Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menggunakan Perkhidmatan Kad Kredit Bagi Pembelian Tiket Dan Mengenakan Caj Perkhidmatan

Soalan: Syarikat Darussalam Holdings Sendirian Berhad berhasrat untuk menyediakan kemudahan menggnakan perkhidmatan kad kredit bagi pembelian tiket dan mengenakan caj pekhidmatan kepada para pelanggan ketika membuat pembayaran. Penggunaan kad kredit ini adalah khusus bagi penjualan tiket-tiket penerbangan di unit Pelancongan dan Pengembaraan Darussalam (Darussalam Travel & Tours Agency). Perkhidmatan ini tidak termasuk pembayaran tiket penerbangan ke Jeddah bagi mengerjakan haji atau umrah.

Unit Pelancongan dan Pengembaraan Darussalam akan mengenakan bayaran tambahan 2.5% daripada harga asal kepada pelanggan yang membayar dengan menggunakan kad kredit berbanding dengan pelanggan yang membayar secara tunai. Pihak syarikat akan menggunakan salah satu daripada kaedah ini:

1. Harga tiket penerbangan ke Singapura bagi pelanggan yang membayar secara tunai contohnya ialah sebanyak $300.00. Tetapi harga tiket pelanggan yang menggunakan kad kredit ialah sebanyak $307.50 iaitu tambahan bayaran 2.5%. Para pelanggan yang menggunakan kad kredit akan diberitahu tentang tambahan ini yang bertujuan untuk menampung kos perkhidmatan pihak bank dan bukan sebagai keuntungan kepada pihak Syarikat Darussalam.

2. Pihak Syarikat Darussalam akan menjual tiket penerbangan dengan harga contohnya $307.50 iaitu tambahan bayaran sebanyak 2.5% daripada harga asal kepada pengguna kad kredit, tetapi tidak akan memberitahu tambahan bayaran tersebut yang perlu ditanggung oleh pelanggan bagi kos perkhidmatan pihak bank. Ini adalah demi mengelakkan sebarang salah faham di antara pelanggan dengan pihak syarikat.

Sehubungan dengan itu, pihak Syarikat Darussalam Holdings Sdn. Bhd. adalah berbesar hati jika Pehin dapat memberikan fatwa berkaitan dengan penggunaan kad kredit yang akan diselanggarakan sebagaimana yang telah dinyatakan.

Jawapan: Pada dasarnya penjualan tiket yang akan diselanggarakan oleh syarikat ini kepada pelanggan-pelanggannya dengan menggunakan perkhidmatan kad kredit adalah harus, tertakluk kepada syarat-syarat yang akan diterangkan berikut ini.

Sekalipun pelanggan berkenaan menggunakan kad kredit yang dikeluarkan oleh pihak bank konvensional, pihak syarikat hanyalah sebagai pengantara di antara pelanggan dengan pihak bank yang mengeluarkan kad kredit itu yang mana pembayaran tiket tersebut sebenarnya akan dijelaskan oleh pihak bank dan seterusnya pemegang kad kredit berkenaan akan membayar balik kepada bank sama ada secara tunai atau ansur.

Oleh yang demikian, syarikat tidak ada kena mengena dengan urusan di antara pihak pengeluar kad kredit dengan pemegangnya setelah menerima bayaran daripada pihak bank. Sekiranya bank mengenakan bayaran tambahan faedah interest (riba), syarikat ini tidak terlibat dalam hal ini.

Walau bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan iaitu dari segi keharusan menggunakan kad kredit oleh si pengguna (pemegang kad kredit) sebagaimana resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Akademi Fiqh Islam.

Kad kredit menurut definisinya merupakan satu dokumen yang dikeluarkan oleh pihak bank kepada seseorang atau kepada pertubuhan-pertubuhan dan institusi-institusi berdasarkan perjanjian kedua belah pihak yang membolehkan mereka membeli sesuatu barang atau perkhidmatan, daripada seseorang yang menerima (mempercayai) kad itu (peniaga) tanpa pembayaran segera, kerana dijamin pembayarannya oleh pihak bank berkenaan, dan pembayaran adalah daripada pihak pengeluar kad. Pihak pengeluar kad kredit akan mengambil balik bayaran itu daripada pemegang kad tersebut mengikut tempoh tertentu. Sesetengahnya pula dikenakan bayaran interest ke atas jumlah baki yang belum dibayar yang diambil selepas tempoh tertentu dan setengahnya lagi ada juga yang tidak dikenakan interest.

Resolusi dan saranan yang diambil oleh Majlis Akademi Fiqh Islam berhubung dengan kad kredit seperti ini adalah seperti berikut:

1. Tidak diharuskan megeluarkan kad kredit dan berurusniaga dengannya sekiranya disyaratkan tambahan faedah interest (riba), sekalipun pihak pemohon kad berkenaan berazam untuk menjelaskan pembayaran secara tunai dalam tempoh yang dibenarkan secara percuma.

2. Harus mengeluarkan kad kredit itu sekiranya tidak terkandung syarat tambahan faedah interest (riba) ke atas hutang pokok. Ini terbahagi pula kepada:

(i) Bank yang mengeluarkan kad kredit itu diharuskan mengambil bayaran atau yuran yang disifatkan sebagai caj ketika kad itu dikeluarkan atau diperbaharui sebagai upah sebenar atas asas kadar perkhidmatan yang terdahulu.

(ii) Bank yang mengeluarkan kad kredit tersebut harus mengambil daripada peniaga komisyen ke atas barang-barang yang dibeli oleh pelanggan dengan syarat (harga) jualan peniaga itu dengan kad kredit adalah sama dengan (harga) jualan menggunakan wang tunai.

3. Pengeluaran wang tunai oleh pemegang kad kredit merupakan satu hutang daripada pengeluar kad kredit (bank). Tidak menjadi halangan syara‘ sekiranya tidak dikenakan sebarang pembayaran interest (riba). Yuran yang diambil yang tidak ada kaitan dengan jumlah hutang atau dengan tempoh hutang dan harga perkhidmatan tidak dikira interest. Setiap pembayaran lebih daripada perkhidmatan sebenar adalah dihukumkan haram, kerana ia adalah riba yang diharamkan oleh syara‘ sebagaimana dijelaskan oleh Majlis Akademi Fiqh Islam dalam resolusi dan saranannya.

4. Tidak diharuskan pembelian emas dan perak juga wang tunai dengan menggunakan kad kredit.

Melihat kepada resolusi yang pertama seperti di atas, si pembeli (pemegang kad kredit) tidak diharuskan untuk berurusniaga dengan kad kredit yang mengenakan interest (riba). Oleh itu sewajarnya pihak syarikat ini tidak akan menerima pelanggan yang menggunakan kad kredit seperti ini demi untuk mengelakkan si pembeli berurusniaga dengan cara yang tidak diharuskan oleh syara‘ iaitu riba. Tindakan sedemikian secara tidak langsung sebagai inisiatif memerangi riba.

Adapun bayaran tambahan ke atas harga asal tidaklah dianggap riba, kerana bayaran tambahan tersebut merupakan caj yang dikenakan oleh syarikat ini semata-semata untuk membiayai kos urusan perkidmatan syarikat. Ia dikira sebagai upah yang mana hukumnya adalah harus jua.

Oleh yang demikian mana-mana kaedah yang dicadangkan untuk dipakai oleh pihak syarikat di dalam memperkenalkan perkhidmatan seperti ini adalah harus atas asas sebagai caj atau upah perkhidmatan yang tidak ada unsur riba dan gharar (penipuan) di dalamnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8925