dan berdosa bagi abis kaola melaksanakannya?
2. Adakah peraturan-peraturan yang dikeluarkan semata-mata untuk mashlahat negara (bagi mengekalkan keharmonian sosial sesebuah negara) dibolehkan oleh Islam, umpamanya peraturan-peraturan yang dicadangkan di atas?
3. Mengikut hukum syara‘, bolehkah Jabatan abis kaola menolak permohonan bagi satu permohonan untuk berkahwin di antara seorang warganegara asing dengan warganegara Brunei berdasarkan kepada penilaian abis kaola kerana perkahwinan tersebut akan mendatangkan masalah sosial di masa yang akan datang?
Jawapan: Hukum Berkahwin
Hukum berkahwin itu pada dasarnya adalah sunat, namun ia akan menjadi haram jika tujuan perkahwinan itu senghaja hendak mendatangkan kesusahan atau kemudaratan atau sengaja dirancang supaya bakal isteri itu melakukan jenayah atau maksiat seperti yang disebut sebagai misal oleh penyoal:
“Suami (warga asing) menggunakan / menyuruh isteri (orang tempatan) atau anaknya menjadi agen pengedar / penjual dadah.”
Adalah haram bagi sesiapapun yang berniat untuk mengahwini perempuan bagi tujuan melakukan sesuatu maksiat.
Memilih Calon
Kerukunan atau keharmonian rumahtangga adalah impian semua pasangan suami isteri. Impian itu – insyâ’ Allah – akan dapat dicapai jika sejak awal-awal lagi bakal suami atau isteri menurut sebagaimana yang digariskan oleh Islam.
Dalam membantu pemilihan calon suami atau isteri, Islam telah meletakkan pra-syarat sebagaimana yang disebut oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “(Pada kebiasaan manusia) wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, nasab keturunannya, kecantikanya dan kerana agamanya. Maka dapatkanlah (wanita) yang beragama, nescaya kamu akan bahagia.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika syarat-syarat yang disebutkan oleh hadis di atas dilaksanakan insyâ’ Allah perkara-perkara yang disebut-sebut oleh penyoal seperti di bawah, boleh dielak, iaitu:
(i) Suami (warganegara asing) menggunakan/menyuruh isteri (orang tempatan) atau anaknya menjadi ejen pengedar/penjual dadah.
(ii) Suami (warganegara asing) melakukan jenayah dan dipenjara menyebabkan anak-anak dan isteri terabai.
(iii) Suami (warganegara asing) balik ke negara asalnya dan meninggalkan anak isteri tanpa pembelaan, akhirnya anak isteri hidup dalam kesusahan.
Membuat Peraturan Agar Pekerja Asing Tidak Boleh Berkahwin
Dalam membuat peraturan, kerajaan Islam hendaklah mengambil kira faedah-faedah yang akan dicapai daripada peraturan itu. Apa jua peraturan.
Tentunya peraturan itu tujuannya untuk mashlahah ‘ammah (kepentingan umum) kerana atas alasan mashlahah itulah peraturan itu dibuat atau digubal. Ini memang sesuai dengan kehendak syara‘ di antaranya kaedah fiqh:
Ertinya: “Tindakan ketua negara ke atas rakyat terikat dengan mashlahat. ”
Kiranya peraturan itu bertujuan menghalang seseorang melakukan kejahatan, mudarat atau seumpamanya, maka peraturan kerana mencegah perkara-perkara jahat itu wajiblah dibuat. Bahkan mudarat itu pula wajib dihilang atau dihindarkan sebagaimana disebut dalam kaedah fiqh:
Ertinya: “Dharar (mudarat) itu dihilangkan.”
Ada lagi kaedah fiqh yang boleh menjadi asas dalam membentuk sesuatu peraturan itu. Antaranya:
Ertinya: “Menutup pintu-pintu (kejahatan).”
Ertinya: “Dan yang haram kerana menutup jalan-jalan (kejahatan), boleh menjadi harus kerana ada mashlahat yang nyata.”
Ertinya: “Menolak kerosakan lebih utama daripada mendatangkan kemashlahatan.”
