Kanak-Kanak Bukan Islam Yang Belajar Al-Qur’an Dan Sembahyang
Soalan: Ada beberapa perkara yang menimbulkan keraguan di kalangan guru-guru dalam memberikan pelajaran kepada kanak-kanak bukan Islam yang belajar al-Qur’an dan sembahyang khususnya kepada murid yang telah berada di dalam darjah 3 ke atas, seperti:
(1) Pembelajaran Al-Qur’an:
i. Menyentuh ii. Mengangkat iii. Membaca iv. Khatam
(2) Sembahyang Fardhu Berjemaah Di Surau
Sehubungan dengan itu besarlah harapan pihak sekolah bagi mendapatkan fatwa Jabatan Mufti Kerajaan berkaitan dengan perkara di atas.
Kerjasama dan jasa baik pihak Dato, sangat-sangat diharapkan dan dihargai bagi sama-sama menghilangkan keraguan berkaitan dengannya di kalangan guru-guru di sekolah ini khususnya dan di sekolah-sekolah agama lain di negara ini umumnya. Dengannya, insyâ’ Allah akan melancarkan lagi perjalanan proses pengajaran, pembelajaran dan pendakwahan di kalangan murid-murid/pelajar bukan Islam di sekolah-sekolah agama khususnya.
Jawapan: (1) Kanak-Kanak Bukan Islam Belajar Al-Qur’an
Cara Menghormati Dan Memuliakan Al-Qur’an
Sesungguhnya al-Qur’an itu kalâmullâh, ia wajib dihormati dan dimuliakan serta tidak terdedah kepada sebarang perkara yang boleh mendatangkan kehinaan. Menghina al-Qur’an bukan hanya berdosa bahkan menjadikan seseorang Islam itu menjadi kafir, misalnya seorang Islam mencampakkan al-Qur’an ke tempat yang kotor.
Antara cara menghormati al-Qur’an itu tidak boleh (bahkan haram) menyentuh, memegang atau membawanya melainkan dalam keadaan suci yakni berwudhu. Haram menyentuh al-Qur’an tanpa wudhu berdasarkan dalil al-Qur’an:
Tafsirnya: “Tidak boleh menyentuhnya (al-Qur’an) kecuali orang-orang yang suci.” (Surah al-Wâqi‘ah: 79)
Sementara dalil daripada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula ialah:
Maksudnya: “Tidak boleh menyentuh al-Qur’an kecuali orang yang suci.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Ketika hendak membaca al-Qur’an adalah sangat elok terlebih dahulu membersihkan mulut dan menghias diri.
Al-Qur’an yang wajib disentuh dengan berwudhu itu ialah sama ada Mushhaf yang lengkap sepenuhnya atau hanya beberapa ayat yang ditulis di atas kertas, papan, besi, kain dan sebagainya.
Oleh kerana cara menghormati al-Qur’an atau Mushhaf itu sangat penting diketahui, maka elok sangat kita perturunkan beberapa perkara yang menyentuh tentang cara menghormati dan memuliakan al-Qur’an (Mushhaf) itu. Ini kerana kalau orang Islam tidak faham atau kurang faham cara menghormati dan memuliakan al-Qur’an, bagaimanakah mungkin orang bukan Islam dapat berbuat demikian? Berikut ini dicatatkan sebahagian daripada cara menghormati dan memuliakan al-Qur’an itu:
1. Tidak diletakkan Mushhaf pada tempat yang mudah terdedah kepada pencemaran, seperti terkena najis, kotoran, atau jika ditiup angin ia akan berselerak, bertaburan dan sebagainya.
2. Tidak diletakkan sesuatu di atas Mushhaf, sama ada buku atau yang lainnya. Mushhaf mestilah berada di tempat yang lebih terhormat dan di atas segala buku.
3. Ketika membaca Mushhaf, ia dipangku atau diletakkan di atas sesuatu di hadapan dan tidak meletakkannya secara langsung di atas lantai.
4. Jika dituliskan ia pada sesuatu, jangan dihapus dengan memakai air liur, tetapi boleh memakai air bersih.
Apabila dihapus dengan memakai air, hendaklah bekas larutan basuhannya itu tidak jatuh ke tempat yang bernajis, atau tempat yang selalu dipijak-pijak, kerana larutan basuhan itu juga perlu dihormati.
5. Setiap hari elok memandang Mushhaf, paling sedikit sekali setiap hari.
Abu Musa al-Asy‘ari berkata: “Aku merasa malu jika tidak memandang Kitab Tuhanku sekali dalam setiap hari….”
