Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Non-Muslim Menyertai Majlis Khatam Al-Qur’an

Soalan: Dengan penuh hormat sukacitanya Bahagian Al-Qur’an, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Pendidikan mengajukan soalan berikut:

1. Apakah hukumnya non-Muslim mengikuti majlis khatam al-Qur’an (dari segi ikut menyertai/ikut membaca/pemberian sijil)?

2. Apakah hukumnya non-Muslim mengikuti pertandingan dalam bidang agama seperti mengikuti pertandingan membaca al-Qur’an dan seumpamanya?

Pertanyaan ini diajukan berdasarkan bahawa Bahagian Al-Qur’an, JPI, Kementerian Pendidikan selalu diajukan soalan berkenaan tetapi tidak dapat memberikan jawapan kerana tiada panduan yang dapat dipegang untuk dijadikan rujukan.

Di atas kerjasama yang diberikan, tidak lupa diucapkan terima kasih.

Jawapan: Sebelum kita menjawab mengenai perkara yang ditanyakan, elok disentuh terlebih dahulu beberapa perkara mengenai tilâwah atau membaca al-Qur’an.

Membaca al-Qur’an adalah di antara ibadat yang sangat dituntut, kerana ia merupakan salah satu daripada rangkaian iman, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah: 121)

Ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa di antara sifat orang mukmin itu ialah beriman kepada Kitab (al-Qur’an), yang makanya mereka tetap memperuntukkan waktu untuk membaca al-Qur’an itu. Oleh sebab itulah syariat Islam telah menggariskan supaya al-Qur’an itu sentiasa dibaca malam dan siang, jangan ada malam atau siang yang kosong daripada bacaan al-Qur’an.

Bahkan ulama-ulama juga ada menyebutkan ayat-ayat dan surah-surah al-Qur’an yang patut dibaca pada setiap hari dan malam. Mereka juga menyebutkan fadhilat-fadhilat suatu ayat atau surah termasuklah kekerapan mengkhatam al-Qur’an. Semua ini dijelaskan dengan detil berdasarkan petunjuk hadis jua.

Fadhilat Membaca Al-Qur’an

Membaca al-Qur’an adalah seafdhal-afdhal ibadat menurut hadis sehingga disebut bahawa al-Qur’an itu akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi orang yang membacanya.

Bagi menggerakkan hati kita untuk mengerjakan amalan tilâwah atau membaca al- Qur’an serta menetapkan fikiran dan keinginan kita kepadanya, maka disebutkan faedah atau fadhilat membaca al-Qur’an itu, antaranya, sebagaimana di bawah ini:

i. Pembaca al-Qur’an dinaungi dengan payung rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan diturunkan Allah kepadanya ketenangan dan kewaspadaan.

ii. Pembaca al-Qur’an dikurniakan hatinya dengan cahaya oleh Allah dan dipeliharaNya daripada kegelapan.

iii. Pembaca al-Qur’an diharumkan baunya, disegani dan dicintai oleh orang-orang salih.

iv. Pembaca al-Qur’an, tidak bergundah hati dan terlepas daripada kesusahan-kesusahan di Hari Kiamat, kerana dia sentiasa dalam pemeliharaan dan penjagaan Allah.

v. Pembaca al-Qur’an memperolehi kemuliaan dan diberikan rahmat kepada ibu bapanya.

vi. Pembaca al-Qur’an memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syurga.

Kita timbulkan perkara-perkara yang berkaitan dengan al-Qur’an ini terutama dari sudut pahala membacanya, ialah bagi menekankan bahawa orang yang bukan Islam tidak ada jalan untuk memperolehi ganjaran atau pahala daripada pembacaan al- Qur’an itu.

Sesuai dengan yang dikehendaki oleh syara‘, ketika membaca al-Qur’an kita hendaklah memelihara adab-adabnya, baik adab lahir, mahupun adab batin, umpamanya di antara adab-adab lahir itu ialah membacanya dengan berwudhu dan membersihkan mulut (bersugi), sementara jika menyentuhnya pula hendaklah (wajib) bersih daripada hadas kecil dan hadas besar. Semuanya ini tidak akan terpenuhi oleh orang bukan Islam kerana semuanya itu adalah perkara ibadat jua.