Sebagaimana yang disebutkan mengenai mashlahat, maka kedudukan mashlahat itu hendaklah jelas. Sementara yang dikatakan boleh membawa dharar atau bahaya itu bukanlah suatu perkara yang waham atau samar-samar. Dalam konteks perkahwinan, maka hukum perkahwinan itu ada kalanya menjadi harus, sunat, wajib atau haram. Perkahwinan itu haram, jika bahayanya sudah jelas atau nyata. Mengenai dengan membuat peraturan sebagaimana yang dicadangkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan:
(A) Membatalkan pas kerja orang asing (buruh) yang bekerja yang telah berkahwin di Brunei dan menegah dia masuk semula ke Brunei. (Ditanda sebagai A)
sedangkan di antara masalah atau isu-isu sosial yang ditimbulkan oleh pekerja (buruh) asing itu ialah:
(B) Suami (warganegara asing) balik ke negara asalnya dan meninggalkan anak isteri tanpa pembelaan, akhirnya anak isteri hidup dalam kesusahan. (Ditanda sebagai B)
A dan B di atas adalah dua perkara yang berlawanan. Mewujudkan atau membuat peraturan supaya pihak berkenaan akan membatalkan pas kerja orang asing bagi peringkat buruh yang bekerja di Brunei dan mencegahnya memasuki negara ini semula itu adalah kurang relevan, kerana keburukannya lebih jelas berbanding dengan mashlahat yang ingin dicapai. Peraturan seumpama itu tidak akan mendatangkan kebaikan, kerana apabila suami tidak dibenarkan masuk ke negara ini, bererti dia meninggalkan anak isteri tanpa pembelaan akhirnya mereka hidup dalam kesusahan, sebagaimana contoh (B) di atas:
Penjelasan Mengenai Mashlahat
Sukat-sukat yang sebenar dalam menilai masalah ini ialah melihat kepada apa ketentuan syara‘. Ini dijelaskan oleh al-Imam al-Hadîts al-Faqîh Sulthân al-‘Ulamâ’ Abu Muhammad ‘Izzuddin Abdul Azizi bin as-Salam as-Salma dalam kitab Qawâ’id al-Ahkâm fî Mashâlih al-Anâm. Beliau mengatakan yang maksudnya: “Adapun mashlahah (kebaikan) dunia akhirat, dan sebab-sebab yang membawa kebaikan dan keburukan tidak akan diketahui melainkan melalui syara‘ jua. Jika ada sesuatu kebaikan itu yang tersembunyi dan tidak jelas, maka dicari (petunjuknya) dari dalil-dalil syara‘ iaitu al-Qur’an, as-Sunnah, ijmâ‘, qiyâs serta dalil-dalil yang shahîh.”
Beliau juga menyatakan: “Bahawa tuntutan syariat itu semuanya adalah kebaikan, sama ada dalam bentuk menolak keburukan atau mendatangkan kebaikan. Jika kamu mendengar Allah berfirman (آيايـــهاالــذينآمنـوا) Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman”, maka cubalah perhatikan pesan setelah seruan itu, pasti akan kita dapati ada seruan yang menggalakkan untuk membuat kebaikan atau seruan supaya menjauhi kejahatan, atau terkumpul dalam seruan itu perkara menyuruh membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Telah diterangkan di dalam al-Qur’an sebahagian daripada hukum-hakam itu ialah mengenai perkara-perkara kejahatan, dan kita diseru supaya meninggalkan kejahatan itu, dan demikian juga telah diterangkan di dalam al-Qur’an sebahagian daripada hukum-hakam itu ialah mengenai perkara-perkara kebaikan, maka kita diseru supaya membuat kebaikan itu.” Qawâ’id al- Ahkâm fî Mashâlih al-Anâm: 11-15)
Sebagai contoh, jikalau bukan kerana pengaruh dan kekuatan syara‘, nescaya akan ada orang yang berpendapat dan berkata bahawa arak itu tidak perlu diharamkan pengedarannya dengan alasan bahawa benda ini membantu pertumbuhan ekonomi negara dan menarik para pelancong luar negara. Demikian juga pelacuran boleh menjadi perniagaan yang menguntungkan, bahkan ada orang menjadi kaya raya kerana kegiatan-kegiatan ini.
Tetapi pendapat dan kata-kata ini adalah pendapat yang salah lagi dangkal kerana bertentangan dengan kehendak hukum syara‘. Maka tidaklah ia dinamakan ‘mashlahat’.
