Mengangkat Daging Khinzîr (Babi) Dengan Kenderaan Sendiri
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim, sukacita kaola mengemukakan dua kemusykilan yang sentiasa dilaksanakan kerana tugas.
Untuk panduan Yang Dimuliakan Pehin di sini kaola berikan penerangan ringkas dua perkara tersebut.
1. Tugas ini adalah salah satu daripada perkhidmatan Unit Kurantin Haiwan yang diamanahkan untuk memberi kebenaran kepada permohonan yang difikirkan layak diberikan dan ini termasuk dalam tugas-tugas abis kaola iaitu menandatangani setiap permohonan yang diluluskan dan tidak terkecuali barangan dan makanan haram yang bersifat najis berat (mughallazhah) seperi anjing dan daging khinzîr bagi mereka yang bukan beragama Islam.
2. Tugas-tugas ini dikendalikan oleh pegawai pemeriksa Unit Kurantin Haiwan yang bertugas di pos-pos kawalan seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa, Terminal Feri Serasa dan lain-lain pintu masuk ke Negara Brunei Darussalam. Apabila barangan/binatang ini dibawa masuk ke Brunei oleh tuan punya melalui pintu-pintu masuk tersebut yang prosedurnya bertentangan dengan peraturan atau diimpot dari negara yang tidak dibenarkan, maka barangan/binatang ini pasti akan diambil tindakan oleh Unit Kurantin Haiwan seperti ditahan atau dirampas dan dimusnahkan. Oleh itu barangan/binatang tersebut diangkat ke Stesen Kurantin Haiwan Terunjing untuk tindakan selanjutnya dengan menggunakan kenderaan sendiri. Unit ini belum mempunyai kenderaan yang khas untuk pengangkutan barangan seperti ini.
Bagaimanakah kedudukan perkara ini dalam pandangan Islam?
Dipohonkan jua pandangan dan nasihat Yang Dimuliakan Pehin mengenai perkara ini berdasarkan hukum syara‘.
Fatwa yang diberikan amat berharga bagi abis kaola bagi menangani kemusykilan yang sangat disangsikan selama ini.
Jawapan: Apa yang dapat difahami daripada penyoal ialah dia yang sifatnya sebagai pegawai kerajaan akan membawa sendiri barang atau daging khinzîr ke tempat khas untuk ditahan, seterusnya dimusnahkan, jika barang atau daging itu memasuki negara ini bertentangan dengan peraturan atau diimport dari negara yang tidak dibenarkan. Demikian keterangan penyoal.
Adapun kedudukan perkara ini, sebagaimana diminta fatwa iaitu membawa barangan atau binatang yang dimaksudkan itu dengan kenderaan sendiri adalah harus. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa najis khinzîr apabila ia dibawa sedemikian rupa, mungkin ia akan mengenai kenderaan itu dan bila-bila masa mungkin saja boleh pula mengenai pembawanya sendiri (pemandu yang empunya kenderaan) serta lain-lain ahli keluarga dan kawan-kawan yang turut menaikinya. Kemungkinan-kemungkinan yang disebutkan ini adalah sukar untuk dielakkan sekalipun dengan apa juga cara pengawalan. Najis khinzîr adalah najis yang berat (mughallazhah) yang mesti dicuci dengan tujuh kali cucian air biasa, salah satunya air yang bercampur dengan tanah. Maka oleh itu, adalah lebih wajar ianya diurus dan dikendalikan oleh Unit Kurantin Haiwan sendiri dengan kenderaan dan petugas-petugasnya yang khusus.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8910