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Kamu berikanlah bahagian ibadat untuk mata kamu.” Lalu sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apa dia bahagian ibadat mata?” Baginda menjawab: “(Bahagian ibadat mata) ialah memandang Mushhaf, memikirkan kandungannya dan mengambil i‘tibâr daripada keajaiban-keajaibannya.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
6. Mencantikkan tulisan Mushhaf.
7. Jangan menjadikan Mushhaf sebagai bantal dan tempat bersandar, dan jangan melemparkannya kepada kawan apabila kawan itu hendak mengambilnya.
8. Jangan dikecilkan ukuran Mushhaf. Diriwayatkan bahawa Ali Radhiallahu ‘anhu pernah berkata: “Jangan engkau mengecilkan Mushhaf.”
9. Jangan mencampur-adukkannya dengan benda benda lain yang bukan daripada Mushhaf.
10. Jangan dihiasi dengan emas dan jangan ditulis dengan emas supaya tidak bercampur dengan perhiasan dunia.
11. Apabila tulisannya dijadikan bahan mandian kerana berubat daripada penyakit yang sedang dideritai, ianya janganlah jatuh ke lantai kotor atau tempat yang bernajis, atau tempat pijak-pijakan, akan tetapi hendaklah jatuh ke tanah yang tidak menjadi pijakan orang ramai, atau ke lubang yang digali pada tempat yang bersih, sehinggalah kesemua airnya jatuh ke dalam lubang itu, kemudian barulah lubang itu ditutup, atau ke sungai yang airnya akan bercampur dengan air mandian itu, lalu ia mengalir bersama.
12. Jangan menulis ayat pelindung yang dibawa masuk ke dalam tandas, kecuali ianya dimasukkan dalam kulit atau perak atau di dalam selain keduanya. Dengan meletakkannya begitu, maka ianya seperti berada di dalam dada.
13. Apabila ianya ditulis, kemudian (airnya) diminum, hendaklah membaca basmalah setiap kali meneguknya dan hendaklah meluruskan niat, kerana Allah hanya akan memberi mengikut kadar niatnya.
Beberapa Hukum Berkaitan Dengan Mushhaf Bagi Orang Yang Tidak Berwudhu
Mengenai hukum orang yang berhadas dengan Mushhaf telah disebutkan oleh ulama seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Di bawah ini disebutkan lagi sebahagian yang disebutkan oleh Syeikh al-Malibari dan as-Sayyid al-Bakri:
(i) Tidak haram membawa Mushhaf bersama barang lain sekiranya tujuan sebenarnya bukan membawa Mushhaf sahaja. Mengikut kitab Tuhfah, sekiranya maksudnya hanya:
a. Membawa Mushhaf atau; b. Membawa Mushhaf bersama barang, atau; c. Membawa secara mutlak,
maka ketiga-tiga cara ini adalah haram, dan yang tidak haram hanyalah satu cara, iaitu jika niatnya hanya membawa barang.
Ulama lain ada yang berpendapat bahawa cara yang diharamkan itu hanya satu, iaitu sekiranya niatnya membawa Mushhaf sahaja. Adapun sekiranya niatnya membawa bersama-samanya dengan barang atau membawa barang sahaja atau membawanya secara mutlak, adalah tidak haram.
(ii) Haram menyentuh kertasnya, sama ada di tepi atau di tengah, sama ada masih bersambung, sudah putus atau sudah hapus tulisannya.
(iii) Haram menyentuh sampulnya, sarungnya atau petinya, tetapi dengan syarat bahawa sampul, sarung dan petinya itu disediakan khas hanya untuk Mushhaf saja dan ketika itu Mushhaf memang ada di dalamnya. Jika tidak demikian, adalah halal membawanya.
Tersebut dalam Tuhfah: “Zahir pendapat ulama, adalah tidak ada perbezaan di antara sampul, sarung dan peti yang memang disediakan khas untuk Mushhaf sahaja sama ada ukurannya sama dengan Mushhaf atau tidak, dan jika sekiranya pada kebiasaanya tempat itu memang tidak disediakan untuk Mushhaf.”
Berkata al-Halabi dalam Hawâsyi al-Manhaj: “Adalah haram menyentuh almari yang disediakan untuk meletakkan Mushhaf, walaupun almari itu dalam ukuran yang sangat besar. Inilah pendapat al-‘Alqami dan ar-Ramli.”
Dalam Tuhfah disebutkan juga bahawa yang sama kedudukannya dengan peti ini termasuklah kerusi (rehal) yang diletakkan Mushhaf di atasnya.
Dalam al-Bujairami disebutkan: “Yang muktamadnya, bahawa adalah haram menyentuh semua kerusi (rehal) kecil itu, dan tidak haram menyentuh rehal besar, kecuali tempat Mushhaf.”
