Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Menyegerakan Perkahwinan Anak Perempuan

Soalan: Apa hukum menyegerakan pernikahan anak perempuan dan apa hukum jika sebaliknya? Sila huraikan.

Jawapan: Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sebahagian daripada fitrah manusia.

Tuntutan supaya melakukan perkahwinan itu disebut dalam hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Demikian juga Allah berfirman:

Tafsirnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang salih daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” (Surah an-Nûr: 32)

Sesetengah ulama berpendapat bahawa ayat َ َ وَ أْ نْكحُواْاأل ََيََى dimaksudkan secara umum bagi segenap umat, sehingga ertinya: “Kahwinkanlah, wahai orang-orang yang beriman, laki-laki yang tidak merdeka yang tidak mempunyai isteri dan wanita-wanita merdeka yang tidak bersuami.”

Sebahagiannya pula mengatakan bahawa ia ditujukan kepada para wali dan tuan pemilik hamba sahaya sahaja, yakni ditujukan kepada para wali orang-orang merdeka, umpamanya ayah atau sesiapa juga yang mengurus hal ehwal orang lain. Ia juga ditujukan kepada para pemilik hamba sahaya lelaki dan perempuan.

Selain itu ada juga golongan yang mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada para bakal suami, sebab mereka yang diperintahkan berkahwin.

Asy-Syeikh ash-Shabuni memilih pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada segenap umat dan mereka itu berkewajipan memudahkan perkahwinan serta berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengahwinkan para pemuda sambil menyingkirkan segala halangan dan rintangan daripada berlakunya perkahwinan itu, sebab perkahwinan dapat memelihara dan menjaga kehormatan diri.

Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang umatnya daripada menolak atau mengabaikan perkahwinan. Ini dijelaskan dalam sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Pernikahan itu adalah sunnahku, maka sesiapa jua yang tidak mahu melakukan sunnahku itu, dia bukanlah daripada aku (umatku).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Oleh kerana itu orang yang hidup membujang dan tidak mahu kahwin adalah orang yang sia-sia hidupnya, dan mereka juga merupakan orang-orang yang akan mati dalam hina-dina. Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu mengatakan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya antara sunnah kami ialah pernikahan. Orang-orang yang tercela di kalangan kamu ialah mereka yang hidup membujang dan yang hina di antara mayat-mayat kamu ialah mereka yang (semasa hidupnya) membujang.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

Hadis ini memberi pengertian bahawa hidup membujang sangat mudah menjerumuskan seseorang kepada perkara-perkara yang dicela seperti perzinaan dan sebagainya. Orang bujang juga amat terdedah kepada berbagai gejala buruk disebabkan kekosongan jiwa dan kurang rasa tanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, keluarga dan agama. Hidup bujang memberi banyak peluang bagi keburukan dan kejahatan.

Galakan Berkahwin Dan Memperbanyak Keturunan

Di antara hadis-hadis yang menggalakkan berkahwin dan memperbanyakkan keturunan ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Berkahwinlah kamu sesungguhnya aku (akan berbangga) dengan keramaian kamu di hadapan umat-umat yang lain.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hukum Kahwin

Dalam perkahwinan, manusia terbahagi kepada dua golongan:

1. Orang yang ingin berkahwin. 2. Orang yang tidak ingin berkahwin.

Orang yang ingin berkahwin ada kalanya mampu (mempunyai perbelanjaan) untuk berkahwin dan ada kalanya tidak.

Apabila seseorang mempunyai perbelanjaan untuk berkahwin, maka dia disunatkan berkahwin, sama ada dia orang yang tekun beribadah ataupun tidak. Ini ialah berdasarkan firman Allah:

Maksudnya: “Nikahilah oleh kamu wanita yang kamu senangi.” (Surah an-Nisâ’: 3) Dalam ayat ini, Allah Ta‘ala menggabungkan hukum berkahwin dengan pilihan dan kesenangan kita ( َْ اَ سَ تَ طابة). Jika perkara yang wajib bukanlah demikian itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan dalam sabdanya:

Maksudnya: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mampu untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, kerana yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan, akan tetapi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana (puasa) itu menahan nafsu baginya.” (Hadis riawayat al-Bukhari)

Perkataan ‘ِب ة ’ menurut bahasa bermakna jimâ‘ (bersetubuh), diambil daripada kata

‘ مباة ’ yakni rumah yang diduduki. Lalu akad nikah itu dikatakanlah ‘ِب ة ’, kerana orang yang bernikah dengan perempuan bererti menempatkan perempuan tersebut di dalam rumahnya.