Untuk keterangan lebih lanjut pengarang kitab an-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al- Washâyâ al-Îmâniyyah telah menulis mengenai adab membaca al-Qur’an:

“Membaca al-Qur’an itu ada adab-adabnya yang lahir dan batin. Seseorang itu tidak akan dihitung pembaca al-Qur’an yang sebenarnya, sempurna bacaannya sehingga mendapat tempat di sisi Allah, melainkan terlebih dahulu hendaklah dia beradab dengan adab-adab yang lahir dan batin. Orang yang mengabaikan adab-adab tersebut, tidak memelihara tata-tertibnya, belum boleh dihitung telah sempurna bacaannya, namun demikian tidaklah sia-sia bacaannya itu, kerana dia akan tetap beroleh pahala juga.

Di antara adab-adabnya yang terpenting dan dituntut kepada pembaca al-Qur’an itu hendaklah bersifat ikhlas kepada Allah Ta‘ala serta mengharapkan keredhaanNya, di samping mendekatkan dirinya kepadaNya dan mengharapkan pahala daripada pembacaannya itu. Janganlah sampai ia membaca al-Qur’an secara menunjuk-nunjuk, atau meniru-niru orang lain atau untuk menghibur orang atau mengharapkan sesuatu hadiah dan bayaran, kerana yang demikian itu adalah mata benda yang bakal binasa dan lenyap. Tetapi hendaklah seluruh batin dan hatinya penuh perasaan dengan kebesaran Zat Yang Berbicara; iaitu Allah ‘Azza wa Jalla, merendahkan diri kerana keagunganNya, seluruh hati dan anggotanya penuh khusyû‘, seolah-olah ia sedang berdiri di hadapan Allah membaca Kitab SuciNya yang menerangkan tentang perintah dan larangan. Adalah wajar bagi orang yang telah mengenal al-Qur’an dan mengenal Pembicaranya bersifat dengan sifat-sifat yang tersebut di atas itu, ataupun lebih sempurna daripada sifat-sifat yang tersebut. Betapa tidak, bukankah Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

Tafsirnya: “Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyû‘ serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”

(Surah al-Hasyr: 21)

Jika gunung yang bersifat keras akan demikian jadinya, apabila diturunkan al-Qur’an, maka bagaimana pula halnya manusia yang bersifat lemah dan yang dijadikan daripada air dan tanah. Hanya yang menyebabkan manusia itu tidak sedar ialah kelalaian hati dan kekerasan, dan lantaran kurangnya pengenalan terhadap kebenaran Allah Ta‘ala, kemuliaan dan keagunganNya.

Allah Ta‘ala telah berfirman dalam mensifatkan para hambaNya yang khusyû‘ ketika membaca al-Qur’an, firmanNya:

Tafsirnya: “Sama ada kamu beriman kepada al-Qur’an atau kamu tidak beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Qur’an kepada mereka, mereka segera menyungkurkan muka dengan sujud (dalam keadaan hiba dan khusyû‘); serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): “Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.” Dan mereka segera menyungkurkan muka mereka dengan sujud itu sambil menangis, sedang al-Qur’an menambahkan mereka khusyû‘.” (Surah al-Isrâ’: 107-109)

Allah berfirman lagi:

Tafsirnya: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al- Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benar dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengar atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah pertunjuk Allah.” (Surah az-Zumar: 23)

Membesarkan Tuhan serta berlaku khusyû‘ dan khudhû‘ ketika membaca al-Qur’an itu adalah daripada sifat-sifat para mukminin yang sebenarnya, para ahli yang ‘ârif dengan keagungan Allah Ta‘ala, Tuhan Rabb al-‘Âlamin. Manakala sifat lalai, keras hati, sentiasa lupa dan kurang memerhatikan ketika membaca al-Qur’an adalah dari sifat-sifat orang yang membelakangi al-Qur’an, terkeliru, imannya lemah, keyakinannya hampir tidak ada, sedang hatinya kosong daripada hakikat mengenal Allah dan mengenal Kalâmullâh.

