Kaligrafi Injil (Bible): Kaitannya Dengan Aqidah
Soalan: Adakah kaligrafi yang didakwa sebagai ayat-ayat Injil ini betul kandungan Injil? Apa pula hukum menerima atau menafikan kebenarannya? Ayatnya seperti berikut:
Terjemahannya: “Tetapi aku berkata kepadamu: “Kasihilah musuhmu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu (44) kerana dengan demikianlah kamu menjadi anak-anak bapamu yang di syurga, yang menerbitkan matahari bagi orang yang jahat dan orang yang baik dan menurunkan hujan bagi orang yang benar dan orang yang tidak benar.” (Injil Matius: 5/44-45)
Jawapan: Percaya Kepada Kitab-kitab Allah Adalah Salah Satu Rukun Iman
Salah satu rukun Iman yang enam ialah percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada para rasulNya, seperti kitab Taurat dan Injil. Inilah dasar aqidah agama Islam, dan dasar ini tetap menjadi pegangan selama kitab berkenaan benar, tulen dan tidak berubah daripada asalnya sebagai kitab Allah Ta’ala.
Kitab yang terakhir diturunkan Allah ialah al-Qur’an al-Karim. Kitab ini telah dituliskan oleh para sahabat yang khusus sebagai penulis wahyu. Kitab ini sejak mula diturunkan sehingga sekarang tidak pernah berubah atau diubah kerana ia telah mendapat jaminan daripada Allah Ta‘ala.
Selain daripada al-Qur’an al-Karim, pada masa ini ada kitab yang didakwa sebagai kitab Injil yang popular juga dengan nama Bibel. Di Indonesia ia digelar sebagai al- Kitab. Adakah Injil atau al-Kitab ini termasuk dalam kitab-kitab yang wajib diyakini?
Hukum mempercayai atau meyakininya tertakluk kepada ketulenan atau tidaknya Injil berkenaan. Kebenaran atau kesahihan Injil yang ada sekarang yang dinamakan sebagai Bibel atau al-Kitab itu hanya dapat disabitkan menerusi kajian-kajian ilmiah dan melalui hadis atau al-Qur’an, kitab Allah yang terakhir diturunkan.
Kedudukan Kandungan Injil (Bibel)
Kajian ilmiah mendapati bahawa Injil yang asal adalah dalam bahasa ‘Ibrani, sedangkan Injil yang ada sekarang, ia memuatkan dua kitab iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru yang kedua-duanya dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Indonesia yang disebut sebagai al-Kitab. Sementara orang-orang Yahudi hanya mempercayai Perjanjian Lama atau Taurat sahaja, manakala orang-orang Kristian pula menganggap bahawa Perjanjian Lama sebagai kitab syariat, dan Perjanjian Baru sebagai perjanjian utama dan kaffarat. Perjanjian Baru ini mengandungi 27 kitab, antara lain Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas, Injil Yohanes, kisah para rasul, surat-surat Paulus kepada jamaat Rom dan lain-lain.
Kajian juga mendapati bahawa sanadnya tidak bersambung kepada nabi yang menerimanya, sama seperti kandungan Perjanjian Baru tidak bersambung dengan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam, yakni semasa Injil itu dituliskan, ia tidak melalui bacaan baginda, tetapi hanya mengikut ingatan penulis dan dengan sebab itulah ia dikaitkan dengan penulisnya, seperti Injil Matius dan Injil Markus.
Mengikut kajian orang-orang Kristian sendiri mereka menuliskannya hanya selepas ‘Isa ‘Alaihissalam diangkat ke langit; Matius pada sekitar tahun 80-100 Masihi, Markus sekitar tahun 64 Masihi, Lukas sekitar tahun 63 Masihi. dan Yohanes sekitar 68-100 Masihi.
Sebagai contoh Lukas menulis:
“Hai Teofilus, dalam bukuku yang pertama aku menulis tentang segala sesuatu yang dikerjakan dan diajarkan Yesus, sampai pada hari Dia terangkat.” (Kisah Para Rasul 1/1)
(Rujukan: Ahmad Idris, Sejarah Injil Dan Gereja, Gema Insani Press, Jakarta, 1991, h. 47-58)
Menurut para pengkaji sejarah penulisan Injil-Injil bahawa mereka belum menemui sebarang bukti yang menunjukkan ia ditulis semasa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam masih hidup bersama para pengikutnya.