Para ulama berselisih pendapat mengenai makna ‘ِب ة ’ ini. Ada yang mengatakan ianya dimaksudkan jimâ‘, sehingga diungkapkan: “Barang siapa yang kuat jimâ‘ di antara kamu di samping mampu pula mencari perbelanjaan kahwin, maka hendaklah dia kahwin. Dan barang siapa yang tidak kuat jimâ‘ dan tidak mampu mencari perbelanjaan kahwin, hendaklah dia berpuasa....”

Ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘ِب ة ’ itu ialah perbelanjaan perkahwinan itu sendiri.

Hadis ini mengandungi erti perintah berkahwin bagi orang yang mampu dan nafsunya ingin berkahwin. Perintah ini adalah perintah sunat menurut ulama Syafi‘iyyah dan semua ulama yang lain. Demikian menurut Imam an-Nawawi. Menurut Imam Ahmad pula, orang yang mampu dan ingin sekali berkahwin, maka wajiblah dia berkahwin jika dia takut melakukan zina. Perkataan Imam Ahmad ini adalah juga satu daripada wajh ulama Syafi‘e.

Orang yang ingin sekali berkahwin, tetapi tidak mampu mengadakan perbelanjaan seperti mas kahwin, maka sunat baginya tidak berkahwin kerana mengelakkan bebanan perkahwinan, bahkan hendaklah dia melemahkan syahwatnya dengan berpuasa sesuai dengan hadis di atas.

Orang yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai perbelanjaan untuk berkahwin dan mahu menumpukan ibadatnya kepada Allah, orang seperti ini adalah makruh berkahwin kerana jika dia berkahwin, dia bakal menanggung kewajipan yang tidak dapat dipenuhinya.

Manakala seseorang yang mempunyai perbelanjaan untuk berkahwin, tetapi tidak berhajat untuk berkahwin kerana lemah shahwat, dikebiri, mati pucuk, mempunyai penyakit yang terus-menerus atau seumpamanya, orang seperti ini makruh berkahwin. Jika dia tidak mempunyai penyakit dan mempunyai pula perbelanjaan untuk berkahwin, maka tidaklah makruh dia berkahwin. Sungguhpun begitu, tekun beribadah adalah lebih utama baginya daripada berkahwin.

Jika dia bukan orang yang tekun beribadah, maka lebih utama baginya berkahwin supaya tidak menganggur dan merasa kekosongan yang boleh mengakibatkan perbuatan zina.

Memudahkan Perkahwinan

Dalam perkara memudahkan perkahwinan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menasihatkan para wali nikah dengan sabdanya:

Maksudnya: “Apabila datang kepadamu seorang yang kamu redha akan agama dan budi pekertinya, maka kahwinkanlah dia kerana jika kamu tidak melaksanakannya, terjadilah fitnah dan kerosakan besar di muka bumi.” (Hadis dikeluarkan oleh at-Tirmidzi)

Menurut pendapat asy-Syeikh as-Shabuni, maksud dan tujuan hadis tersebut ialah menganjurkan kepada keluarga perempuan agar tidak menolak seorang lelaki yang datang meminang semata-mata kerana kemiskinannya sebab harta boleh saja dicari, lagi pun datang perginya (harta itu) merupakan urusan Allah. Pemuda mestilah berani maju untuk berkahwin di samping bertekad untuk melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai suami sambil bertawakal kepada Allah, sekiranya pendapatannya kecil. Perkahwinan biasanya menjadi sebab keadaan seseorang bertambah baik kerana usahanya yang bersungguh-sungguh di dalam mencari rezeki untuk keluarganya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga adalah menolong seseorang yang berkahwin sebagaimana hadis shahîh menyebutkannya:

Maksudnya: “Tiga orang yang menjadi hak Allah untuk memberikan pertolongan kepada mereka: Orang yang berkahwin kerana hendak menjaga kesucian (kehormatan) dirinya, hamba mukâtab yang hendak menebus kemerdekaannya dan orang yang berjuang di jalan Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan Ibnu Majah)

Lihat Rawâ’i‘ al-Bayân Tafsîr Âyât al-Ahkâm min al-Qur’ân, asy-Syeikh Muhammad Ali ash-Shabuni: 165-180.