Adapun kulit Mushhaf adalah haram menyentuhnya sekiranya masih bersambung dengannya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan ar-Ramli. Pendapat lain mengatakan, sama ada bersambung dengannya atau ianya sudah terpisah, adalah tetap haram menyentuhnya, tetapi dengan syarat sekiranya kulitnya itu masih tetap dibangsakan kepada Mushhaf. Pendapat lain menyebutkan lagi bahawa sekiranya kulitnya diganti dengan yang baru, maka kulit lama itu tetap juga haram disentuh dan sekiranya kertas Mushhaf hilang atau terbakar, yang tinggal hanya kulit, maka kulit itu tidak haram menyentuhnya.
(iv) Tidak haram membalikkan kertas dengan menggunakan benda lain seperti kayu kerana cara itu tidak disebutkan sebagai membawa.
(v) Tidak haram membawa Mushhaf bersama tafsirnya, iaitu sekiranya tafsirnya lebih banyak. Sekiranya sama banyaknya, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka tidak boleh menyentuhnya.
Yang menjadi panduan dalam ukuran banyak sedikitnya antara Mushhaf dan tafsir ialah tulisan ‘Utsmani dalam Mushhaf dan kaedah tulisan dalam tafsir. Jadi ketika membawanya yang diambil kira ialah jumlah al-Qur’an dan tafsir. Manakala dalam perkara menyentuh, yang diambil kira ialah tempat di mana dia meletakkan tangannya, jika pada lembaran itu tafsir lebih banyak, maka hukumnya boleh, tetapi jika ayat al-Qur’an lebih banyak, maka hukumnya haram.
(vi) Guru atau penjaga, tidak mengapa membiarkan kanak-kanak mumayyiz, walaupun dia berjunub membawa dan menyentuh Mushhaf kerana keperluan mempelajarinya, seperti membawanya ke sekolah dan membawanya ke tempat guru untuk mempelajarinya. Selain Mushhaf lengkap, termasuklah seperti papan dan buku tulis yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an.
Dibenarkan perkara ini adalah kerana ia akan membebani kanak-kanak itu supaya terus berwudhu, ini suatu perkara yang amat berat bagi mereka, kerana pada lazimnya masa memperlajari al-Qur’an itu memakan masa yang lama.
Walaupun kanak-kanak berkenaan dibenarkan menyentuh dan membawa Mushhaf, mengikut fatwa Ibnu Hajar, adalah dimaafkan bagi guru kanak-kanak yang tidak berupaya terus menerus dalam keadaan suci (berwudhu) untuk menyentuh papan tulis yang ada padanya ayat-ayat al-Qur’an, kerana berwudhu itu mungkin susah dilakukan, akan tetapi hendaklah ia bertayammum kerana tayammum itu lebih mudah.
(vii) Haram ke atas penjaga atau guru membiarkan kanak-kanak yang belum mumayyiz dengan Mushhaf, walaupun setengah ayat kerana ditakuti ianya akan tercemar. (Al-Malibari, Fath al-Mu’în: 10, dan as-Sayyid al-Bakri: I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/65-69)
Kita huraikan perkara: Cara menghormati dan memuliakan al-Qur’an dan hukum menyentuh Mushhaf, bagi orang berwudhu dan tidak berwudhu itu, supaya memberikan ingatan kepada orang-orang Islam tentang kepentingan al-Qur’an itu sendiri, akan tetapi ini tidak kena mengena dengan orang bukan Islam, bahkan kita tidak banyak mengharapkan orang bukan Islam akan menghormati dan memuliakan sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘ lebih-lebih lagi di antara syarat-syarat wudhu itu hendaklah dia orang Islam, yakni tidak sah wudhu orang kafir. Ini bererti jika orang bukan Islam, walaupun dia berwudhu, namun wudhunya itu tidaklah sah.
Di samping itu antara perkara-perkara yang diharamkan ke atas orang haidh pula ialah, selain menyentuh al-Qur’an ialah membacanya.
Mengajar Atau Memperdengarkan Bacaan Al-Qur’an Kepada Orang Bukan Islam
Persoalan yang ditimbulkan oleh ulama ialah mengenai orang bukan Islam sebelum membaca dan menyentuh al-Qur’an. Adakah boleh diajar membaca atau didengarkan bacaan al-Qur’an kepada mereka?
