Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Beberapa Permasalahan Mengenai Ibadat Haji: Mengutif Batu Dan Melontar Tiga Jamrah

Soalan: Dengan segala hormatnya sukacita kaola memaklumkan bahawa Jabatan Urusan Haji telah menerima pertanyaan-pertanyaan daripada orang ramai yang terdiri daripada kalangan bakal-bakal jemaah haji mahupun yang sudah haji semasa kursus ibadah haji yang sedang berjalan ketika ini tentang beberapa permasalahan mengenai ibadah haji khususnya ketika berada di Tanah Suci Makkah. Daripada beberapa permasalahan yang telah ditimbulkan itu terdapat sedikit keraguan berhubung soal hukum dalam masalah berikut:

1. Apakah hukum mengutip anak batu di tempat-tempat lain selain daripada Muzdalifah?

Persoalan ini timbul disebabkan adanya kekhuatiran jemaah haji terhadap pemandu-pemandu bas yang membawa jemaah haji tidak berhenti di Muzdalifah dan terus masuk ke Mina. Oleh itu ada jemaah yang mengutip batu di ‘Arafah dan Mina.

2. Melontar ketiga-tiga jamrah di hari-hari Tasyriq pada lontaran yang bukan qadha, bolehkah ianya dilakukan oleh jemaah haji pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari, khususnya pada jemaah yang melakukan nafar awwal dan juga pada 13 Zulhijjah.

Sebagaimana yang selalu diamalkan oleh jemaah haji Negara Brunei Darussalam, waktu melontar ketiga-tiga jamrah di hari-hari Tasyriq ialah mulai daripada tergelincir matahari sehingga masuk matahari.

Demikian dihadapkan dua persoalan yang dinyatakan di atas bagi mendapatkan fatwa/hukum serta ketetapan mengenainya.

Jawapan: 1. Pada dasarnya tempat mengutip batu untuk keperluan melontar jamrah yang diperkatakan oleh ulama-ulama fiqh mazhab asy-Syafi‘e ada dua; tanah haram dan tanah halal. Tanah haram merangkumi: Muzdalifah, Wadi Muhassar, kawasan kota Mina, kawasan jamrah dan lobang jamrah, serta mana-mana kawasan tanah haram seperti kota Makkah. Manakala tanah halal ialah seluruh kawasan yang berada di luar kawasan tanah haram seperti Padang ‘Arafah, Jeddah dan Brunei Darussalam.

Jika yang diambil kira itu ialah hukum dan afdhaliyyah (keutamaan) melontar, maka caranya adalah seperti berikut:

Sunat:

1. Sunat diambil di kawasan Muzdalifah untuk lontaran ke jamrah ‘Aqabah sahaja pada Hari Raya (10 Zulhijjah).

Hukum sunat ini berdasarkan hadis:

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh Ibnu ‘abbas Radhiallahu ‘anhuma mengambil anak-anak batu di Muzdalifah.” (Hadis riwayat Ibnu ‘Adi, Imam Ahmad, al-Hakim dan an-Nasa’i)

2. Sunat diambil di kawasan Wadi Muhassar (yang terletak di antara Muzdalifah dan Mina) atau mana-mana tempat di kota Mina (termasuk kawasan jamrah) untuk lontaran ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq.

Makruh:

1. makruh diambil dari lobang jamrah atau dari kawasan luar tanah haram seperti padang ‘Arafah, Jeddah dan Brunei Darussalam, dari mana-mana masjid atau dari kawasan najis. 2. Makruh melontarkan batu yang bernajis.

Harus:

Tetapi jika yang diambil kira itu ialah tentang sah atau tidaknya lontaran, maka anak-anak batu yang diambil daripada mana-mana tempat tersebut untuk dijadikan batu lontaan ke mana-mana jamrah adalah boleh dan lontaran sah serta memadai.