Pengarang kitab Tuhfah al-‘Arûs sewaktu mengulas hadis:

Khas mengenai:

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan kahwin dia adalah diperintahkan berpuasa.”

Perintah ini tidak syak lagi berlaku di zaman serba sempit di masa permulaan Islam. Adapun pada ketika ini negara sudah kaya dan setiap Muslim ada hak berkahwin dan ada hak untuk berhutang bagi membayar mahr, di mana negara pula turut menanggung atau menjamin bagi membayarkan hutang daripada bahagian al-ghârimîn.” (Mahmud Mahdi al-Istanbuli: 34)

Dr. Yusuf al-Qardhawi juga berpendapat demikian, katanya:

“Kami ingin menambah tentang pengertian “cukup” yang dituntut untuk disempurnakan terhadap kaum fakir miskin sebagaimana yang disebut dalam fiqh Islam. Sebenarnya sesuatu yang amat mengkagumkan dari pandangan ulama Islam tentang keperluan manusia itu, ianya bukanlah terbatas kepada hanya makan minum dan pakaian sahaja, tetapi termasuk tuntutan yang lain di antaranya tuntutan kelamin. Allah Subahanahu wa Ta‘ala menjadikan tuntutan dan naluri kelamin itu sebagai penggerak kepada manusia melaksanakan kehendak Ilahi di dalam memakmurkan bumi ini serta mengekalkan keturunan yang dikehendaki oleh Allah. Islam tidaklah menyita tuntutan dan naluri ini, bahkan memberikannya aturan-aturan yang bersesuaian dengan perintah Allah. Disebutkan dalam hadis:

Maksudnya: “Barang siapa di antara kamu mempunyai kesanggupan maka hendaklah dia berkahwin, kerana kahwin itu akan menundukkan mata dan memelihara kemaluan.”

Dengan demikian bukanlah aneh apabila Islam mengatur pemberian bantuan kepada orang-orang yang ingin berkahwin tetapi mereka itu tidak mampu membiayai mahr dan lainnya. Tidaklah aneh kalau para ulama menyatakan, bahawa orang miskin mengambil zakat untuk kahwin jika dia tidak mempunyai isteri dan ingin berkahwin, kerana kahwin itu termasuk daripada kecukupan hidup. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyuruh petugasnya mencari orang-orang miskin, orang-orang berhutang dan orang-orang yang ingin berkahwin untuk menerima zakat daripada Baitulmal. Masalah ini adalah berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah:

Maksudnya: “Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Saya nikah dengan seorang perempuan Anshar.”

Nabi bersabda: “Berapa biaya perkahwinanmu?”

Lelaki itu berkata: “Empat awâq (seratus enam puluh dirham).” Nabi bersabda: “Dengan empat awâq? Apakah kamu menggali perak dari lembah gunung ini? Kami tidak mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepadamu, tetapi mudah-mudahan sahaja kami dapat mengirimkan wang itu kepadamu sehingga terpenuhi keperluanmu padanya.”

Hadis ini menunjukkan, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan zakat kepada seseorang dalam kes seperti ini. Kerana itulah Baginda bersabda: “Kami tidak mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepadamu.” Namun Baginda berusaha untuk memenuhi keperluan atau hajat orang tersebut, walaupun dengan cara lain.” (Yusuf al-Qardhawi, Fiqh al-Zakâh: 2/568-569)

Di antara keperluan orang miskin itu selain makan, minum, pakaian dan tempat tinggal ialah perkahwinan. Kerana itu keperluan untuk kahwin membolehkan seseorang itu mendapat zakat, di mana natijahnya ternafilah baginya alasan untuk menangguhkan perkahwinan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada berdoa:

Maksudnya: “Ya Allah aku memohonkan kepadaMu hidayah, ketaqwaan, ‘afâf dan tidak bergantung kepada makhluk.”

Perkataan ‘afâf ertinya menjauhkan diri daripada hal-hal yang tidak baik, atau mengekang diri daripada perbuatan yang diharamkan seperti zina. Jadi, melewatkan perkahwinan itu adalah salah satu daripada punca membawa kepada zina. Kaedah ushûliyyah menyebutkan:

Maksudnya: “Kemudharatan itu mesti dihindarkan.”