Menurut kata Abdul Wahab Khalaf dalam perkara al-Istishlâh dalam kitabnya Mashâdir at-Tasyrî‘ al-Islami fî ma la Nash fîh: “Setelah mengamati pendapat mazhab-mazhab mengenai al-Istishlâh (mashlahat) dan alasan-alasan serta pendapat golongan-golongan yang bertikai, maka kesimpulannya ada tiga rumusan:
(1) Hukum syara‘ dalam urusan mu‘âmalah manusia itu, jikalau telah sabit dengan nash yang qath‘i, atau ijmâ‘ yang sharîh (nyata) maka, tidaklah boleh berpindah dari hukum yang sabit dengan nash qath‘i atau ijmâ‘ yang sharîh itu kepada hukum lainnya, melainkan jika diperlukan perpindahan itu disebabkan dharurat, kerana kedudukan dharurat itu dikecualikan dengan nash. Maka dengan sendirinya perpindahan itu adalah perpindahan (penggantian) daripada hukum yang ada nash kepada hukum yang ada nash jua.
(2) Sesungguhnya kejadian-kejadian di dalam urusan-urusan manusia yang belum sabit hukumnya dengan nash qath‘i, tidak juga dengan ijmâ‘ sharîh, jika mungkin hukum kejadian itu dibuat dengan jalan berqiyâs kepada suatu kejadian (yang lain) yang ada nash atau ijmâ‘, maka dihukumkan kejadian (yang baru) itu dengan menggunakan hukum qiyâs. Jikalau tidak mungkin kejadian (yang baru) itu dihukum menurut tuntutan qias, maka dihukum kejadian itu dengan menetapkan tuntutan mashlahat manusia yakni menolak dharar (bahaya) daripada manusia atau mendatangkan manfaat kepada mereka.
(3) Penilaian atau pengukuran dharurat yang menyebabkan perpindahaan secara nash dalam kes pertama di atas, dan penilaian atau pengukuran mashlahat yang kerananya dibina hukum bagi perkara-perkara itu tanpa nash (dalam kes kedua di atas), maka wajiblah bagi kedua-dua kes itu dikendalikan oleh pengkhususan ahli kumpulan hukum syara‘ dari kalangan orang-orang Islam yang adil, mempunyai pandangan tajam yang dapat melaksanakan hukum syara‘ dan dapat menyempurnakan mashlahat-mashlahat dunia. Janganlah diwakilkan satu perkara itu hanya kepada seorang atau beberapa orang kerana hawa nafsu itu kadang-kadang mengalahkan akal sehingga penilaian yang bersifat kamâli (kesempurnaan) menjadi dharurat, penilaian yang waham berubah kepada qath‘i, dan penilaian perkara yang merosak berubah menjadi mashlahat.
Oleh sebab itu, orang-orang yang takut kepada semua ini (penilaian menurut hawa nafsu) mendorong sebahagian ulama menolak konsep mashlahat, semata-mata untuk menutup jalan yang membawa kepada kerosakan dan melakukan kezaliman. Akan tetapi jika kita telah merasa aman daripada ketakutan ini lebih-lebih lagi dengan jalan berhati-hati (al-ihtiyâth) bagi mereka yang memihak kepada konsep mashlahat ini, maka pendapat mereka itu adalah jalan yang sebenar-benarnya (hak), dan pendapat yang tepat, serta selari dan seiringan dengan mashlahat manusia itu sendiri. (Mashâdir at-Tasyrî‘ al-Islâmi fîmâ la Nash fîh, Abdul wahaf khilaf)
Perincian Mengenai Jawapan Kepada Soalan-Soalan
Sebagai menjawab kepada soalan-soalan yang dikemukakan seperti berikut:
(i) Apakah peraturan-peraturan yang abis kaola cadangkan untuk dikenakan ini bertentangan dengan hukum syara‘ dan berdosa bagi abis kaola melaksanakannya?
Apa yang dapat difahami dengan maksud peraturan-peraturan itu sebagaimana yang dibayangkan oleh penyoal sendiri iaitu:
“Membatalkan pas kerja orang asing (buruh) yang bekerja di Brunei yang telah berkahwin di Brunei dan menegah ia masuk semula ke Brunei.”
Dalam waktu yang sama penyoal pun telah membayangkan bahawa di antara masalah-masalah sosial yang ditimbulkan oleh pekerja-pekerja asing yang berkahwin dengan wanita tempatan ialah:
“Suami (warganegara asing) balik ke negara asalnya dan meninggalkan anak isteri tanpa pembelaan, akhirnya anak isteri hidup dalam kesusahan.”
