Mengerjakan Sembahyang Ketika Di Dalam Pesawat
Soalan: Dengan hormat sukacita memaklumkan kehadapan pihak Jabatan Dato bahawa keraguan yang timbul berhubung dengan kesempurnaan mengerjakan ibadat sembahyang semasa di dalam pesawat terutama yang berhubungkait dengan kesesuaian tempat, waktu serta keadaan di mana ibadah sembahyang tersebut dikerjakan.
Sehubungan dengan itu pihak Syarikat Penerbangan Diraja Brunei sukacita memohon pandangan serta nasihat daripada pihak Jabatan Dato. Insya Allah, semoga dengan nasihat serta pandangan tersebut akan dapat dijadikan panduan terutama kepada para kakitangan (cabin crew) Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.
Jawapan: Terlebih dahulu saya bersyukur kepada Allah di atas kesedaran dan prihatin pihak yang bertanya terhadap kepentingan suatu tuntutan ibadah yang wajib dilaksanakan walau di mana dan dalam apa keadaan sekalipun iaitu kewajipan menunaikan sembahyang lima waktu. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sentiasa memberi taufiq dan hidayahNya secara berterusan kepada penyoal.
Ibadah sembahyang adalah salah satu rukun Islam. Mengenainya disebut dalam al- Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Tafsirnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisâ’: 103)
Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Mu‘adz bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke negeri Yaman:
Maksudnya: “Khabarkanlah kepada mereka (penduduk Yaman) sesungguhnya Allah Ta‘ala telah mewajibkan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap siang dan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kedudukan sembahyang itu sangat penting berbanding dengan ibadat-ibadat lain. Ini dapat dilihat dari segi bagaimana ianya disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, iaitu secara langsung kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa perantaraan Jibril pada malam ketika Baginda dimi‘râjkan. Ini menunjukkan betapa penting dan tersendirinya ibadat sembahyang itu. Oleh itu tuntutannya amat berat, ia tidak dapat ditinggalkan walau di mana dan dalam apa jua keadaan sekalipun, baik ketika sakit, musafir mahupun dalam ketakutan akibat peperangan.
Bahkan jika sekiranya seseorang itu tidak upaya menunaikannya dalam keadaan berdiri, dia diberi kelonggaran oleh syara‘ menunaikannya dalam keadaan duduk. Jika dengan cara duduk masih tidak berupaya, dengan cara berbaring. Jika berbaring pun tidak berupaya, memadailah dengan isyarat atau ditunaikan sekadar keupayaannya, selama mana dia masih dalam lingkungan orang mukallaf.
Hukum Mendirikan Sembahyang Dalam Pesawat
Menunaikan sembahyang dalam pesawat atau kapal terbang boleh saja. Ia adalah sah dan tidak perlu diulang atau diqadha sekiranya dilaksanakan dengan menepati rukun dan syarat-syaratnya.
Kapal terbang sama juga seperti kapal laut dan lain-lain kenderaan di air, kereta api, bas atau binatang tunggangan. Melaksanakan sembahyang dalam pesawat adalah sama saja seperti melakukannya di atas mana-mana juga kenderaan. Menunaikannya di atas kapal laut ada dibahas oleh para fuqahâ’ di dalam kitab-kitab mereka.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah:
Ertinya: “Berkata sahabat-sahabat kami: “Sekiranya seseorang itu bersembahyang fardhu di atas kapal, maka tidak harus baginya meninggalkan rukun berdiri (yakni tidak harus sembahyang duduk) sedangkan dia berkuasa untuk berdiri, sama seperti keadaan bersembahyang di darat. Pendapat ini juga dikatakan oleh Imam Malik dan Imam Ahmad. Menurut Imam Abu Hanifah katanya: “Harus (meninggalkan rukun berdiri itu sekiranya kapal itu sedang bergerak).