Menurut al-Imam an-Nawawi dalam kitabnya at-Tibyân (halaman 137), bahawa tidaklah ditegah orang kafir mendengar al-Qur’an berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: “Dan jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar kalâmullâh.” (Surah at-Taubah: 6)
Ahli tafsir ada yang mentafsirkan ‘mendengar kalâmullâh’ itu, antaranya, ialah supaya orang musyrikin mendengar keterangan-keterangan atau dalil kebenaran Islam. Ada pula yang mentafsirkan kalâmullâh itu al-Qur’an dan membacakannya kepada orang musyrikin.
Adapun mengajar al-Qur’an kepada orang kafir, berkata ulama-ulama asy-Syafi‘e: “Jika sekiranya tidak diharapkan dia masuk Islam, maka tidaklah harus diajarkan kepadanya. Akan tetapi jika diharapkan dia masuk Islam menurut wajh yang lebih ashah, haruslah diajarkan kepadanya. (At-Tibyân li an-Nawawi 137).
Ditanya kepada Ahmad bin Hanbal (mengenai mengajar al-Qur’an kepada kanak-kanak Majusi):
Ertinya: “Apa pendapat tuan bagi seorang lelaki Muslim mengajar kanak-kanak Majusi sesuatu daripada al-Qur’an?” Jawabnya: “Jika dia masuk Islam ‘ya”, jika tidak, maka makruh meletakkan al-Qur’an bukan pada tempatnya.” (Al-Jâmi‘ li al- Khallal: 1/120-121)
Khatam Al-Qur’an
Mengenai khatam al-Qur’an yang biasanya diadakan di sekolah secara bermajlis beramai-ramai, maka melihat kepada sambutan orang-orang bukan Islam terhadap Islam, khasnya orang-orang Iban dan Dusun, iaitu dengan merujuk kepada pengalaman Negara Brunei Darussalam, mereka itu adalah ramai yang memeluk Islam. Berasaskan ini, harapan untuk orang bukan Islam memeluk Islam di negara ini adalah sentiasa ada. Oleh hal yang demikian, jika terdapat tanda-tanda adanya harapan bagi orang bukan Islam itu akan masuk Islam, seperti kanak-kanak bukan Islam dan termasuk ibu bapa mereka sendiri suka anak-anak mereka itu belajar al- Qur’an dan menghadiri majlis khatam al-Qur’an, maka harus kanak-kanak itu menyertai majlis khatam al-Qur’an atau sebagai dakwah kepada mereka agar lebih terbuka hati kepada Islam, tetapi dengan ingatan, mereka jangan (haram) menyentuh al-Qur’an dalam keadaan apa jua sama ada kerana berhadas atau haidh, dan haram membacanya bagi yang ada haidh atau yang berhadas besar. Untuk memudahkan membawanya dan membuka lambaran-lambarannya bolehlah menggunakan al- Qur’an yang ada terjemahannya (tafsirnya). Namun huruf-huruf al-Qur’an tidak boleh disentuh. (Sila lihat Fatwa Mufti Kerajaan 2002, halaman 14).
(2) Kanak-Kanak Bukan Islam Mengerjakan Sembahyang
Mendirikan sembahyang merupakan ibadah bagi orang-orang Islam dan salah satu daripada rukun Islam. Sembahyang itu hanya diwajibkan ke atas setiap orang Islam, baligh, berakal dan suci daripada hadas dan najis. Adapun bagi orang bukan Islam, sembahyang itu tidak wajib ke atasnya.
Jika sembahyang itu dilakukan dengan tidak menurut syarat-syaratnya, maka tidaklah ia menjadi ibadah yang sah di sisi Allah seperti sembahyang yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Tidak sah sembahyang berjemaah yang dilakukan oleh kanak-kanak yang bukan Islam itu kerana tidak memenuhi syarat peribadatan tersebut dan sembahyang itu juga tidak disyariatkan ke atas mereka.
Syarat Islam itu adalah syarat semua perkara ibadat. Oleh kerana itu kanak-kanak bukan Islam tidak dituntut untuk mengerjakan sembahyang sama ada bersendirian atau berjemaah.
Walau bagaimanapun jika sekolah berhajat untuk mengajar kanak-kanak bukan Islam itu bersembahyang, memadailah mereka itu duduk di surau melihat rakan-rakan yang beragama Islam mengerjakan sembahyang. Bolehlah juga dilakukan seperti dengan menggunakan alat pandang-dengar, cara-cara lakonan bersembahyang atau melalui video dan lain-lain dengan menerangkan hikmat atau faedah-faedah sembahyang itu dengan penerangan atau penjelasan yang munasabah sesuai dengan keupayaan berfikir kanak-kanak tersebut. Pendeknya jadikan kanak-kanak bukan Islam yang belajar di sekolah-sekolah agama ini suatu kesempatan untuk menerangkan kebaikan dan keindahan Islam secara terancang dan berhikmah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9087
