Beberapa Pertanyaan Mengenai Pindah Rumah
Soalan: Koala sangat berbesar hati kiranya Pehin dapat memberikan panduan dan maklumat bagi perkara-perkara berikut:
(i) Apakah hukumnya menamakan rumah seperti Villa, Seri Hidayat, Bayati Janati dan lainnya dalam pandangan Islam?
(ii) Menyenaraikan nama-nama rumah yang baik dalam pandangan Islam.
(iii) Bilakah masa terbaik untuk pindah ke rumah baru, maksudnya untuk mendiami/‘meniduri’ rumah tersebut?
(iv) Bagaimana membangun rumah baru yang terbaik, seperti mendirikan tiang ‘seri’ dengan menanam emas, garam dan lainnya?
(v) Apakah doa atau bacaan yang perlu dibaca apabila baru pertama kali mendiami/’meniduri’ rumah tersebut?
(vi) Ada setengah orang pindah rumah dengan membawa parang, air dan lainnya, maksudnya dari rumah lama ke rumah baru.
Jawapan: (i) Tidaklah mengapa seseorang Islam untuk menamakan rumahnya dengan nama yang baik atau apa jua tanggapan yang baik pula. Mudah-mudahan dengan nama yang baik itu ia menjadi sebagai doa kepada penghuni rumah atau dengan nama tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan rumah itu rumah kepunyaan orang Islam.
Nama-nama yang disebutkan sebagai contoh oleh penanya sendiri seperti Seri Hidayat, Bayati Janati sebenarnya (Baiti Jannati) tidaklah mengapa, kecuali Villa boleh saja menunjukkan rumah itu kepunyaan orang Islam dan bukan Islam.
(ii) Setakat ini kita tidak ada senarai nama-nama untuk rumah.
(iii) Sepanjang pembacaan kita, tidak ada nash daripada al-Qur’an dan sunnah mahupun kata-kata ulama yang menentukan masa terbaik untuk pindah ke rumah baru. Walau bagaimanapun Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu menganjurkan membuat amalan-amalan pada masa-masa tertentu, umpamanya Baginda suka membuat pekerjaan pada waktu pagi, seperti pergi ke masjid pada waktu pagi. Sementara hari-hari pula, Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan puasa pada hari Isnin dan Khamis. Ini menunjukkan hari-hari tersebut ada kelebihan berbanding hari-hari yang lain.
Amalan juga akan berganda-ganda pahalanya apabila dilakukan pada hari Jumaat seperti amalan bersedekah dan amalan-amalan kebajikan yang lain.
Oleh kerana itu saya cenderung supaya hari untuk berpindah ke rumah baru itu dilakukan pada hari-hari yang Nabi suka membuat amalan atau menganjurkan amalan pada hari itu.
(iv) Amalan khusus mengenai membangun rumah baru belum saya dapati dalam Islam, lebih-lebih lagi mendirikan tiang ‘seri’.
Walau bagaimanapun ketika memulakan pekerjaan seperti membangun rumah
jangan lupa membaca basmalah (بسم هللاالرمحن الرحيم) kerana membaca basmalah
itu mendatangkan berkat sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Setiap percakapan atau urusan yang mempunyai kepentingan tidak dimulakan dengan menyebut (nama) Allah ‘Azza wa Jalla maka ia (percakapan atau urusan tersebut) akan terputus (daripada mendapat berkat).” (Hadis riwayat Ahmad)
Mengiringi dengan doa juga seperti yang diucapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda membangun masjid Quba’, Baginda berdoa:
Maksudnya: “Tiada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada orang-orang Muhajirin dan orang-orang Anshar.”
Oleh itu, tidak mengapa bahkan adalah bagus ketika membangun rumah berdoa memohon perlindungan dan keberkatan dengan apa jua doa-doa yang baik untuk rumah dan penghuninya.
Adapun mendirikan tiang seri dengan menanam emas, garam dan lain-lain tidak ada disuruh di dalam syara‘.
(v) Ini pun tidak ada disebutkan dalam syara‘ iaitu khusus ketika mendiami rumah, yang ada hanya ketika memasuki rumah. Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda:
Maksudnya: “Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia berkata: “Ya Allah! Aku bermohon kepadaMu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah”. Kemudian hendaklah seseorang itu memberi salam ke atas keluarganya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak ada orang yang berada di dalamnya, maka berilah salam ke atas diri sendiri dengan mengucapkan:
Ertinya: “Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih.”
Adapun salah satu hikmah membaca atau menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah itu adalah supaya menghindarkan syaitan turut masuk dan bermalam di dalam rumah. Jabir ibn Abdullah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia menyebut (nama) Allah ketika hendak masuk dan ketika hendak makan, (maka) syaitan akan berkata (kepada suku sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”. (Manakala) jika dia masuk (ke rumahnya) tanpa menyebut (nama) Allah ketika hendak masuk, (maka) syaitan akan berkata (kepada suku sakatnya): “Kamu telah mendapat tempat untuk bermalam. (Begitu juga) jika dia tidak menyebut (nama) Allah ketika hendak makan, (maka syaitan) akan berkata (kepada suku sakatnya): “Kamu telah mendapat tempat untuk bermalam dan makan malam.” (Hadis riwayat Muslim)
Khalifah Umar ibn Abdul Aziz Rahimahullah apabila hendak memasuki rumahnya, beliau akan membaca:
Maksudnya: “Dengan nama Allah; tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah; salam ke atas Nabi Allah. Ya Allah! Bukakanlah kepadaku pintu-pintu rahmatMu dan masukkanlah aku (ke dalam) kemasukan yang benar dan keluarkanlah aku (ke tempat) keluaran yang benar dan jadikanlah bagiku sebagai kurnia dari sisiMu kekuatan yang memberi kemenangan (ke atas musuh-musuhMu). Ya Allah! Peliharakanlah diriku di sebelah atasku daripada disambar dan di sebelah bawahku daripada ditenggelamkan dan di sebelah kananku serta kiriku daripada syaitan yang direjam.” (Riwayat Ibnu Abu Syaibah)
(vi) Amalan tersebut tidak ada sandarannya dalam syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9017