Berdasarkan kaedah ini, jika maksiat atau fitnah boleh terhindar dengan menyegerakan perkahwinan, maka menyegerakan kahwin itu menjadi perkara yang sangat dituntut (wajib) kerana menyelamatkan diri daripada maksiat atau fitnah. Lebih-lebih lagi realiti yang wujud sekarang, pertunangan yang terlalu lama biasanya boleh membawa padah yang buruk. Ertinya, sama ada disedari atau tidak, melambat-lambatkan perkahwinan itu boleh menjerumuskan seseorang kepada fitnah dan maksiat.

Jadi, jika inilah masalahnya, maka menyegerakan perkahwinan itu adalah benar-benar dituntut.

Bagaimanakah Caranya Menyegerakan Perkahwinan Supaya Ia Tidak Dilambat-Lambatkan Atau Ditangguh-Tangguhkan?

Jawabnya: Hendaklah perempuan jangan menolak seorang lelaki yang datang meminangnya padahal lelaki tersebut sekufu’ dengannya. Begitu juga walinya janganlah enggan dan menolak untuk mengahwinkan anaknya itu.

Jika perempuan itu menolak atau walinya enggan menerima pinangan dan menolak, maka ini bermakna kedua-dua mereka telah melakukan kesilapan dan kecuaian pada memenuhi salah satu daripada tuntutan dan tanggungjawab agama yang sangat besar. Jika berlakulah perkara buruk (maksiat) akibat daripada kesilapan dan kecuaian ini, maka sudah tentu dosanya akan ditanggungkan sama-sama ke atas mereka.

Elok kita melihat dan mencontohi masyarakat Muslimin generasi pertama, di mana kaum as-salaf ash-shalih dan para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah menjalani suatu sunnah yang indah dalam perkara menyegerakan perkahwinan anak-anak mereka. Sunnah atau cara tersebut ialah: Para wali akan sentiasa memantau dan mencarikan lelaki yang salih untuk dikahwinkan dengan anak-anak atau adek-beradek perempuan mereka. Ini kadang-kadang mereka lakukan secara terbuka dan berterus-terang tanpa segan silu, tidak seperti pada hari ini, apabila pihak perempuan yang meminang, maka perkara ini akan dianggap aneh dan ‘aib sehingga melahirkan pepatah: “Perigi mencari timba.” Ini sebenarnya tidak selari dengan ajaran agama. Janganlah ada orang yang menyangkanya sebagai ajaran agama. Ianya tidaklah lebih daripada suatu anggapan semata-mata, anggapan yang tidak berlandaskan syara‘.

Jika kita mahu melihat daripada kacamata agama yang sebenar-benarnya, maka inilah kita bawakan contoh seperti di bawah ini:

Sayyidina Umar Ibn al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu, manakala suami puterinya Hafshah, Khunais bin Hudzafah, meninggal dunia akibat perang Uhud, beliau dengan tidak segan-segan menawarkan puterinya itu kepada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk dikahwini. Mula-mula dia menawarkannya kepada Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallah ‘anhu. Sayyidina ‘Utsman minta waktu untuk berfikir. Beberapa hari kemudian Sayyidina ‘Utsman menemui Sayyidina Umar lalu berkata: “Setelah aku fikirkan, ternyata aku tidak berminat untuk berkahwin pada hari ini.”

Setelah itu Sayyidina Umar menawarkan pula puterinya kepada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu. Sayyidina Abu Bakar diam tidak memberi jawapan sehingga menyebabkan Sayyidina Umar marah, bahkan kemarahannya kepada Sayyidina Abu Bakar itu melebihi daripada kemarahannya kepada Sayyidina ‘Utsman - Radhiallahu ‘anhum ajma‘în.

Didorong oleh kedua-dua kejadian yang sangat menyinggung perasaannya itu, Sayyidina Umar lalu menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengadukan sikap Sayyidina ‘Utsman yang menolak dan sikap Sayyidina Abu Bakar yang tidak mahu ambil hirau itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hikmah memberikan jawapan: “Mudah-mudahan Allah mentakdirkan bagi anak perempuanmu itu seorang suami yang lebih baik daripada ‘Utsman, dan mentakdirkan bagi ‘Utsman pula seorang isteri yang lebih baik daripada anak perempuanmu.” Perkara ini disebut oleh al-Bukhari dalam riwayatnya:

Maksudnya: “Bahawasanya Umar bin Khaththab ketika Hafshah binti Umar telah menjadi janda daripada Khunais bin Hudzafah as-Sahmiy dan dia merupakan salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang wafat di Madinah.

