Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Permasalahan Mengangkat Anak Bukan Islam: Mengazan, Meng‘aqîqah, Membin Serta Mengkebumikannya

Soalan: Dengan segala hormat dan sukacitanya dipohonkan fatwa berhubung dengan orang Islam mengangkat anak orang bukan Islam (kafir). Sebaik-baik sahaja anak ini dilahirkan dan diserahkan kepada orang Islam, bolehkah anak ini:

i. Diazan atau diiqâmahkan sebagaimana anak-anak orang Islam.

ii. Dibuatkan ‘aqîqah untuknya.

iii. Menamakan anak ini dengan nama Islam, dan adakah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau bapanya?

iv. Jika anak ini meninggal dunia sebelum atau sesudah mumayyiz, apakah yang patut kita lakukan?

v. Sebagaimana yang tersebut di dalam Akta Majlis Ugama dan Mahkamah- Mahkamah Kadi Penggal 77, kanak-kanak yang memeluk agama Islam yang belum mencapai umurnya 14 tahun 7 bulan tidak boleh didaftarkan. Bagaimana kedudukan anak ini jika dia bâligh sebelum umur tersebut. Jika dia meninggal, bagaimana pula kedudukannya?

Jawapan: Status Anak Angkat

Sebelum menjawab soalan-soalan pecahan yang dikemukakan, kita huraikan dahulu secara umum persoalan anak angkat itu.

Salah satu tradisi di kawasan sebelah sini dalam soal menjadikan anak orang bukan Islam sebagai anak angkat kepada orang Islam, ialah menerusi penyerahan sepenuhnya anak berkenaan kepada bapa atau ibu angkat dan selepas penyerahan, tidak ada kaitannya lagi dengan bapa atau ibu kandungnya dari segi asuhan, jagaan atau pembelaan. Proses ini berlaku seperti menyerahkan hak milik sesuatu barang kepada orang lain, ia tidak diharap akan dimiliki semula.

Pada masa ini perkara yang sama juga berlaku, bahkan ia diperkuat lagi oleh peraturan atau undang-undang pengesahan daripada mahkamah, sehinggalah ada yang memiliki sijil atau surat penyerahan anak angkat itu.

Kesan daripada penyerahan sepenuhnya ini, menjadikan kedudukan anak angkat dalam pandangan orang lain adalah seolah-olah sama dengan anak kandung sendiri kepada bapa angkat. Dengan kata lain penguasaan terhadap anak itu telah diserahkan sepenuhnya kepada bapa angkat. Bahkan sebahagian bapa atau ibu kandung anak berkenaan tidak mahu tahu lagi tentang anaknya itu. Inilah di antara proses pengambilan anak angkat yang berlaku, sama ada anak yang baru lahir atau yang belum mumayyiz.

Sebagai tanda adanya penguasaan penuh terhadap anak angkat itu, kedua ibu bapa yang mengangkat ada yang sampai membin atau membintikan anak angkat tersebut kepada dirinya sendiri (bapa angkat) walaupun perkara ini menyalahi hukum syara‘, yakni haram orang Islam membin atau membintikan pada dirinya kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri sama ada anak itu anak angkat, anak pungut atau anak tawanan perang. Dalam sesetengah kes, walaupun sudah diketahui tentang kedudukan hukumnya, namun masih terdapat juga ibu bapa angkat yang mahukan anak angkatnya itu dibin atau dibintikan kepada dirinya.

Berdasarkan keadaan ini dan keadaan yang sudah-sudah yang pernah berlaku, maka ramailah anak angkat yang diasuh oleh orang-orang Islam terus menetap bersama keluarga angkat dan hidup secara Islam sehingga dewasa. Mereka bukan sahaja menerima pendidikan di sekolah-sekolah agama, bahkan taat menjalankan ajaran Islam sejak kecil lagi dan tidak mahu kembali ke pangkuan ibu bapa kandung dan agama asalnya. Pendeknya, mereka menjalani hidup adalah benar-benar sebagai orang Islam.

Selain soal asuhan dan penjagaan, salah satu unsur yang menjadi perhatian di sini ialah perpindahan “kuasa” bapa kandung kepada bapa angkat secara mutlak tanpa paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak. Dalam sesetengah kes, pengangkatan itu berlaku seperti ‘jual beli’ iaitu dengan adanya imbalan daripada ibu bapa angkat kepada ibu bapa kanak-kanak yang diangkat itu. Ini berlaku walaupun Islam sebenarnya tidak mengharuskan jual beli manusia. Kita sebutkan perkara ini untuk memberi gambaran tentang kuasa terhadap anak itu yang tidak lagi dimiliki oleh ibu bapa kandung tetapi telah berpindah kepada ibu bapa angkat.

Tekanan keadaan hidup atau sebab-sebab lain seperti sebahagian ibu bapa yang menganggap anak perempuan tidak membawa tuah atau dilahirkan di luar nikah boleh menjadi sebab orang memberikan anak mereka kepada orang lain. Bahkan mereka memberikan kuasa penuh kepada siapa yang mengangkat anak itu, yang diperkemaskan lagi dengan pengesahan oleh pihak mahkamah.

Ringkasnya, pengangkatan anak itu boleh dikatakan sebagai peralihan kuasa, pemeliharaan dan pembelaan anak yang diangkat termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan berbagai kebajikan seperti urusan sekolah, pendaftaran taraf kebangsaan dan lain-lain. Semua ini menjadi tanggungjawab orang yang mengangkat itu.

Begitulah antara gambaran kedudukan anak angkat yang kita ketahui di alam Melayu.

Bilakah Kanak-Kanak Diperakui Sebagai Islam?