Maka berdasarkan ilmiah, semua kandungan Injil (Bibel) yang ada sekarang tidak dapat diakui sebagai tulen atau shahîh sebagai salah satu kandungan Kitâbullâh.
Adapun dari sudut al-Qur’an, kita mendapati banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menyebutkan tentang orang-orang Yahudi dan Kristian telah mengubah, menukar ganti, menyembunyi dan menyelewengkan kandungan sebenar kitab Injil.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras. Mereka sentiasa mengubah kalimat-kalimat (yang ada dalam kitab Taurat dengan menyelewengkannya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya….” (Surah al-Mâ’idah: 13)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) dengan menerangkan kepada kamu banyak daripada (keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan daripada Kitab Suci….” (Surah al-Mâ’idah: 15)
Selain daripada apa yang disebutkan al-Qur’an tentang Injil itu banyak pengkaji mendapati adanya perbezaan antara kitab-kitab Bibel berkenaan, kesan daripada penyelewengan yang berlaku, bahkan bukan setakat berbeza, malah ia bertentangan.
Syeikh Rahmatullah Khalil ar-Rahman al-Hindi Rahimahullah dalam kitabnya Izhhâr al-Haqq yang mengandungi hasil perdebatan beliau dengan pendeta-pendeta besar Kristian India di kota Akbar Abad, India pada bulan Rejab 1270 Hijrah tentang adanya pembuangan dan penambahan dalam Injil yang ada sekarang (halaman 4), mencatatkan hampir seratus bukti tentang adanya penyelewengan dengan erti pengurangan dan penambahan yang terdapat dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Dalam perdebatan itu pihaknya telah mengalahkan pihak pendeta yang menyebabkan pihak pendeta tidak mahu meneruskan perdebatan tentang persoalan ‘Tiga Tuhan’ mereka. (Halaman 200-311)
Sikap Terhadap Injil (Bibel) Masa Kini
Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah al-Maidani asy-Syafi‘e Rahimahullah menerangkan bahawa jika demikian keadaannya sekarang, maka orang Islam tidak boleh mempercayai mana-mana kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru itu sebagai Kitâbullâh, kerana ia tidak dapat dibuktikan menerusi kajian ilmiah sama ada dari sudut logik atau syara‘.
Beliau menerangkan lagi bahawa teks kandungan kitab-kitab Injil (Bibel) yang ada sekarang, sama ada dari sudut cerita, sejarah, ilmiahnya, atau hukum syara‘ Islam, adalah seperti berikut:
Jika kandungannya disebut oleh al-Qur’an atau oleh hadis sebagai benar, maka kita menerimanya dengan yakin. Tetapi jika disebut oleh keduanya atau salah satunya sebagai dusta, maka kita menolaknya secara mutlak. Dan jika keduanya atau salah satunya tidak memperkatakannya; tidak membenarkan atau mendustakannya, maka kita mengambil sikap mendiamkan diri, tidak mengakui dan tidak mendustakannya, kerana ia boleh jadi benar atau dusta, kecuali ada bukti kukuh dan shahîh yang menunjukkan benar atau dustanya, maka kitapun akan mengambil sikap sesuai dengan bukti kukuh itu. (Abdul Rahman Hasan Habannakah, al-‘Aqîdah al- Islâmiyyah wa Ususuha: 503)
Sikap mendiamkan diri adalah berdasarkan beberapa hadis, antaranya:
Maksudnya: “Jangan kamu benarkan Ahli Kitab dan jangan kamu dustakan, dan kamu ucapkanlah: “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkanNya kepada kami dan kepada kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu anhuma, bahawa Umar bin al-Khaththab Radhiallahu anhu membawa sebuah Kitab yang ditemuinya pada Ahli Kitab kehadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu membacakannya, Baginda murka dan bersabda: “Adakah kamu hendak terburu-buru padanya wahai Ibnu al- Khaththab, demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya? Aku telah membawa kitab kepada kamu dalam keadaan putih bersih, oleh itu jangan kamu bertanya kepada mereka tentang sesuatu, manalah tahu mereka memberitahu yang benar kepada kamu, lalu kamu mendustakannya, atau memberitahu yang bâthil lalu kamu membenarkannya. Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, sekiranya Musa masih hidup, dia pasti mengikuti ajaranku.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Abu Syaibah dan al-Bazzar)
Selain sikap sedemikian, kita beri‘tiqâd bahawa ahli-ahli Kitab telah menokok-tambah kandungan kitab yang sampai kepada mereka sebagaimana yang diterangkan ayat-ayat al-Qur’an.