Sahabat-sahabat kami berkata: “Sekiranya ada keuzuran seperti kepala pening (mabuk laut) dan sebagainya, maka harus menunaikan sembahyang fardhu sambil duduk kerana dia dianggap sebagai orang yang uzur (yang tidak mampu sembahyang berdiri). Sekiranya angin bertiup sehingga beralih haluan kapal itu lalu terpaling wajahnya daripada arah qiblat, maka wajib mengembalikannya ke arah qiblat dan meneruskan sembahyangnya. Berbeza halnya sekiranya dia melakukannya di darat dan dipalingkan oleh seseorang daripada qiblat dengan paksa maka batal sembahyangnya.” (Al-Majmû‘: 3/222)
Berkata asy-Syeikh Abdullah Abdul Rahman Ba Fadhl al-Hadhrami:
Maknanya: “Sekiranya dia (musafir) menunaikan sembahyangnya di tempat pembaringan atau kapal laut maka hendaklah dia menyempurnakan ruku‘, sujud dan hendaklah menghadap qiblat.” (Busyrâ al-Karîm: 1/206)
Walau bagaimanapun apabila melihat keadaan kapal terbang dari segi ruang kawasannya adalah amat sempit dan terbatas. Ini ditambah lagi dengan kepadatan penumpang sehingga tidak memungkinkan atau sangat sukar penumpang kelas ekonomi melaksanakan sebagaimana yang dituntut seperti qaul fuqahâ’ yang dikemukakan di atas melainkan penumpang di kelas pertama.
Tuntutan Menghadap Qiblat Ketika Sembahyang
Menghadap qiblat merupakan syarat sah sembahyang kecuali dalam dua keadaan iaitu dalam ketakutan yang amat sangat dan sembahyang sunat semasa dalam pelayaran (safar). Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Ka‘bah).” (Surah al-Baqarah: 150)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila engkau hendak melakukan sembahyang maka hendaklah engkau menyempurnakan wudhumu kemudian menghadaplah ke arah qiblat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menghadap qiblat bagi sembahyang fardhu itu wajib kerana ia adalah dari antara syarat-syarat sah sembahyang, melainkan dalam dua keadaan sebagaimana yang disebutkan di atas iaitu semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan, sama ada sembahyang fardhu atau sunat dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya menghadap qiblat.
Berkata Imam an-Nawawi:
Maknanya: “Sesunguhnya jika mudah menghadap qiblat, maka wajiblah (menghadap qiblat itu) dan jika tidak, maka tidaklah wajib dan dikhususkan (menghadap qiblat itu) ketika mengangkat takbîratul ihrâm.” (Mughni al-Muhtâj: 1/199)
Kewajipan menghadap qiblat bagi sembahyang fardhu di dalam pelayaran berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jabir bin Abdullah katanya:
Maksudnya: “Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang (sunat) di atas tunggangan Baginda di mana sahaja tunggangan itu menuju arah, tetapi apabila Baginda hendak menunaikan sembahyang fardhu Baginda turun lalu menghadap qiblat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sekiranya penumpang tidak dapat menghadap qiblat oleh sebab-sebab keuzuran sedangkan dia wajib menunaikan sembahyang pada waktu itu, dan jika tidak ditunaikan akan luput waktunya, maka tunaikanlah sembahyang itu sekalipun tanpa menghadap qiblat demi menghormati waktu dan wajib diulangi atau mengqadha sembahyang itu sebagaimana kata Imam an-Nawawi:
Maknanya: “Berkata sahabat-sahabat kami: “Kalau sekiranya waktu sembahyang fardhu telah masuk sedangkan mereka dalam perjalanan dan mereka khuatir sekiranya mereka turun (daripada tunggangan mereka) untuk bersembahyang di atas bumi nescaya mereka tertinggal daripada rakan-rakan mereka atau takut akan berlaku sesuatu ke atas dirinya atau hartanya, maka dalam hal ini tidak harus meninggalkan sembahyang itu dan mengeluarkannya daripada waktunya. Bahkan hendaklah dia bersembahyang di atas tunggangan bagi menghormati waktu dan wajib mengulangi sembahyang itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.” (Al-Majmû‘: 3/222)
Petunjuk Arah Qiblat Di Pesawat RBA
Al-hamdulillah sebagaimana yang dimaklumi bahawa Penerbangan Diraja Brunei (RBA) telah menyediakan penunjuk arah qiblat di setiap pesawatnya. Kita amat berterima kasih atas inisiatif yang baik itu. Ini suatu kemudahan kepada penumpang-penumpang yang beragama Islam untuk melaksanakan ibadat sembahyang ketika berada di dalam kapal terbang. Dengan adanya kemudahan sedemikian tidaklah akan timbul masalah menentukan arah qiblat yang menjadi salah satu syarat sah sembahyang.
Tuntutan Menunaikan Sembahyang Dengan Berdiri
Melakukan sembahyang bagi mereka yang berupaya dengan cara berdiri merupakan rukun dalam sembahyang fardhu. Sementara bagi mereka yang tidak berdaya berdiri, maka mereka boleh melakukannya dengan cara duduk sebagaimana kelonggaran yang diberikan kepada orang sakit yang tidak berdaya melakukannya dengan berdiri.