Ulama Syafi‘e berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum bâligh dihukumkan sebagai Islam secara zahir dan batin sama ada kerana dia ditawan oleh orang Islam secara bersendirian tanpa ibu bapanya atau kerana dia mengikut salah satu keturunannya daripada pihak bapa atau ibunya yang Islam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/199)

Adapun anak pungut (laqîth) apabila dipungut dalam negeri Islam atau perkampungan orang Islam, anak itu juga diakui oleh syara‘ sebagai Islam.

Dihukumkan Islam Kerana Ditawan

Khusus bagi kanak-kanak bukan Islam yang ditawan oleh orang Islam, adalah dihukumkan sebagai Islam kerana mengikut orang Islam yang menawannya, tetapi dengan syarat dia adalah seorang diri sahaja ketika ditawan itu tanpa bersamanya salah seorang daripada ibu dan bapanya. Sekiranya dia bersama-sama dengan keduanya atau salah seorang daripada keduanya, maka kanak-kanak itu dihukumkan mengikut agama mereka, kerana pengaruh taba‘iyyah (ikutan) keturunan lebih kuat daripada pengaruh taba‘iyyah orang yang menawannya. (Hâsyiah al-Bajuri: 2/61)

Imam an-Nawawi berkata:

Ertinya: “Apabila orang Islam menawan anak kecil, maka anak itu mengikut orang yang menawannya dalam Islam (yakni dihukumkan seorang Islam) jika tidak ada bersamanya salah seorang daripada kedua ibu bapanya.” (Minhâj ath-Thâlibîn: 177)

Apa yang disebutkan oleh ulama Syafi‘e: “Jika kanak-kanak itu ditawan secara bersendirian (seorang diri) tanpa bersamanya salah seorang daripada ibu bapanya”, menunjukkan betapa kuat pengaruh kuasa ibu atau bapa terhadap anak mereka berbanding dengan pengaruh keislaman orang yang menawan anak mereka.”

Kanak-kanak hanya boleh mengikut agama orang yang menawannya jika kedua ibu bapanya tidak bersamanya. Selama kanak-kanak itu bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka, maka selama itu pulalah dia di bawah pengaruh dan kuasa mereka (ibu atau bapa kandungnya). Jika salah seorang daripada ibu bapanya masuk Islam, maka dia dihukumkan Islam dengan sendirinya.

Jadi dalam soal ini terdapat satu unsur atau sebab kanak-kanak itu dihukumkan Islam, iaitu tidak ada bersama kanak-kanak tawanan itu kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka di dalam tentera musuh atau dalam harta ghanîmah (harta rampasan) yang ditawan bersama-samanya.

Maka dengan itu kanak-kanak berkenaan dianggap bagaikan anak yang baru lahir daripada ibu bapa yang beragama Islam ketika dia ditawan itu. Imam asy-Syarbini berkata bahawa keadaan ini berlaku sama ada yang menawan itu sudah bâligh lagi berakal ataupun tidak. (Mughni al-Muhtâj: 2/575)

Apabila hal ini dikaitkan dengan proses pengangkatan kanak-kanak pada masa ini sebagaimana yang saya sebutkan di awal-awal tadi, di sini akan kita temui suatu

perkara yang bersamaan, iaitu soal “penguasaan” atau istîlâ’ (استيال). Dalam soal

tawanan, orang yang menawan memiliki atau menguasai kanak-kanak yang ditawannya itu, kerana dialah yang menawan. Jadi penguasaan terhadap kanak-kanak itu telah berpindah ke tangan orang Islam yang menawannya. Dalam soal anak angkat pula, bapa angkat telah mengambil alih penguasaan terhadap anak angkat, kecuali dalam perkara-perkara tertentu, seperti kewalian, di mana bapa angkat tidak boleh menjadi wali nikah jika anak angkatnya itu perempuan dan dalam perkara warisan di mana anak angkat tidak mewarisi dan diwarisi daripada atau oleh bapa angkatnya.

Dalam konsep tawanan, tidak ada unsur kerelaan, yakni bapa kandung kanak-kanak itu tidak akan rela anaknya ditawan oleh orang Islam. Walaupun begitu, hukum telah menetapkan bahawa kanak-kanak berkenaan tetap dihukumkan Islam. Adapun dalam konteks pengendalian anak angkat adalah sebaliknya, iaitu ia berlaku di atas dasar suka sama suka dan bahkan dapat pula dianggap ibu bapa kandung kepada anak itu memang telah bersedia dan redha anaknya menjadi Islam, atau menjadi ‘orang Melayu’ yang beragama Islam.

Setelah melihat perbandingan di antara kanak-kanak yang ditawan dan kanak-kanak yang dijadikan anak angkat, maka apabila kanak-kanak yang ditawan yang sudah setentunya ditawan tanpa kerelaan kedua atau salah seorang daripada ibu bapanya yang tidak turut ditawan telah dihukumkan sebagai Islam, betapa kanak-kanak yang diangkat dengan penuh kerelaan daripada ibu bapa bukan Islam itu, saya berpendapat adalah lebih munasabah dan lebih ‘awlâ’ anak angkat itu menjadi kanak-kanak Islam.

Dengan adanya unsur dan tanda kerelaan ibu bapa bukan Islam mengangkat atau menyerahkan anaknya kepada keluarga Islam itu, sendirinya bolehlah dianggap mereka (ibu bapa kandung bukan Islam itu) adalah merelai anak mereka menjadi orang Islam.

Perkara istîlâ’ atau penguasaan ini telah disentuh oleh pengarang Bughyah al- Mustarsyidîn ketika membicarakan pembelian kanak-kanak yang kafir oleh orang Islam, maka kanak-kanak itu mengikutinya sebagai orang Islam. Walaupun hukum jual beli manusia tidak sah, tetapi ia dianggap sebagai penguasaan atau istîlâ’. Pengarang berkata:

Ertinya: “Adapun pembelian kanak-kanak orang kafir daripada usul (bapa, datuk, nenek) mereka tidak sah sebagai satu pembelian, tetapi ia hanyalah satu penguasaan (istîlâ’) jua.