Dari sudut keilmuan pula, salah satu perkara yang tidak difahami ramai ialah dakwaan, seperti Injil Amerika (dalam bahasa Inggeris), Injil Inggeris (dalam bahasa Ingeris), Injil Arab (dalam bahasa Arab), Injil Indonesia (dalam bahasa Indonesia disebut sebagai al-Kitab) dan Injil Melayu (dalam bahasa Melayu). Semua Injil-injil ini dikatakan sebagai Injil sebenar. Pada hakikatnya dakwaan seperti ini adalah kebohongan, kerana tidak tepat mengikut keilmuan berdasarkan:
• Injil sebenar adalah dalam bahasa Ibrani. Jika bukan dalam bahasa ini (Ibrani), bermakna ia bukan Injil, tetapi boleh jadi tafsirannya atau terjemahannya.
• Banyak bukti yang menunjukkan bahawa antara Injil-injil tersebut terdapat perbezaan, bahkan bertentangan bukan hanya antara satu Injil dengan Injil yang lain, bahkan bertentangan dalam satu Injil itu sendiri. Jika demikian kedudukannya, bermakna ia bukan kitab asli kerana yang asli hanya satu.
• Kitab-kitab yang kononnya dikatakan sebagai Injil itu ditulis setelah Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam tidak lagi bersama umatnya. Jika demikian, maka apa yang dituliskan itu pasti terdedah kepada penyelewengan dan perbezaan dengan Injil yang diturunkan oleg Allah Ta‘ala kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam.
Sebagai contohnya ialah kaligrafi yang disertakan oleh penanya seperti berikut:
Terjemahannya: “Tetapi aku berkata kepadamu: “Kasihilah musuhmu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu (44) kerana dengan demikianlah kamu menjadi anak-anak bapamu di syurga, yang menerbitkan matahari bagi orang yang jahat dan orang yang baik dan menurunkan hujan bagi orang yang benar dan orang yang tidak benar.” (Injil Matius: 5/44-45)
Terjemahan di atas dipetik daripada al-Kitab, Injil Matius fasal 1-22 yang dikarang oleh Drs.J.J de Heer dalam bahasa Indonesia. Kita dapati bahawa di dalam terjemahan ini ada beberapa perkataan yang terdapat di dalam nash Arab yang dibawakan oleh penanya tidak diterjemahkan.
Adapun terjemahan penuh teks yang berbahasa Arab di atas ialah:
“Cintailah musuh-musuh kamu, pohonkanlah keberkatan bagi orang-orang yang melaknat kamu, berbuat baiklah terhadap orang-orang yang membenci kamu, pohonkanlah selawat (doakanlah) bagi mereka yang membuat kejahatan terhadap kamu dan orang-orang yang menghalau kamu mudah-mudahan kamu menjadi anak-anak bapa kamu di langit-langit.”
Mungkin ada yang dapat menterjemahkannya lebih indah dan cantik daripada apa yang kita terjemahkan ini.
Apa yang sudah jelas nash dalam bahasa Arabnya tidak sama isi kandungannya dengan bahasa Melayu/Indonesia walau kedua-duanya bersumber daripada Injil Matius: 5/44-45.
Oleh yang demikian jika betul ia kitab yang benar atau asli tidak mungkin ada perselisihan atau perbezaan di antara satu naskhah Injil dengan satu naskhah Injil yang lain.
Di samping itu juga, perkara yang jelas bertentangan dengan aqidah dan ajaran yang dibawa oleh para rasul-rasul Allah di dalam mentauhidkanNya terbukti pada perkataan “anak-anak Bapamu”. Yang dimaksudkan dengan Bapa itu ialah Allah. Maha suci Allah daripada dakwaan mereka itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dia (Allah) tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan.” (Surah al-Ikhlâsh: 3)
Kita berpendapat bahawa inilah antara lain bukti bahawa ayat yang dikatakan dipetik daripada Injil itu tidak tulen dan tidak benar sebagaimana yang telah kita perkatakan sebelum ini.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9079