Maksud tidak upaya berdiri bukan hanya bermakna lemah tidak dapat berdiri, bahkan termasuk juga kerana takut kecelakaan berlaku ke atas dirinya atau ditakuti dia akan lemas atau menambahkan lagi kesakitan yang dialaminya.
Al-Khatib asy-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj menaqal perkataan Imam ar-Rafi‘e Rahimahumallah katanya:
Ertinya: “Dan tidaklah kami maksudkan dengan lemah itu tidak mampu sahaja. Bahkan termasuk juga maksudnya (lemah itu), takut terjadi kecelakaan ke atas dirinya, takut lemas dan takut bertambah kesakitannya atau takut kesusahan yang amat sangat atau pening kepala bagi penumpang kapal laut….” (Mughni al-Muhtâj: 1/214)
Berdasarkan pendapat ini, maka para penumpang kapal terbang yang ada uzur seperti tersebut di dalam nash al-Khathib itu, haruslah mereka mendirikan sembahyang fardhu sambil duduk.
Menurut Dr. Ahmad asy-Syarbashi dalam kitabnya Yas’alûnaka fi ad-Dîn wa al- Hayâh bahawa harus melakukan sembahyang sama ada berdiri atau duduk ketika berada di dalam kapal terbang tanpa semestinya berpusing menghadap qiblat ketika sedang melakukan sembahyang itu, selama mana melakukannya itu merupakan satu kepayahan, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah: 185)
Beberapa Pilihan Bagi Penumpang Kapal Terbang Dalam Melaksanakan Ibadah Sembahyang
Memandangkan perkara sembahyang di dalam pelayaran atau safar itu merupakan salah satu keuzuran syara‘ yang mengharuskan seseorang mengambil keringanan atau rukhshah seperti melakukannya secara jama‘ (mengerjakan dua fardhu sembahyang dalam satu waktu) dan dibolehkan juga mengqashar (memendekkan empat rakaat menjadi dua rakaat), maka haruslah mengerjakan sembahyang dengan mengambil rukhshah sedemikian.
Orang yang musafir dengan menggunakan kapal terbang boleh menjama‘ sembahyang secara jama‘ taqdîm sebelum pesawat bertolak iaitu semasa berada di lapangan terbang lagi kerana pada masa itu dia sudah dihukumkan musâfir sekiranya kawasan lapangan terbang itu tidak termasuk kampung orang yang musâfir itu atau di mana-mana tempat di luar kawasan perkampungan yang mudah baginya.
Pilihan lain ialah jika kapal terbang yang dinaikinya itu singgah atau transit di sesuatu tempat, jika ada kemudahan baginya melakukan sembahyang maka bolehlah dia melakukannya sama ada secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr iaitu tertakluk kepada waktu sembahyang di tempat berkenaan itu.
Atapun orang musâfir itu boleh melakukan sembahyang jama‘ ta’khîr apabila sampai ke destinasi, sekiranya hukum musâfirnya masih berjalan yakni belum putus.
Walau bagaimanapun alternatif seperti ini hanyalah dapat dimanfaatkan oleh penumpang kapal terbang apabila perjalanan mengambil masa dengan melibatkan dua waktu fardhu sembahyang yang boleh di jama‘ iaitu Zhuhur dan ‘Ashar atau Maghrib dan Isyâ’ sahaja. Akan tetapi jika sembahyang ditunaikan dalam pesawat secara jama‘ dan qashar, inipun harus dan elok juga.
Kaedah Bersembahyang Di Pesawat
Hasil daripada penghuraian kita tentang tuntutan menghadap qiblat dan menunaikan sembahyang dengan berdiri dan seterusnya menyempurnakan ruku’ dan sujud sama ada pada sembahyang fardhu atau sunat, maka penumpang hendaklah mengikuti kaedah atau panduan seperti berikut:
(i) Penumpang hendaklah berusaha mencari tempat untuk menunaikan sembahyang dengan bertanya kepada anak kapal. Sekiranya ruang itu masih digunakan kerana kerja-kerja kabin, maka hendaklah ditunggu sehingga kerja-kerja itu selesai atau berkurangan.