Jika pembeli itu seorang Islam, maka kanak-kanak itu mengikutnya menjadi Islam dan dia berhak mendapat bahagian harta ghanîmah.

Jika pembeli itu seorang kafir, sekalipun kafir dzimmi, kanak-kanak itu adalah kekal di dalam kekufurannya mengikut pendapat yang ashah.

Pembeli (orang Islam itu) telah memiliki sepenuhnya kanak-kanak itu. Namun ketika itu pembelinya tidak halal mewath’inya (jika anak perempuan) sehinggalah dia bâligh dan tidak sah Islamnya sebagaimana zahir pendapat jumhûr ulama, tetapi al- Bulqaini berpendapat sah Islamnya dan pendapat ini yang dii‘timâdkan oleh as- Suyuthi dan dicenderungi oleh as-Subki.

Walau bagaimanapun, tidak sah keislaman anak itu jika dia anak kafir mu‘ahad, tetapi dinukilkan daripada pendapat al-Mawardi adalah sah kerana dia sama dengan anak kafir harbi.” (Bughyah al-Mustarsyidîn: hlm. 179)

Ertinya kanak-kanak kafir mu‘ahad tidak sah Islamnya menerusi penguasaan dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun menurut apa yang dinukil daripada pendapat al-Mawardi sah Islamnya berdasarkan bahawa dia adalah sama seperti anak kafir harbi.

Kedudukan Kanak-Kanak Bukan Islam Yang Belum Bâligh Jika Dia Memeluk Islam

Kanak-kanak bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam itu, dengan sebab persekitaran, pendidikan dan asuhan ibu bapa angkatnya, kanak-kanak itu telah memeluk Islam sedangkan dia belum bâligh, adakah sah Islamnya atau adakah dia dianggap seorang Islam?

Mengikut ulama mazhab Syafi‘e tidak sah Islam kanak-kanak yang belum bâligh berdasarkan hadis:

Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak diambil kira sebagai kesalahan daripada perbuatan tiga orang iaitu orang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia dewasa (sampai umur bâligh) dan orang gila sehingga dia pulih akalnya atau kembali siuman." (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Menurut mazhab Syafi‘e lagi tentang tidak sah Islam kanak-kanak bukan Islam: “Kerana Islam itu ialah ucapan yang mensabitkan hukum sedangkan ianya tidak sah daripada kanak-kanak seperti hibah, jual beli, memerdekakan dan iqrâr. Selain itu, kanak-kanak termasuk dalam kategori yang tidak mendapat risiko hukuman. Oleh itu Islam mereka tidak sah dan ini sama halnya dengan orang gila dan orang yang tidur, di mana orang-orang seperti ini tidak diberati hukum (yakni belum ada taklîf ke atasnya). (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/902-903)

Namun ada juga ulama Syafi‘iyyah seperti al-Bulqaini dan as-Suyuthi yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam apabila dia mengucap dua kalimah syahadat. Di antara alasan mereka yang menyatakan sah Islamnya ialah sebagaimana sah puasa kanak-kanak, sembahyang dan hajinya.

Berdasarkan al-Imam as-Suyuthi bahawa dalil menunjukkan sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam itu di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya daripada Muslim at-Tamimi katanya:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus kami dalam suatu peperangan. Ketika kami menyerang musuh, aku dapat mendahului sahabat-sahabatku dengan cara menunggang kuda. Lalu kami menemui perempuan-perempuan dan kanak-kanak berteriak ketakutan, aku berkata kepada mereka: “Sukakah kamu menyelamatkan diri kamu?” Mereka menjawab, “Ya”. Aku berkata:

melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad hamba dan PesuruhNya.”) Maka mereka pun mengucapkannya (syahadat itu). Lalu sahabat-sahabatku mengatakan kepadaku, kata mereka: “Hampir sahaja kita memperolehi ghanîmah (harta rampasan), akan tetapi engkaulah yang telah menghalang kami. Kemudian kami pun berangkat menuju Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Tahukah kamu apa yang dibuat olehnya (Muslim at-Tamimi)? Sesungguhnya Allah telah menulis baginya setiap manusia begini, begini.” Kemudian Baginda mendekatiku.” (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 221)

Adapun maksud hadis (رفع القلم....احلديث) yang dijadikan sandaran, secara tepat ia

menghalang keshahîhan Islam kanak-kanak yang belum bâligh, sebab perkataan رفع

القلم itu sendiri disyarahkan oleh para ulama sebagai tidak menjadi dosa (kepada beberapa golongan yang tidak diberati hukum yakni yang belum atau tidak ada taklîf padanya). Hakikat hadis ini juga tidak jelas menunjukkan tertolak amal kebajikan yang mereka lakukan termasuklah memeluk agama Islam sebelum bâligh.

Pendapat seumpama ini juga disebut oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya Ahkâm Ahl azd-Dzimmah, dengan katanya:

Ertinya: “Adapun hadis Shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa tidak sah Islam kanak-kanak itu, tidak sah zikirnya, tidak sah bacaan al-Qur’annya, tidak sah sembahyangnya dan tidak sah puasanya. Sesungguhnya Nabi tidak pula memberitahu yang pahalanya diangkat (tidak dicatat atau ditulis) daripada kanak-kanak itu, akan tetapi yang sebenarnya hadis ini dimaksudkan tidak ditulis sebagai kesalahan dan tidak menjadi dosa ke atasnya. Padahal Islam (masuk Islam) itu sebesar-besar amal kebajikan, dan ini sangat baik bagi kanak-kanak itu, bukan pula sebaliknya. Bagaimana boleh difahami: “Diangkat qalam (tidak menjadi kesalahan) daripada kanak-kanak” dengan maksud: “Tidak sah keislaman kanak-kanak itu, dan tidak diambil kira keislamannya, padahal masuk Islam itu adalah pahala baginya bukan sebaliknya (iaitu dengan menjadikan alasan bagi orang-orang yang tidak setuju dengan keislamannya) di mana dengan Islam dia akan bahagia di dunia dan akhirat.” (Ahkâm Ahl azd-Dzimmah: 2/907)