Maka Umar bin Khaththab berkata: “Saya datang kepada Utsman bin ‘Affan lalu saya tawarkan Hafshah kepadanya. Lalu dia berkata: “Saya akan melihat urusanku.” Lalu saya menginap beberapa malam. Kemudian dia menemui saya.

Katanya lagi: “Benar-benar telah nampak kepadaku untuk tidak kahwin pada hari ini.”

Umar berkata: “Lalu saya temui pula Abu Bakar ash-Shiddiq seraya saya berkata: “Jika engkau mahu, maka saya akan mengahwinkan engkau dengan Hafshah binti Umar.”

Lalu Abu Bakar diam, sehingga dia tidak memberikan jawapan kepada saya sedikitpun. Dia benar-benar telah membuat saya marah kepadanya mengatasi (kemarahan saya) ke atas Utsman. Kemudian saya menginap beberapa malam.

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melamarnya, lalu saya mengahwinkan Hafshah dengan Baginda. Maka Abu Bakar menemui saya seraya berkata: “Benar-benar engkau telah marah kepadaku, ketika engkau menawarkan Hafshah kepadaku, tetapi aku tidak memberikan jawapan kepadamu sedikitpun.”

Umar berkata: “Saya jawab: “Ya.”

Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku untuk memberi jawapan kepadamu terhadap apa yang telah engkau tawarkan kepadaku, hanya saja aku sudah tahu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut-nyebutnya (Hafsah) sehingga aku tidak mahu membuka (menyiarkan) rahsia Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Andaikata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkannya (membiarkan dan tidak meminangnya) tentulah aku menerimanya.” (Irsyâd as-Sârî: 11/462)

Keadaan seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Umar ibnu al-Khaththab ini banyak berlaku di kalangan generasi pertama kaum Muslimin dan generasi yang berikutnya, kaum tâbi’în. Mereka secara terus-terang menawarkan anak-anak atau wanita-wanita yang berada di bawah penjagaan mereka kepada kaum lelaki yang salih, tanpa mengira sama ada tawaran itu diterima atau ditolak. Semua ini dilakukan semata-mata untuk memenuhi tanggungjawab menunaikan amanah Allah. Bagi anak-anak perempuan itu pula cukup memahami tujuan para ibu bapa berbuat demikian itu, kerana itulah mereka tidak membantah, malahan sentiasa bersedia untuk mentaatinya. Berbeza dengan masyarakat sekarang, trend ini telah hampir dilupakan orang, bahkan dianggap lapuk dan ketinggalan zaman. Jika terdapat sebarang orang yang mahu mencubanya, nescaya orang tersebut akan dianggap aneh atau luar biasa dan mungkin juga diejek sebagai mahu menjual barangan yang tidak laku.

Di dalam keadaan tertentu, wanita juga boleh menawarkan dirinya sendiri untuk dikahwini. Ini memanglah kedengarannya aneh, tetapi di segi syara‘ ianya adalah harus dan boleh. Wanita dibenarkan memilih jodohnya sendiri, lebih-lebih lagi jika dia tidak mempunyai sebarang wali untuk memilihkannya jodoh yang baik, atau dia sendiri memang amat mengingini seorang lelaki salih yang kuat agama untuk menjadi pasangannya. Jika inilah niat yang mendorongnya bertindak seumpama itu, maka ia bukan sahaja harus, malah juga membawa pahala kepadanya.

Sebuah hadis yang berasal daripada Anas Radhiallahu ‘anhu menjadi dalil dan memperaku perkara ini:

Maksudnya: “Telah datang seorang perempuan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menawarkan dirinya untuk dinikahi oleh Baginda. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tuan inginkan diri saya?” Anak perempuan Anas (yang ketika itu hadir) berkata: “Alangkah tidak pemalunya, alangkah buruknya, alangkah buruknya perempuan itu”. Anas menjawab: “Dia adalah lebih baik daripada dirimu. Dia menyukai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana itulah dia menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Daripada peristiwa ini, kita dapat mengambil kesimpulan penting mengenai beberapa ciri kelebihan perempuan Muslimah, antaranya:

Pertama: Perempuan ini adalah seorang yang berhimah lagi bijaksana. Sungguhpun dia menawarkan dirinya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, namun dia masih berjaya mempertahankan kesopanannya selaku seorang perempuan. Dia hanya menggunakan ungkapan yang layak lagi penuh beradab. Kita perhatikan ungkapannya itu: “Apakah tuan inginkan diri saya?” Dia tidak berkata, misalnya: “Saya mahukan tuan untuk menikahi saya.”