Di antara adab-adab yang terpenting dan mesti, ialah ketika membaca al-Qur’an hendaklah dia merenungi apa yang dibacanya, memahami maksudnya dengan penuh kesedaran dan tidak lalai.

Allah telah berfirman:

Tafsirnya: “(Al-Qur’an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil i‘tibâr.” (Surah Shâd: 29)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mendedahkan celaan dan kelalaian setengah-setengah kaum terhadap al-Qur’an dengan firmanNya:

Tafsirnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka senghaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Qur’an? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al- Qur’an)?” (Surah Muhammad: 24)

Demikianlah beberapa huraian mengenai hukum, fadhilat dan adab membaca al- Qur’an sebagaimana yang disebut oleh kitab an-Nashâ’ih ad-Dîniyyah itu.

Mengenai dengan khatam al-Qur’an pula, bahawa khatam al-Qur’an itu bukanlah ia ‘ceramonial’ atau acara ‘majlis-majlisan’, bahkan ianya adalah juga ibadat. Ketika khatam itu rahmat Allah turun dan doa-doa mustajab. Al-Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkârnya telah menulis tata cara khatam al-Qur’an, antara lain beliau menulis:

(i) Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Ibnu Abbas) menugaskan seorang laki-laki untuk melihat-lihat orang membaca al-Qur’an. Apabila orang itu hendak mengkhatam al- Qur’an dia memberitahu Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, maka Ibnu Abbas pun menghadirinya.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya)

(ii) Daripada Qatadah at-Tâbi‘i (Tâbi‘în) dia berkata:

“Adalah Anas bin Malik (sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) Radhiallahu ‘anhu apabila dia mengkhatamkan al-Qur’an, dikumpulkannya keluarganya dan dia pun berdoa.’ (Riwayat Ibnu Abu Daud dengan isnâd shahîh)

(iii) Dari al-Hakam bin ‘Utaibah at-Tâbi‘i (Tâbi‘în) dia berkata:

“Mujahid dan ‘Ubadah bin Abu Lubadah datang menghadap aku, maka keduanya berkata: “Sesungguhnya kami datang menghadap kamu, kerana kami hendak mengkhatamkan al-Qur’an. Adalah doa itu mustajâb ketika khatam al-Qur’an. (Diriwayatkan dengan sanad-sanad yang shahîh)

(iv) Pada sebahagian riwayat shahîh lainnya disebutkan:

“Bahawasanya dikatakan, rahmat turun ketika khatam al-Qur’an.”

Diriwayatkan daripada Mujahid dengan sanadnya yang shahîh, dia berkata: “Mereka berkumpul ketika khatam al-Qur’an seraya mengatakan: “Rahmat turun.”

Apabila kita memerhatikan perkara-perkara yang dituntut oleh syara‘ terhadap pembaca al-Qur’an itu, nyatalah non-Muslim tidak dapat memenuhinya dan jauh sekali untuk memperolehi ganjaran pahala. Maka oleh hal yang demikian, penyertaan mereka dalam majlis khatam al-Qur’an atau pertandingan al-Qur’an tidaklah lebih daripada ‘ceramonial’ atau acara majlis-majlisan sahaja. Sedangkan di antara adab-adab membaca al-Qur’an itu hendaklah bersifat ikhlas kepada Allah Ta‘ala serta mengharapkan akan redhaNya. Dilarang juga sungguh-sungguh seseorang membacanya untuk menunjuk-nunjuk.

Menyentuh Dan Membaca Al-Qur’an Bagi Orang Bukan Islam

Apabila non-Muslim menyertai majlis khatam al-Qur’an atau pertandingan al-Qur’an, maka ada dua perkara yang akan timbul iaitu menyentuh dan membaca al-Qur’an itu sendiri.