Menurutnya lagi:

Ertinya: “Islam itu suatu ibadah yang murni, suatu ketaatan kepada Allah dan jalan mendekatkan diri kepadaNya. Oleh sebab itu bâligh itu bukanlah menjadi syarat sah amal ibadat kepada Allah, seperti sah haji, puasa, sembahyang dan bacaan al- Qur’an yang dilakukan oleh kanak-kanak. Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyeru hamba-hambaNya melakukan ibadat supaya memperolehi syurga as-Salam dan menjadikan Islam jalan untuk sampai kepadanya, sebaliknya Allah menjanjikan sesiapa yang tidak menyahut seruan masuk Islam akan ditempatkan dalam neraka al- Jahim dan seksa yang amat pedih. Oleh kerana itu bagaimana boleh dihalang kanak-kanak untuk menyahut seruan Allah (untuk masuk Islam) di samping kanak-kanak itu telah bersegera menyahut seruan itu dan melalui jalan ke arah seruan itu, dan bagaimana boleh dia dipaksa dengan mengikuti jalan ahli neraka, hidup bersama mereka sehingga dia dihukum dengan api neraka, serta bagaimana boleh menutup jalan selamat baginya? Ini suatu perkara yang mustahil (tidak boleh berlaku) kerana telah ijmâ‘ para sahabat bahawa Ali bin Abu Thalib Radiallahu ‘anhu memeluk Islam semasa kanak-kanak dan dia berbangga dengan hal demikian itu menerusi syairnya: “Aku mendahului kamu menyahut seruan Islam lebih awal sedang aku kanak-kanak belum sampai umur bâligh.”

Bagaimana pula boleh dikatakan: “Keislaman Ali itu batal dan tidak sah?” Oleh kerana itulah berkata bukan sedikit daripada tâbi‘în dan orang-orang selepas mereka bahawa orang yang mula-mula masuk Islam daripada kalangan lelaki (dewasa) ialah Abu Bakar, daripada kalangan kanak-kanak ialah Ali, daripada kalangan perempuan ialah Khadijah, daripada kalangan hamba ialah Bilal dan daripada mawâli (bekas-bekas hamba) ialah Zaid.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/906)

Sebahagian ulama yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak bukan Islam itu adalah dengan hujah:

(i) Kanak-kanak juga termasuk orang yang layak mengucapkan ال إله إال هللا. Allah

mengharamkan masuk neraka sesiapa yang mengucapkan ال إله إال هللا dan sesiapa yang

mengucapkan ال إله إال هللا akan masuk syurga. Ini jelas melalui hadis-hadis berikut:

Maksudnya: “Daripada ‘Itban bin Malik al-Anshari, kemudian seorang Bani Salim, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepadaku pada waktu pagi lalu bersabda: “Tidak disempurnakan (balasan) seseorang hamba pada Hari Kiamat yang mengucapkan “الإله اال هللا” (tiada Tuhan melainkan Allah), seraya dengan kalimat itu dia mengharapkan keredhaan Allah, melainkan Allah mengharamkan api neraka atas dirinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: “Daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit: dia berkata: “Barang siapa bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, maka Allah mengharamkan neraka atasnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Maksudnya: “Daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Aku menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Saat itu Baginda memakai pakaian berwarna putih. Oleh kerana Baginda sedang tidur, aku pun pulang. Ketika aku datang lagi rupanya Baginda sudah bangun. Baginda bersabda: “Setiap hamba yang mahu mengucapkan “ َ هللا ” kemudian dia mati dalam keadaan seperti itu, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

(ii) Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah berkata:

Maksudnya: “Aku dan ibuku tergolong dari kalangan (orang-orang Islam) yang lemah dan ditindas di Makkah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Setelah menukil perkataan Ibnu ‘Abbas ini, Imam Ibnu Qayyim memberi huraian bahawa pada masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, dia (Abdullah bin ‘Abbas) belum lagi bâligh. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali pernah menolak keislaman seseorang yang masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak, bahkan Baginda menerima keislaman kanak-kanak yang kecil, yang besar (dewasa), orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan. Nabi sendiri tidak pernah memerintahkan, begitu juga mana-mana salah seorang daripada khalifah-khalifah Baginda, dan mana-mana sahabat Baginda yang lain supaya kanak-kanak yang masuk Islam sebelum bâligh membaharui (mengulang semula) Islamnya. Perkara memerintahkan agar membaharui keislaman seperti ini tidak pernah diketahui terjadi dalam sejarah Islam. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/906)

Perkara kanak-kanak masuk Islam ini disokong oleh beberapa peristiwa, di antaranya:

Maksudnya: “Daripada Abdullah ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawasanya: “Umar Radhiallahu ‘anhu pergi bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu rombongan menuju ke arah Ibnu Shayyad sehingga mereka menjumpainya sedang bermain-main bersama kanak-kanak di rumah Bani Maghalah. Usia Ibnu Shayyad hampir dewasa, dia tidak terasa sehingga Nabi memukulnya dengan tangan, kemudian bersabda kepada Ibnu Shayyad: “Bersaksilah kamu bahawa aku utusan Allah.” Ibnu Shayyad memandangnya lalu berkata: “Saya bersaksi bahawa kamu utusan Allah....” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: “Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Ada seorang kanak-kanak Yahudi bekerja (berkhidmat) dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia jatuh sakit. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam datang menziarahinya, Baginda duduk di sisi kepalanya seraya bersabda kepadanya: “Islamlah kamu”, lalu dia memandang ayahnya yang ada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatilah Abu al-Qasim (gelaran kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).” Lalu dia masuk Islam, dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun keluar seraya bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dia daripada neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Daripada beberapa penjelasan dan dalil-dalil yang dikemukakan ini dapatlah diambil kesimpulan bahawa keislaman seorang kanak-kanak itu adalah diterima walaupun dia belum mencapai umur bâligh.

