Menyambut Dan Meraikan Hari Raya Menurut Syara‘
Soalan: Bersama ini kaola ada beberapa kemusykilan yang ingin penjelasan dan huraian daripada Pehin:
1. Bagaimanakah pada pandangan Islam sikap umat Islam di rantau ini bila setiap menjelang Hari Raya Fitri, mereka seboleh-bolehnya ingin semua serba baru (baju, permaidani, langsir, kerusi, meja dan lain-lain)? Mereka berbelanja di luar kemampuan sehingga berhutang dan malam Hari Raya pula dihiasi dengan bermain mercun.
2. Apakah ciri-ciri utama dalam menyambut Hari Raya yang disyariatkan?
Jawapan: Menyambut Hari Raya Menurut Islam
Hari Raya sama ada ‘Idul Fitri atau ‘Idiu Adha yang kita raikan saban tahun merupakan hari yang dihadiahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada kita. Kedua-dua Hari Raya merupakan hari kemenangan bagi kaum Muslimin. Oleh itu selayaknyalah ia disambut dengan perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syara‘ serta juga dengan niat yang ikhlas untuk menambahkan lagi taqarrub kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ciri-ciri menyambut Hari Raya itu hendaklah dilebihkan kepada mengeratkan hubungan di antara makhluk dengan Khâliq dan di antara makhluk dengan makhluk iaitu hari hablun minallâh dan hablun minannâs.
Ciri-ciri tersebut terkandung di dalam cara dan adab menyambut Hari Raya sebagaimana yang disebutkan oleh ulama fiqh dalam kitab-kitab mereka berdasarkan sunnah Rasulullah.
Sebaik sahaja anak bulan berhasil dilihat, pada malam jatuhnya Hari Raya itu, umat Islam dituntut (disunatkan) bertakbîr sebagai melambangkan rasa syukur atas nikmat Allah. Bagi ‘Idul Fitri disunatkan bertakbîr sehingga sebelum imam mengangkat takbîratulihrâm sembahyang sunat ‘Idul Fitri. Akan tetapi bagi ‘Idul Adhha, takbîr berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq yang ketiga sebelum terbenam matahari.
Sunat menghidupkan malam kedua-dua Hari Raya tersebut dengan memperbanyakkan amalan serta memanjatkan doa kepada Allah kerana malam itu termasuk antara masa yang dimakbulkan doa.
Asy-Syeikh Qalyubiy Rahimahullah ada menjelaskan sebagaimana katanya:
Ertinya: “Sunat menghidupkan dua malam ‘Idul Fitri dan malam ‘Idul Adhha dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbîh. Adalah memadai menghidupkan sebahagian besar malam ini dan sekurang-kurangnya dengan menunaikan sembahyang fardhu Isya’ secara berjemaah dan demikian juga berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh. Seperti malam ‘Idul Fitri dan malam ‘Idul Adhha itu ialah malam Nisfu Sya‘ban, malam yang pertama daripada bulan Rejab serta malam Jumaat kerana di malam-malam tersebut dimakbulkan doa.” (Hâsyiyatân, Qalyubi wa ‘Umairah: 1/359)
Pada paginya pula disunatkan mandi, sama ada kerana ‘Idul Fitri atau ‘Idul Adhha dan seterusnya menunaikan sembahyang sunat Hari Raya di masjid secara berjemaah.
Bagi ‘Idul Fitri, sebelum pergi ke masjid disunatkan makan atau minum, sebaiknya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebagai mengikut sunnah Baginda Shallallahu ‘alahi wasallam. Berbeza dengan ‘Idul Adhha tidak disunatkan berbuat demikian. Ketika dalam perjalanan ke masjid disunatkan mengucapkan takbîr beramai-ramai.
Kebiasaannya di negara kita selepas menunaikan sembahyang sunat Hari Raya, bermulalah budaya kunjung-mengujungi rumah saudara dan rakan-rakan yang berlarutan sampai untuk beberapa hari. Budaya begini tidak ditegah oleh syara‘ selama mana ianya tidak menyebabkan terlanggar hukum Allah Ta‘ala, seperti kerananya boleh menyebabkan tinggal ibadat sembahyang kerana lalai dan asyik bersuka-ria itu.
Kita bangga dengan sensitiviti masyarakat dalam memberikan perhatian kepada Hari Raya ini, kerana ia adalah hari kebesaran dan syiar Islam yang perlu diraikan. Akan tetapi dalam menyambutnya tidaklah disuruh supaya “berabis” sehingga menyebabkan keperluan-keperluan asasi terjejas, atau sehingga berhutang ber‘golok’. Bagi yang mampu cukuplah dengan serba sederhana, sementara bagi yang kurang mampu adalah dituntut lebih-lebih lagi berjimat.
Naluri ingin serba baharu sebenarnya tidak bertentangan dengan syara‘. Lebih-lebih lagi ia bukan satu perkara bid‘ah dalam menyambut Hari Raya kerana ada anjuran syara‘ bagi mereka yang ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya itu iaitu disunatkan memakai pakaian baru.
Belanja Menyambut Hari Raya
Agama Islam telah menyediakan garis panduan cara-cara berbelanja menurut keutamaan. Di dalam masa menyambut Hari Raya ini, garis panduan tersebut mustahaklah dilihat dan diikuti. Terdapat tiga peringkat keutamaan yang dimaksudkan itu, iaitu adh-dharûriyyât, al-hâjjiyyât dan at-tahsîniyyât/al-kamâliyyât.
Adh-dharûriyyât ialah keperluan asas yang mesti dipenuhi, iaitu untuk kelangsungan hidup ini kita memerlukan makanan, minuman, tempat tinggal dan pakaian untuk menutup aurat. Tanpa semua ini kehidupan tidak mungkin terjadi.