Syeikh Muhammad Thahir bin Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki dalam kitabnya Irsyâd az-Zumar li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah ‘alâ Madzhab al-Imam asy- Syafi‘e Rahimahullah Ta‘ala ‘anhu berkata:

Ertinya: “Dan sunat batu itu sebesar kacang fl, jika yang dilontarkan lebih besar daripadanya atau lebih kecil adalah makruh tetapi lontaran itu sah. Batu itu hendaklah suci, jika yang dilontarkan bernajis adalah makruh tetapi sah, dari itu adalah sunat membasuhnya jika diragukan kebersihannya. Dan hendaklah mengambil batu untuk lontaran jamrah ‘Aqabah pada hari Nahar (10 Zulhijjah) dari Muzdalifah, iaitu sebanyak tujuh biji. Adapun untuk lontaran berikutnya (pada hari-hari Tasyriq), maka diambil dari Wadi Muhassar atau dari Mina, dan sunnah telah tercapai dengan mengambilnya daripada salah satu daripada keduanya. Dan adalah harus mengambilnya dari mana-mana tempat (selain daripada tempat yang disunatkan itu), tetapi makruh diambil dari tanah halal, lobang jamrah, masjid atau tempat najis, tetapi jika batu lontaran yang diambil dari mana-mana tempat ini, lontaran adalah sah dan memadai.” (H. 106).

Disimpulkan bahawa mengutip batu di Muzdalifah adalah untuk lontaran jamrah ‘Aqabah. Manakala selain di Muzdalifah adalah makruh, tetapi hukum makruh ini hanya jika dalam keadaan tafarrugh (senang dan mudah). Dan adalah juga hasil sunat bagi lontaran hari-hari Tasyriq dikutip dari Wadi Muhassar atau Mina kecuali lobang jamrah. Sama ada untuk lontaran hari Nahar atau hari-hari Tasyriq pula adalah makruh diambil dari lobang jamrah dan luar tanah haram, tetapi lontaran tetap sah dan memadai.

2. Mengikut pendapat yang mu‘tamad melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq yang bukan lontaran qadha sebelum gelincir matahari adalah ditegah.

Syeikh Muhammad Thahir bin Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki dalam kitabnya Irsyâd az-Zumar li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah ‘alâ Madzhab al-Imam asy- Syafi‘i Rahimahullah Ta‘ala ‘anhu berkata:

Ertinya: “Dan yang mu‘tamad adalah harus melontar jamrah sebelum tergelincir matahari atau malam hari bagi mengganti lontaran yang luput, berbeza denagn lontaran untuk hari berkenaan adalah ditegah mendahulukan melontar sebelum matahari tergelincir.” (H. 102)

Jadi diharuskan melontar sebelum maatahari tergelincir pada hari-hari Tasyriq hanya untuk mengganti (mengqadha) lontaran yang luput pada hari atau hari-hari yang sebelumnya.

Untuk lebih jelas, sekiranya jamrah ‘Aqabah tidak dilontar pada hari Nahar, ia boleh diganti dengan melontarnya pada bila-bila masa hari-hari Tasyriq termasuk sebelum matahari tergelincir, begitu juga jika ketiga-tiga jamrah pada hari pertama atau kedua hari Tasyriq tidak dilontar, lontaran boleh diganti pada bila-bila masa pada besok harinya termasuk sebelum matahari tergelincir. Dengan itu dibenarkan melontar sebelum matahari tergelincir pada hari-hari Tasyriq hanyalah untuk lontaran qadha atau ganti, dan kesemua lontaran ini adalah sah dan dianggap tunai, serta tidak dikenakan dam (Irsyâd az-Zumar: 102).

Adapun amalan melontar jamrah setelah matahari tergelincir di hari-hari Tasyriq yang selalu dilakukan oleh jemaah haji Negara Brunei Darussalam adalah amalan yang bersesuaian dengan sunnah dan amalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melontar jamrah-jamrah (jamrah Ûlâ, Wusthâ dan ‘Aqabah) ketika gelincir matahari.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Dan hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tinggal di Makkah sehingga Baginda sembahyang Zuhur, kemudian Baginda kembali semula ke Mina, lalu Baginda tinggal di Mina (di sepanjang) tiga hari Tasyriq(di mana)Baginda melontar jamrah Ûlâ dengan tujuh biji anak-anak batu apabila tergelincir matahari. Setiap kali melontar Baginda bertakbîr.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9010