Syarat-Syarat Masuk Islam Bagi Kanak-Kanak

Berkata al-Khiraqi: “Kanak-kanak yang bukan Islam jika telah berumur sepuluh tahun, dan dia berakal ketika masuk Islam, maka dia menjadi seorang Islam.”

Oleh kerana itu sah Islamnya dengan dua syarat:

(i) Hendaklah dia berumur sepuluh tahun. (ii) Berakal ketika masuk Islam itu.

Mengenai dengan syarat yang kedua, tiada khilâf (tidak berbeza pendapat) ulama tentang persyaratan ini. Kanak-kanak yang tidak berakal tidak akan sabit i‘tiqâd Islamnya, kata-katanya tidak diambil kira dan apa yang diucapkannya bukan menunjukkan kehendak niatnya.

Mengenai syarat yang pertama, berkata asy-Syeikh (Ibnu Qudamah) dalam kitabnya al-Mughni: “Kebanyakan ulama yang mengesahkan keislaman kanak-kanak tidak pun mensyaratkan yang demikian itu, mereka tidak juga menetapkan had umur. Pendapat sedemikian ini juga telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Munzir daripada Ahmad bin Hanbal: “Yakni sebenarnya sah Islam kanak-kanak tanpa penetapan had umur.” Tetapi dalam satu riwayat lain daripada Ahmad: “Jika kanak-kanak itu masuk Islam ketika berumur tujuh tahun, jadilah dia seorang Islam kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Perintahkanlah mereka (kanak-kanak) supaya mendirikan sembahyang ketika berumur tujuh tahun.”

Ini menunjukkan yang demikian itu terdapat had (umur) ketika memerintahkan mereka dan sah ibadat mereka, maka had umur 7 tahun itu pulalah yang menjadikan sahnya Islam mereka. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/910)

Yang masyhur dalam mazhab (Ahmad bin Hanbal): “Kanak-kanak (yang bukan Islam) apabila berakal ketika masuk Islam, sah Islamnya tanpa mengambil kira had umurnya. Sedangkan al-Khiraqi menetapkan sepuluh tahun dan yang lainnya menetapkan sembilan tahun, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah bin Hamdan, dan mengikut nash Ahmad dalam satu riwayat, tujuh tahun. Berkata Ibnu Abu Syaibah: “Jika masuk Islam, dan ketika itu umurnya lima tahun, jadilah Islamnya itu sebagai (orang) Islam.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/910)

Bilakah Kanak-Kanak Dihukumkan Sebagai Seorang Islam?

Menurut jumhûr iaitu bagi mazhab Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad serta sahabat-sahabat mereka, kanak-kanak jika dia berakal ketika masuk Islam secara bersendirian, sah Islamnya. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/901)

Setelah meneliti hujah-hujah jumhûr ulama, iaitu mazhab Abu Hanifah, Malik dan Ahmad serta sahabat-sahabat mereka, kita juga cenderung untuk memfatwakan bahawa kanak-kanak bukan Islam apabila dia mengucapkan dua kalimah syahadat dalam keadaan dia berakal, maka jadilah dia seorang Islam.

Analisis Persoalan Mengangkat Anak Bukan Islam

Elok kita balik semula tentang orang Islam mengangkat anak orang bukan Islam dalam kedudukan kes seperti berikut:

“Jika ibu bapanya yang kafir itu tidak mahu mengasuh atau menjaga anaknya sama ada kerana kesempitan hidup atau menganggap anak itu tidak mendatangkan tuah, atau ada sebab-sebab lain, lalu menyerahkannya kepada orang Islam secara sukarela dan sepenuh hati, tanpa paksaan untuk diasuh atau diangkat. Di samping itu, pada bila-bila masa ibu bapa asal itu tidak berhasrat lagi mengambilnya semula dan penyerahan itu dianggap sebagai isyarat yang mereka rela anak itu diasuh dan dididik dengan Islam, bahkan menjadi anak Islam. Jika demikian hal keadaannya dan kedudukan perkara, mengapa anak orang bukan Islam seperti ini tidak patut dianggap sebagai anak Islam?”

Selain hujah-hujah di atas, pendapat ini ada relevannya dengan hadis yang menyebutkan bahawa setiap anak yang lahir adalah dalam keadaan fitrah. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada anak yang dilahirkan, kecuali dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi sebagaimana binatang itu dilahirkan dengan lengkap. Apakah kamu melihat binatang lahir dengan terputus (hidung, telinga dan lain-lain)?” Kemudian Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “Kamu bacalah:

Tafsirnya: “Iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia daripada semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus.” (Surah ar-Rûm: 30)

Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar, fitrah anak itu bermaksud bahawa fitrahnya bersedia untuk mengenali agama Islam dan untuk menyukainya.(Syarh Shahîh al-Bukhari: 3/349)

Pengecualian dalam hal ini ialah jika ibu bapanya menjadikannya Yahudi, Nashrani atau penyembah api. Bagaimana jika keduanya menjadikannya Islam, adakah dia Islam?

Jika ditilik di sebalik perkataan ini dengan mengambil kira yang sebaliknya, yakni jika ibu bapanya tidak menjadikannya Yahudi atau Nashrani, tetapi menjadikannya Islam, bermakna dia adalah Islam, Islam mengikut fitrah, dan ibu bapanya telah berfungsi menjadikan atau mengembalikannya ke fitrahnya yang asal.