Inilah yang dinamakan adh-dharuriyyat (keperluan asasi) yang tidak boleh diabaikan sama sekali yang mesti kita penuhi untuk memelihara agama, nyawa (kehidupan), keturunan dan kehormatan. Ia adalah yang di atas sekali berbanding dengan keperluan-keperluan yang lain.
Al-hâjjiyyât iaitu keperluan untuk mendapatkan yang lebih sempurna, seperti perbelanjaan kerana rawatan kesihatan, pendidikan dan membeli kenderaan. Ini merupakan keperluan kedua, kerana walaupun dengan ketiadaannya, namun manusia masih boleh hidup lagi.
At-tahsinîyyât/al-kamâliyyât ialah keperluan selaku pelengkap atau penyempurna, seperti perbelanjaaan untuk membeli kenderaan tambahan, membeli perabot rumah, barang-barang perhiasan dan sebagainya. Dalam makna bahawa manusia boleh hidup dengan baik sekalipun tidak memiliki dan menikmati keperluan dalam kategori ini.
Ketiga-tiga keutamaan yang disebutkan ini perlulah dibezakan supaya setiap orang dapat menentukan yang mana satu harus didahulukannya. Keutamaan adh-dharûriyyât mestilah didahulukan daripada keutamaan al-hâjjiyyât, sementara keutamaan al-hâjjiyyât didahulukan daripada keutamaan at-tahsîniyyât.
Apabila setiap orang mengenali dan menghayati ketiga-tiga peringkat keutamaan ini, maka caranya berbelanja akan lebih terarah dan lebih mendatangkan manfaat, bukan saja pada diri sendiri dan orang-orang yang mempunyai hak terhadapnya bahkan juga masyarakat seluruhnya.
Kita yakin sekiranya cara berbelanja itu dibuat menurut prioriti-prioriti yang disebutkan di atas, maka apa yang ditimbulkan oleh penyoal iaitu berbelanja secara berlebihan oleh orang-orang yang kurang mampu sehingga sampai berhutang, tidaklah akan berlaku. Ditambah lagi jika seseorang itu menyedari akan risiko hutang, tentulah dia akan menahan diri daripada berbelanja besar yang menyebabkannya sampai berhutang.
Orang berhutang, tidak boleh tidak, wajib ke atasnya membayar hutangnya itu dengan sesegera mungkin tanpa bertangguh, atau mengikut sebagaimana tempoh dan syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika dia meninggal dunia sedang hutang belum lagi habis dibayar, maka hutang itu akan dibayar melalui harta peninggalannya sebelum lagi difarâ’idh antara ahli waris dan wasiat. Jika tidak dibayar juga, maka akan berlakulah seperti dalam hadis ini:
Maksudnya: “Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.” (Hadis riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Begitulah kedudukan hutang dan orang berhutang itu adalah sangat berat di sisi Allah.
Selain itu berbangkit pula masalah pembaziran apabila subur sifat ingin serba baru dalam menyambut Hari Raya seperti membeli perabot baru padahal perabot lama masih ada dan baik untuk digunakan. Lalu yang lama ini pun dibuang atau disimpan begitu sahaja tanpa dimanfaatkan seperti diberikan atau disedekahkan kepada orang yang tidak mampu yang memerlukannya.
Ini adalah terang-terang membazir dan sifat membazir itu dicela oleh Allah sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isrâ’: 27)
Oleh itu hendaklah dijauhi sifat membazir dan segala apa juga perbuatan yang boleh mengundang kepada kemurkaan Allah supaya amalan kita di sepanjang Ramadhan diterima dan mendapat keberkatan.
Satu peringatan yang cantik lagi amat berguna tentang bagaimana menyambut Hari Raya sehingga menepati motifnya yang sebenar, kita petik kata-kata pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidîn ini:
Ertinya: “Bukanlah Hari Raya itu untuk orang yang berpakaian baru tetapi (bagi siapa yang) ketaatannya bertambah dan bukan juga bagi siapa yang berhias-hias dengan pakaian serta tunggangan/kenderaan tetapi bagi siapa yang dosa-dosanya diampunkan.” (Bughyah al-Mustarsyidîn: 89)
Adapun menyerikan kedatangan Hari Raya dengan bermain bunga api dan membakar mercun, berikut di bawah ini kita nukilkan fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail bin ‘Umar Abdul Aziz, katanya:
“Bermain-main dengan mercun, adalah meniru mengikut adat permainan orang-orang Budha dan penyembah berhala dan meniru kelakuan adat resam orang bukan Islam, adalah dilarang dan haram dengan tujuan mengikut kelakuan mereka, kerana api itu simbol orang-orang Majusi dan orang-orang penyembah berhala dan orang-orang kafir mengarak api simbol agama mereka.
Orang Islam menggunakan api bagi menerangi ruang rumah dan jalan-jalan laluan, bagi memasak dan bagi membakar sampah sarap dan bagi peperangan melawan musuh-musuh Islam.
Berlebih-lebihan menggunakan api adalah adat orang Majusi dan penyembah berhala.”
Di samping itu bermain mercun juga boleh mendatangkan bahaya dan mudarat bukan sahaja kepada si pembakar mercun itu sendiri bahkan juga mungkin orang lain. Saban tahun setiap menjelangnya Hari Raya sering kita mendengar atau membaca berita tentang kecederaan yang disebabkan oleh bermain mercun seperti cacat anggota bahkan ada juga yang mati.
Perbuatan mendedahkan diri kepada bahaya seperti ini dilarang keras oleh Islam. Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Janganlah melakukan kemudaratan (ke atas diri sendiri) dan melakukan kemudaratan (ke atas diri orang lain).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8929