Kedua: Sikap perempuan itu adalah betul kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menyalahkannya, apatah lagi mencelanya. Anas Radhiallahu ‘anhu juga dengan tegas membantah anak perempuannya yang mencela perempuan tersebut, bahkan menegaskan yang perempuan berkenaan itu adalah lebih baik daripada anaknya sendiri, iaitu demi kecintaannya terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga mendorongnya bertindak menawarkan dirinya kepada Baginda. Ertinya dari segi agama perbuatan perempuan tersebut adalah tidak menyalahi hukum syara‘.

Ketiga: Hanya mengambil sikap mendiamkan diri sebagai isyarat penolakannya terhadap tawaran perempuan ini. Baginda tidak menolaknya dengan perkataan atau reaksi secara berterang-terangan, kerana hendak menjaga perempuan itu daripada tersinggung dan merasa malu. Ini juga menunjukkan satu daripada kemuliaan akhlak Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Perkara pokok yang ditakuti daripada perbuatan melambat-lambatkan perkahwinan ialah berlakunya maksiat zina. Tidak syak lagi ia turut mengancam kesejahteraan masyarakat dan negara kerana zina berpotensi besar untuk mendatangkan berbagai malapetaka, terutamanya malapetaka penyakit-penyakit ganjil yang merbahaya yang belum pernah diketahui sebelumnya. Lihat sajalah AIDS sebagai contoh, yang hingga sekarang menjadi pembunuh utama yang belum ditemui ubat penyembuhnya.

Perkara ini telah pun diperingatkan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Umar katanya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang menemui kami lalu bersabda: “Wahai (kamu) kalangan Muhajirin! Ada lima perkara apabila kamu diuji dengannya, aku pun perlindung dengan Allah daripada perkara-perkara tersebut menimpa kamu (iaitu salah satu): Tidak muncul perkara keji (zina) di dalam suatu kaum sehingga mereka melakukannya dengan terang-terangan, melainkan merebaklah dalam kalangan mereka itu penyakit taun dan pelbagai penyakit yang belum pernah wujud (menimpa) orang-orang yang terdahulu daripada mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulannya, perkahwinan itu pada dasarnya adalah sunat, tetapi akan menjadi wajib apabila seseorang itu takut terjerumus kepada al-Fawâhisy (perkara-perkara keji) yang boleh membinasakan agama dan dunianya terutama maksiat zina. Di dalam kedudukan seperti ini, tidak syak lagi, perkahwinan itu dengan sendirinya wajib disegerakan.

Berkata al-Qurthubi: “Para ulama kita berkata bahawa hukum wajib atau sunat perkahwinan itu adalah tertakluk kepada keadaan diri orang mukmin itu, iaitu adakah dia takut terjerumus kepada perzinaan dan tidak sabar menahan diri ataukah sebaliknya dia tidak mempunyai perasaan yang seperti itu. Jika dia mempunyai perasaan, kiranya dengan tidak berkahwin akan membinasakan urusan agama dan dunianya, maka pada ketika itu, perkahwinan adalah wajib baginya. Barang siapa berkeinginan untuk kahwin dan dia mampu untuk mengahwini seorang perempuan yang merdeka, maka sunat baginya kahwin. Akan tetapi jika dia tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu boleh mengurangkan nafsu syahwat.”

Sementara itu, bagi perempuan pula, al-Imam ar-Ramli dalam kitabnya, Nihâyah al- Muhtâj menyebut:

Ertinya: “Dalam kitab at-Tanbieh menyebutkan bahawa mana-mana perempuan yang harus baginya nikah, sekiranya dia menghajatinya, sunatlah dia nikah, dan jika tidak, adalah makruh jua. Inilah pendapat yang dinukil oleh al-Azra‘i daripada al-ashhab (sahabat-sahabat asy-Syafi‘e). Kemudian al-Azra‘i juga menukil tentang wajib kahwin ke atas perempuan, sekiranya perbuatan zina tidak dapat ditolaknya melainkan dengan nikah jua.”

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8933