Pokok persoalan di sini ialah “jika ibu bapa ingin atau rela menjadikan anaknya Islam” - maka mengikut proses yang disebutkan di atas, maka selain hadis dan pengertiannya ini, ulama-ulama daripada mazhab lain adalah menghukumkan kanak-kanak berkenaan sebagai Islam sebagaimana yang dicatatkan di bawah ini.

Kafir Dzimmi Menjadikan Anaknya Seorang Islam

Ada ulama berpendapat bahawa orang kafir yang berusaha menjadikan anaknya yang kecil sebagai seorang Islam adalah diperakui bahawa anak itu dihukumkan Islam.

Dalam persoalan ini, jika orang kafir penyembah api misalnya berkata tentang anaknya: “Anak ini adalah seorang Islam.”

Kemudian selepas lima tahun, kanak-kanak itu mati, maka kanak-kanak itu harus dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.

Pendapat ini ialah pendapat yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Muhammad al- Khallal daripada pendapat mazhab Hanbali. (Kitab al-Jâmi‘: 1/90-91)

Setelah menukilkan pendapat yang disebutkan oleh al-Khallal itu, Ibnu Qayyim berkata: “Ertinya, kanak-kanak itu hanya dihukumkan kufur, kerana kedua orang tuanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani. Oleh itu apabila keduanya menjadikannya Islam, maka jadilah dia Islam.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/941)

Dr. Ibrahim bin Hamdas-Sultan ketika mentahqîq kitab al-Jâmi’ karangan al-Khallal di dalam memberi ulasan tentang: ُ َ يـَ هَ وَ دَ انَهُ وَ يـَ نَ صَ رَ انه (kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi dan Nashrani) bahawa dari satu segi, hadis ini sebagai dalil bahawa jika kedua ibu bapa mereka menjadikan anak mereka seorang Islam, maka jadilah dia seorang Islam, di mana kedua ibu bapa, menurut perhitungan nash hadis

Nasrani atau Majusi, demikian juga jika keduanya menjadikannya seorang Islam (jadilah dia seorang Islam). (Kitab al-Jâmi‘: 1/91)

Asuhan Orang Islam

Mengikut sebahagian ulama, asuhan atau belaan orang Islam terhadap kanak-kanak kafir dzimmi adalah memberi kesan hukum terhadap agama anak itu.

Misalnya seorang Islam mempunyai hamba sahaya suami isteri yang Nashrani yang mempunyai anak, lalu anak itu meninggal dan semasa meninggal dia berada di dalam asuhan atau belaan orang Islam, maka dia dianggap Islam.”

Mengikut pendapat ini, asuhan atau belaan orang-orang Islam terhadap anak orang kafir boleh menjadikannya sebagai seorang Islam. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/942- 943).

Ketika membahas soal kemerdekaan dan warisan, Ibnu Qayyim berkata:

Ertinya: “Apa yang disebutkan guru kita itu hanyalah menunjukkan bahawa kanak-kanak kecil apabila diasuh oleh keluarganya yang kafir dzimmi, maka dia mengikut agama mereka, dan tidak menunjukkan bahawa kita tidak menghukumkan keislamannya apabila dia diasuh oleh orang-orang Islam.” (Ahkâm Ahl adz- Dzimmah: 2/1057)

Apa yang disebutkan Ibnu Qayyim itu bererti boleh menghukumkan anak orang kafir itu sebagai Islam apabila dia diasuh atau dibela oleh orang Islam.

Ibnu al-Qayyim membawakan contoh permasalahan bahawa seorang kanak-kanak itu akan mengikut agama kedua-dua ibu bapanya (sama ada) Islam atau kafir. Oleh kerana itu apabila kedua ibu bapanya yang bukan Islam meninggal, maka dengan sendiri hilanglah sebab ikutan (ikutan kedua ibu bapa dalam agama kafir itu). Ketiadaan sebab tersebut menjadikan kanak-kanak itu kembali kepada agamanya yang fitrah yang mula-mula (Islam). Inilah yang lebih utama dengan kanak-kanak itu.

Katanya:

Ertinya: “Kanak-kanak yang bukan Islam apabila mati semua kaum keluarganya (termasuk kedua ibu bapanya), lalu kanak-kanak ini dipelihara oleh orang asing daripada kalangan orang-orang kafir, maka tidak boleh menjadikan kanak-kanak itu sebagai orang kafir, kerana ia mengeluarkannya daripada fitrah (Islam) yang mana fitrah itu (Islam) Allah jadikan bagi kanak-kanak itu sebagai asal kejadiannya, maka mengeluarkan daripada asal kejadiannya, tidak wajar. Pemeliharaan mereka ini ditolak, sebab akan memasukkannya daripada kejadiannya yang fitrah (tauhid) ke dalam kekufuran tanpa ada bersama-samanya ikutan salah seorang daripada kaum keluarganya. Cara ini (menjadikan kanak-kanak itu kafir) sangat buruk sekali kerana apabila kedua-dua ibu bapanya meninggal, penguasaan terhadap kanak-kanak bukan Islam tidak boleh berpindah kepada kaum kerabatnya, sebagaimana juga tidak boleh diperlakukan terhadap kanak-kanak orang Islam (penguasan mereka berpindah kepada kaum kerabatnya), bahkan penguasan kanak-kanak bukan Islam itu tanggungjawab bagi orang-orang Islam seluruhnya. Pada saat itu kanak-kanak yang kematian keluarga dihukumkan sebagai orang Islam sama seperti kanak-kanak bukan Islam yang ditawan tanpa kedua ibu bapanya, bahkan Islamnya kanak-kanak ini lebih utama berbanding daripada kanak-kanak tawanan tadi.” (Ahkâm Ahl adz-dzimmah: 2/898)

Jika pengangkatan kanak-kanak bukan Islam kepada orang Islam berdasarkan penguasaaan atau istîlâ’, maka kanak-kanak itu menjadi orang Islam, sebab orang yang mengangkatnya ialah orang Islam. Dasar istîlâ’ ini juga menjadi pegangan kepada pengarang Bughyah al-Mustarsyidîn yang menjadi pilihan kepada al-Imam al- Bulqaini. Pendapat ini (tentang sah Islam kanak-kanak yang dibeli oleh orang Islam, berdasarkan istîlâ’ itu) dii‘timâdkan oleh al-Imam as-Suyuthi, sementara al-Imam as- Subki pula cenderung kepada pendapat tersebut.