(ii) Bagi mereka yang tidak upaya menunaikannya dengan berdiri disebabkan keadaan tidak memungkinkan seperti pening kepala atau disebabkan cuaca yang menyebabkan keadaan pesawat tidak stabil, maka diharuskan menunaikannnya sambil duduk sama ada fardhu atau sunat.
(iii) Jika penumpang tidak mendapati tempat sembahyang yang sesuai, maka tunaikanlah sembahyang itu di tempat duduknya. Ketika hendak sujud hendaklah ditundukkan lebih rendah dari ruku’nya. Perlu diingat supaya tidak mengabaikan tuntutan menghadap qiblat.
Walau bagaimanapun, jika sekiranya bersembahyang dengan duduk itu dia boleh menghadap qiblat berbanding dengan melakukannya dengan berdiri tanpa menghadap qiblat, maka adalah wajib dia bersembahyang duduk. Dalam hal ini berkata pengarang Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: “Maka jika sekiranya dia berdaya bersembahyang menghadap qiblat dengan cara duduk sementara bukan ke arah qiblat dengan cara berdiri, maka wajib (dilakukannya) cara yang mula-mula itu (sembahyang menghadap qiblat dengan duduk), kerana kefardhuan menghadap qiblat itu lebih kuat tuntutannya berbanding tuntutan berdiri (qiyâm). Dalilnya ialah gugur tuntutan berdiri pada sembahyang sunat padahal dia berupaya melakukannya tanpa sebarang uzur.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/201)
Cara begini sebenarnya dapat kita pratikkan apabila pesawat yang kita naiki menuju ke arah qiblat.
Sebagai Irsyad
Kita menyokong penuh usaha yang dibuat oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei yang cuba menonjolkan suasana keislaman di dalam pesawatnya. Di antara suasana keislaman yang telahpun dilaksanakan itu ialah seperti memainkan pita rakaman doa sewaktu hendak memulakan penerbangan dan tidak menghidangkan minuman keras kepada para penumpang.
Selain daripada itu ialah kemudahan menunjukkan arah qiblat yang merupakan salah satu pemedulian terhadap kepentingan penumpang-penumpang Muslim termasuk anak kapal RBA sendiri.
Dengan adanya kemudahan penunjuk arah qiblat itu, penumpang Muslim dapatlah melaksanakan kewajipan sembahyangnya. Mudah-mudahan perkara ini akan memberi berkat, pertolongan serta pemeliharaan Allah kepada RBA.
Perkhidmatan memberikan kemudahan sembahyang kepada penumpang seperti maklumat waktu sembahyang atau apa jua bentuk pertolongan sama ada dalam pesawat atau di luar pesawat (di lapangan terbang semasa transit umpamanya) elok menjadi pemikiran RBA seberapa segera yang mungkin. Inilah keistimewaan RBA daripada syarikat-syarikat penerbangan yang lain.
Adalah sangat elok dan malah perlu sekiranya pihak pentadbiran RBA mengusahakan satu tempat khas bagi kemudahan penumpang untuk menunaikan sembahyang. Saya teringat di dalam pengalaman ketika pernah menaiki Pesawat Arab Saudi di suatu masa dahulu, di mana saya telah berpeluang bersembahyang dan bahkan menjadi imam kepada beberapa orang anak kapal. Kami diberikan tempat berhampiran dengan kabin pilot. Ertinya kalau kita mahu, boleh saja satu-satu tempat di dalam pesawat itu dikhaskan bagi orang melakukan sembahyang, seperti misalnya dengan mengosongkan ruangan seluas yang boleh menempatkan satu atau dua baris tempat duduk. Ini kelihatannya seperti rugi kerana kehilangan sekurang-kurangnya 2 atau 4 orang penumpang, tetapi dari segi lain, pesawat dan pentadbirannya akan memperolehi “keberkatan” yang tidak boleh dicongak atau dianggar kadar nilainya.
Adapun di antara tujuan soalan ini diajukan ialah bagi panduan anak-anak kapal yang bertugas di dalam kapal terbang. Oleh itu elok rasanya kita turut menyentuh tentang pakaian di dalam sembahyang. Islam tidaklah mensyaratkan pakaian khusus yang wajib dipakai oleh perempuan ketika bersembahyang. Asalkan perempuan itu menutup aurat.
Maka di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyarankan pakaian yang dipakai oleh paramugari hendaklah menutup aurat agar dapat dihindarkan diri mereka dan juga orang lain daripada mendapat dosa kerana tidak menutup aurat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8918