Perkara pertama adalah haram menyentuh al-Qur’an tanpa wudhu berdasarkan dalil al-Qur’an:

Tafsirnya: “Tidak boleh menyentuhnya (al-Qur’an) kecuali orang-orang yang suci.” (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Dalil daripada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula:

Maksudnya: “Tidak boleh menyentuh al-Qur’an kecuali orang yang suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Di antara syarat-syarat wudhu hendaklah dia orang Islam, yakni tidak sah wudhu orang kafir. Ini bererti jika orang bukan Islam, walaupun dia berwudhu, namun wudhunya itu tidaklah sah.

Di antara perkara yang diharamkan ke atas orang haidh dan orang berjunub pula ialah, selain menyentuh al-Qur’an ialah membacanya.

Kemudian, lagi mengenai orang bukan Islam membaca dan mendengar bacaan al- Qur’an. Adakah boleh diajar membaca atau didengarkan bacaan al-Qur’an kepada mereka?

Menurut al-Imam an-Nawawi dalam kitabnya at-Tibyân (hlm. 137), bahawa tidaklah ditegah orang kafir mendengar al-Qur’an berdasarkan firman Allah:

Tafsirnya: “Dan jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar Kalâmullâh.” (Surah at-Taubah: 6)

Ahli tafsir ada yang mentafsirkan “mendengar Kalâmullâh” itu, antaranya, ialah supaya orang musyrikin mendengar keterangan-keterangan atau dalil kebenaran Islam. Ada pula yang mentafsirkan Kalâmullâh” itu al-Qur’an dan membacakannya kepada orang musyrikin.

Adapun mengajar al-Qur’an kepada orang kafir, berkata ulama-ulama asy-Syafi‘e: “Jika sekiranya tiada diharapkan dia masuk Islam, maka tidaklah harus diajarkan kepadanya. Akan tetapi jika diharapkan dia masuk Islam menurut wajh yang lebih ashah, haruslah diajarkan kepadanya.” (At-Tibyân li an-Nawawi: 137)

Ditanya kepada Ahmad bin Hanbal (mengenai mengajar al-Qur’an kepada kanak-kanak Majusi).

Ertinya: “Apa pendapat tuan bagi seorang lelaki Muslim mengajar kanak-kanak Majusi sesuatu daripada al-Qur’an?”

Jawabnya: “Jika dia masuk Islam ‘ya’, jika tidak, maka makruh meletakkan al- Qur’an bukan pada tempatnya.” (Al-Jâmi‘ li al-Khilal: 1/120-121)

Melihat kepada sambutan orang-orang bukan Islam terhadap Islam, khasnya orang-orang Iban dan Dusun, iaitu dengan merujuk kepada pengalaman Negara Brunei Darussalam, mereka itu ramai yang memeluk Islam. Berasaskan ini, harapan untuk orang bukan Islam memeluk Islam di negara ini adalah sentiasa ada. Oleh hal yang demikian, jika terdapat tanda-tanda adanya harapan bagi non-Muslim itu akan masuk Islam, seperti kanak-kanak bukan Islam dan termasuk ibu bapa mereka sendiri suka anak-anak mereka itu belajar al-Qur’an dan menghadiri majlis khatam al-Qur’an atau pertandingan al-Qur’an itu, maka harus kanak-kanak itu menyertai majlis khatam al- Qur’an atau pertandingan al-Qur’an sebagai dakwah kepada mereka agar lebih terbuka hati kepada Islam, tetapi dengan ingatan, mereka jangan (haram) menyentuh al-Qur’an dalam keadaan apa jua sama ada kerana berhadas atau haidh, dan haram membacanya bagi yang ada haidh atau yang berhadas besar. Untuk memudahkan membawanya dan membuka lambaran-lambarannya bolehlah menggunakan al- Qur’an yang ada terjemahannya. Namun huruf-huruf al-Qur’an tidak boleh disentuh.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8937