Adapun kanak-kanak bukan Islam yang belum bâligh apabila mengucap dua kalimah syahadat sah Islamnya. Inilah pendapat jumhûr ulama yang terdiri daripada Imam Hanafi, Maliki dan Hanbali serta ulama-ulama kepada mazhab-mazhab tersebut.

Mengenai dengan soalan-soalan mengazan, meng‘aqîqah, membin serta pengkebumiannya hukumnya seperti berikut:

Azan Dan Iqâmah Bagi Kanak-Kanak Yang Baru Lahir

Di antara perkara-perkara yang disunatkan ke atas kanak-kanak Islam ialah diazankan pada telinga kanannya dan diiqâmahkan pada telinga kirinya sebaik-baik sahaja kanak-kanak itu dilahirkan. Tujuannya supaya didengarnya zikir-zikir sebelum dia mendengar ucapan atau suara yang lain. Selain untuk mendapat berkat ialah untuk menghalau syaitan daripada kanak-kanak itu dan dengan harapan supaya dia akan kekal dalam fitrahnya (Islam).

Hukum sunat ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Rafi Radhiallahu ‘anhu (bekas hamba yang dimerdekakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) dia berkata:

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca azan sembahyang di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah Radhiallahu ‘anha melahirkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

At-Tirmidzi menyebut hadis ini hasan shahîh.

Bolehkah Anak Orang Bukan Islam Diazankan?

Berdasarkan asy-Syarwani ketika menghuraikan Matn at-Tuhfah: “Sunat diazankan (kanak-kanak yang baru lahir)”, al-‘Allâmah itu membawa dua hukum:

(i) Adalah harus juga mengazankan itu ialah perempuan, kerana azan yang dimaksudkan di sini bukanlah azan yang menjadi tugas kaum lelaki, bahkan maksud azan itu semata-mata ialah zikir untuk memperolehi keberkatan.

(ii) Kanak-kanak orang kafir harus diazankan, katanya:

Ertinya: “Sekalipun kanak-kanak yang dilahirkan itu kanak-kanak kafir.” (Hawâsyi asy-Syarwani wa al-Abbadi: 9/376)

Dengan makna yang lain harus diazankan kanak-kanak kafir yang baru dilahirkan, sama ada kanak-kanak itu akan diangkatkan kepada orang Islam atau tidak.

Bolehkah Anak Orang Bukan Islam Di‘aqîqahkan?

Kanak-kanak bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam sama ada diiktiraf sebagai kanak-kanak Islam atau masih dianggap kanak-kanak bukan Islam, tidak sah ‘aqîqahnya yang dibuat oleh orang lain.

‘Aqîqah itu hukumnya sunat mu'akkad atas orang yang menanggung nafkah kanak-kanak itu yang terdiri daripada bapa atau datuknya, daripada wang orang yang menanggung nafkah itu, bukan daripada wang atau harta kanak-kanak itu. Tanggungjawab meng‘aqîqahkan kanak-kanak itu adalah ke atas ibunya jika kanak-kanak itu anak zina.

Disyariatkan ‘aqîqah itu untuk tujuan melahirkan rasa gembira dan menyebarkan keturunan (Tuhfah al-Muhtâj: 9/369). Kedua-dua tujuan ini tidak terdapat pada kanak-kanak orang bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam. Oleh yang demikian tidak sah aqiqahnya, kiranya dibuat oleh orang yang bukan menaggung nafkah kanak-kanak tersebut.

Menamakan Anak Orang Bukan Islam Dengan Nama Islam Dan Menasabkannya Kepada Abdullah Atau Bapanya.

Setiap orang wajib dibin atau dibintikan kepada bapa kandungnya sendiri, jika nama bapanya itu dikenali, berdasarkan perintah Allah:

Tafsirnya: “Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan membinkan kepada bapa-bapa mereka.” (Surah al-Ahzâb: 5)

Membin atau membintikan kepada orang lain, sedang nama bapanya diketahui adalah haram hukumnya.

Dalam sepanjang proses perkembangan Islam di kalangan orang-orang Arab dan bukan Arab pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, setiap mereka yang masuk Islam pada zaman itu masih kekal dengan bin atau binti kepada nama bapa kandung masing-masing, padahal bapa mereka masih kufur atau mati di dalam kekufuran. Salah satu contohnya ialah Sayyidina Umar bin al-Khaththab di mana al- Khaththab tidak memeluk Islam. Adapun perubahan dan penukaran nama yang terjadi pada zaman itu hanyalah nama orang-orang tertentu yang diarahkan oleh Nabi supaya diganti dengan nama yang lebih baik, bukan mengubah atau menukar nama bapanya.

Dengan yang demikian, kanak-kanak berkenaan hendaklah tetap dibin atau dibintikan kepada bapa kandungnya, tetapi jika dia masuk Islam, ada pendapat yang mengatakan boleh membinkan kepada bukan bapanya, sekalipun diketahui bapanya itu.