Jadi membatalkan pas pekerja yang bekerja di negara ini yang telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menegahnya memasuki semula negara ini bererti memisahkan pasangan itu sendiri selain memisahkan kasih sayang di antara anak (jika telah beranak) dengan bapanya. Sudah tentu peraturan seperti ini tidak selaras dengan syara‘, kerana tujuan yang hendak dicapai daripada suatu peraturan itu ialah maslahat umpamanya keharmonian berkeluarga. Tidak ada mashlahat jika akhirnya isteri dan anak-anak tidak mendapat pembelaan. Bagaimanakah untuk datang pembelaan itu jika suami/bapa dibatalkan pas bekerjanya dan dia tidak dibenarkan masuk semula ke negara ini untuk bertemu dengan isteri dan anaknya?
Mengenai soalan berikutnya pula:
(ii) Adakah peraturan-peraturan yang dikeluarkan semata-mata untuk mashlahat negara (bagi mengekalkan keharmonian sosial sesebuah negara) dibolehkan oleh Islam, umpamanya peraturan-peraturan yang dicadangkan di atas?
Apa juga peraturan untuk mashlahat negara (bagi mengekalkan keharmonian sosial umpamanya) adalah baik, selama mana ia tidak berlawanan dengan syara‘. Adapun jika peraturan itu (seperti A), walaupun ia bertujuan baik untuk menolak mudarat, namun dengannya juga akan mengundang mudarat yang lain iaitu menyebabkan suami isteri dan anak-anak terpisah sehingga membawa kepada kesusahan dan penderitaan. Maka peraturan seperti ini jika dibuat dan dilaksanakan juga, adalah ia benar-benar tidak selari dengan kehendak syara‘ dan bahkan menyalahinya kerana terdapat unsur zalim dan aniaya padanya.
(iii) Mengikut hukum syara‘, bolehkah Jabatan abis kaola menolak permohonan untuk berkahwin di antara seorang warganegara asing dengan warganegara Brunei berdasarakan kepada penilaian abis kaola bahawa perkahwinan tersebut akan mendatangkan masalah sosial di masa akan datang?
Oleh kerana perkahwinan itu suatu tuntutan syara‘ sehingga ada kalanya sampai ke peringkat wajib, maka berdasarkan proses yang berjalan masa ini, di mana setiap permohonan untuk bernikah hendaklah dirujukkan kepada qadhi atau hakim Mahkamah Syariah, sama ada pemohon yang hendak berkahwin itu terdiri daripada anak tempatan atau salah satu pihak bukan penduduk tempatan, semuanya akan menurut peraturan atau sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta.
Sejauh pengetahuan kita, pihak Qadhi Daerah (sekarang Hakim Mahkamah Rendah Syar‘i) telah menetapkan supaya setiap pernikahan yang melibatkan warganegara Brunei dengan warganegara asing mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak imigresen. Maka dalam hal ini jika pihak imigresen berhajat untuk menetapkan sebarang peraturan, adalah elok dan lebih baik peraturan itu berjalan atau berlaku pada peringkat hendak memohon lagi, bukan setelah berkahwin, atau ada sebab lain pembatalan pas kerja itu mesti atau perlu dibuat. Jika pembatalan pas kerja itu dibuat pada peringkat ini yakni bukannya setelah berkahwin, maka risiko memisahkan suami dan isteri dan anak-anak tidaklah berbangkit.
Menyusuli peraturan ini, kefahaman terhadap beberapa perkara hendaklah diberikan kepada pemohon untuk menjadi bahan berfikir, khasnya bagi calon isteri supaya dari awal-awal lagi dapat menyedari akan kemungkinan-kemungkinan ditinggal dan diabaikan oleh suami daripada orang luar itu kerana maklum saja sebagai sifat orang luar, dia perlu dan mesti balik ke negeri asalnya di samping lain-lain keterangan mustahak yang berkaitan dengan undang-undang umpamanya.
Di samping itu, di dalam peraturan, sudah tentu mustahak juga disediakan syarat-syarat yang ketat bagi lelaki luar yang hendak bernikah itu, di berbagai aspek, seperti aspek-aspek kewangan, latar belakang keluarga, moral dan sebagainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8899