Menurut al-Mawardi ketika mentafsirkan ayat al-Ahzâb:

Tafsirnya: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu.” (Surah al-Ahzâb: 5)

Di antara lain menyebutkan:

Ertinya: “Pertama: Hendaklah menasabkan mereka itu kepada nama-nama saudara kamu dan mawali (bekas tuan yang memerdekakan hamba) seumpama nama Abdullah, ‘Ubaidullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan Abdul Aziz. Inilah pendapat Maqatil bin Hayyan.

Kedua: Kamu katakan: “Saudara kami Polan dan sahabat kami Polan. Inilah pendapat Yahya bin Salam.” Diriwayatkan oleh Muhammad bin al-Munkadir, katanya: “Sewaktu duduk sekumpulan daripada sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di antaranya Jabir bin Abdullah al-Anshari, mereka berbangga-bangga dengan keturunan bapa-bapa mereka, setiap orang menyebut-nyebut bahawa: “Aku Polan bin Polan” sehinggalah sampai kepada giliran Salman (al-Farisi), beliau berkata: “Saya Salman bin al-Islam.” Kemudian disampaikan perkara itu kepada Umar bin al-Khaththab, maka katanya (Umar): “Benar kata-kata Salman itu.” (Kemudian Umar berkata): “Adalah saya Umar bin al-Islam.”

Yang demikian itu adalah firman Allah:

Tafsirnya: “Maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama.” (An-Nukat wa al-‘Uyûn Tafsîr al-Mawardi: 4/372)

Tersebut di dalam Akta Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, kanak-kanak yang memeluk agama Islam yang belum mencapai umurnya 14 tahun 7 bulan tidak boleh didaftarkan. Bagaimana kedudukan anak ini jika dia bâligh atau meninggal dunia sebelum umur tersebut?

Di antara sebab-sebab tuntutan taklîf (dipertanggungjawabkan kewajipan syara‘) itu ialah sampai umur bâligh. Tuntutan ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak diambil kira sebagai kesalahan daripada perbuatan tiga orang iaitu orang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia dewasa (sampai umur baligh) dan orang gila sehingga dia pulih akalnya atau kembali siuman.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Selain daripada cukup 15 tahun Hijriah, seseorang itu boleh menjadi bâligh dengan sebab keluar mani (sama ada masa jaga atau tidur), atau keluar haidh. Keluar mani atau haidh ini tidak semestinya hanya apabila cukup umur 15 tahun Hijriah, tetapi boleh terjadi pada umur sebelumnya, kerana di kalangan perempuan, ada yang sudah keluar haidh pada umur 11, 12 atau 13 tahun. Mengikut ulama Syafi‘e dan Maliki, umur paling rendah bagi seseorang perempuan menjadi bâligh ialah 9 tahun. (Al- Mausû‘ah al-fiqhiyyah: 8/192)

Jika seseorang itu telah bâligh sebelum umur yang disebutkan dalam akta berkenaan iaitu 14 tahun 7 bulan, umpamanya perempuan telah bâligh pada umurnya 11 atau 12 tahun dengan tanda keluar haidh atau lelaki pada umur 13 atau 14 tahun dengan keluar mani, dan dia memeluk Islam, maka ijmâ‘ ulama berpendapat bahawa adalah sah Islamnya itu. Jika dia meninggal selepas itu, wajiblah dilakukan ke atasnya sama seperti orang Islam yang lain yang meninggal dengan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Islam. Sekiranya urusan jenazahnya tidak dilaksanakan sebagaimana yang wajib ke atas orang Islam, maka berdosalah orang Islam yang mengetahui kematiannya itu dan juga orang-orang yang menggubal seksyen atau bab berkenaan.

Di dalam hubungan ini, jika seorang kafir yang sudah bâligh itu memeluk Islam sebelum umurnya 14 tahun 7 bulan kemudian dia meninggal, maka akan timbullah pelbagai kesan negatif sekiranya peruntukan undang-undang ini dikuatkuasakan di mana mungkin keluarga si mati akan menuntut di mahkamah supaya anak mereka dikebumikan di perkuburan mereka, sedangkan dia sudah wajib dikebumikan di perkuburan orang Islam dengan ittifâq.

Ulama-ulama Syafi‘e berkata:

Maksudnya: “Dan tidak harus (haram) menanam orang Islam dalam perkuburan orang kafir dan sebaliknya.” (An-Nihâyah dan lain-lain)

Jika ibu bapanya yang masih kafir itu menang atau berjaya di mahkamah, siapa yang akan menanggung dosa kerana dia (kanak-kanak) yang sudah memeluk Islam itu tidak diselanggarakan mengikut cara penyelenggaraan jenazah orang Islam, termasuk tidak dikebumikan di perkuburan Islam?

Oleh kerana itu mengekalkan seksyen atau Bab 166:

“Tiada sesiapa pun di bawah umur 14 tahun dan 7 bulan boleh didaftarkan sebagai seorang yang telah memeluk agama Islam”, ADALAH JELAS BERTENTANGAN DENGAN SYARA‘.

Di samping itu mengekalkan peruntukan Bab ini juga mempunyai implikasi lain dari segi kelancaran dakwah Islamiyyah, iaitu “menghalang” orang yang hendak masuk atau memeluk Islam sebelum mencapai umur 14 tahun dan 7 bulan, walaupun (kiranya) dia telah bâligh sebelum sampai kepada umur tersebut.

Oleh itu, berdasarkan pendapat jumhûr yang juga amat sesuai dengan mashlahat dan hikmah tasyrî‘, maka kanak-kanak bukan Islam itu jika dia memeluk Islam sebelum umur bâligh, adalah Islamnya itu sah. Sementara jika dia telah mencapai umur bâligh dan kemudian memeluk Islam, menurut ijmâ‘ ulama, Islamnya adalah sah.

Dua-dua pendapat ini dipakai. Kerana itu, Bab atau Seksyen 166 di atas hendaklah dipinda supaya ia lebih selaras dan menepati hukum syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8941