Kanak-Kanak Islam Yang Diasuhkan Kepada Orang Bukan Islam
Soalan:
Dengan hormatnya sukacita kaola maklumkan bahawa kaola telah menerima laporan mengenai dengan anak orang Islam yang diangkat oleh orang bukan beragama Islam seperti berikut:
“Seorang anak Islam telah diangkat oleh keluarga yang bukan beragama Islam dan anak tersebut sehingga dewasa telah mengamalkan cara hidup yang bukan Islam sehingga dia berkahwin dan beranak cucu. Setelah sekian lama anak tersebut baru mengetahui melalui saudaranya bahawa dia adalah sebenarnya anak orang Islam.”
Sehubungan dengan ini, sukacita kaola ingin memohonkan fatwa bagi perkara-perkara berikut:
1. Bagaimana kedudukan agama/aqidah anak orang Islam yang diangkat oleh orang yang bukan Islam?
2. Bagaimana dengan status perkahwinannya dan kedudukan anak-anaknya itu?
3. Sekiranya dia berhasrat untuk memeluk Islam adakah perlu dia disyaratkan untuk melafazkan dua kalimat syahadat sebagaimana seorang bukan Islam memeluk agama Islam?
Sukacita kaola hadapkan pertanyaan-pertanyaan kaola di atas untuk mendapatkan fatwa mengenainya pada kadar yang segera jua. Jawapan:
Adalah haram seorang Islam mengangkatkan anaknya kepada orang bukan Islam. Perbuatan ini boleh saja menjadikan kanak-kanak itu akan terikut-ikut dan terpengaruh dengan aqidah bapa angkatnya itu.
Larangan mengikut dan mendampingkan diri kepada orang kafir itu jelas disebut dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisâ’: 144)
Dalam ayat yang lain Allah melarang dengan jelas supaya kita tidak mendampingi orang yang memilih kekufuran dan meninggalkan iman sekalipun dia ada hubungan nasab dengan kita. FirmanNya:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah at-Taubah: 23)
Ayat-ayat di atas jelas melarang kita mendampingi mereka kerana keadaan mereka yang kafir. Menurut Ibnu Katsir ayat ini menjelaskan bahawa Allah melarang hambaNya yang beriman menjadikan orang kafir itu sebagai awliyâ’. Ini termasuklah menjadikan sahabat, rakan atau penasihat. Maka mengangkatkan anak tentunya lebih dilarang kerana ia merupakan suatu penyerahan kuasa ke atas anak tersebut kepada orang bukan Islam.
Berdasarkan kepada nasab asal anak yang dimaksudkan dalam permasalahan ini, kanak-kanak itu tetaplah sebagai Islam kecuali apabila dia sampai umur ‘âqil bâligh dia memilih untuk membuang agama Islamnya itu atau memeluk agama bukan Islam atau dia tahu dirinya itu Islam lalu membuat perkara-perkara kufur yang boleh membawa kepada murtad. Nampaknya kanak-kanak itu (kita sebut selepas ini sebagai ‘subjek’) tidak berbuat demikian. Ini dapat difahami daripada laporan yang disertakan oleh penanya yang menyebutkan: “Sebelum ini subjek tidak menganut sebarang agama.”
Keterangan setakat ini menunjukkan subjek masih beragama Islam.
Lebih-lebih lagi meyakinkan bahawa subjek kekal dalam Islam, kerana laporan itu menyatakan lagi:
“Semasa subjek menuntut di Taiwan dalam pertengahan tahun lapan puluhan, subjek mempelajari agama Islam melalui seorang kawan subjek yang bertugas sebagai imam di sana. Ekoran daripada itu subjek mula mendirikan sembahyang, berpuasa dan melakukan amalan-amalan lain yang dituntut dalam Islam.”
Apabila seseorang itu sembahyang sudah tentu dalam tahiyyatnya dia akan mengucapkan:
Adapun perbuatan subjek pada masa-masa yang lalu, seperti minum arak, makan daging babi dan melakukan perkara-perkara lain yang ditegah agama Islam tidaklah mengeluarkannya daripada Islam.
Adapun langkah subjek mengucapkan dua kalimat syahadat di hadapan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 9/10/2003 itu adalah yang terbaik sebagai jalan atau langkah berhati-hati bagi menzahirkan ketentuan agamanya.
Satu perkara yang patut disentuh di sini ialah mengenai perkahwinan subjek tidak menurut Islam itu adalah tidak sah kerana dia seorang Islam. Maka dalam hal ini pernikahannya wajib difasakhkan oleh qadhi dan wajib diperbaharui nikahnya secara Islam. Ini juga tertakluk kepada isteri subjek jika dia mahu memeluk Islam. Walau bagaimanapun anak-anak yang lahir dari perkahwinan tersebut adalah sabit nasabnya kepada subjek atas dasar wathi’ syubhah. Namun sebagai langkah berhati-hati dalam menzahirkan pilihan beragama, maka adalah afdhal anak-anak subjek yang sudah mencapai ‘âqil bâligh mengucapkan dua kalimat syahadat. Tetapi jika anak-anak itu telah memilih agama lain atau melakukan perkara-perkara yang boleh membawa murtad, maka mengucapkan dua kalimat syahadat itu adalah wajib sekiranya mahu memilih Islam sebagai agama mereka. Adapun cucu-cucunya yang masih belum bâligh, apabila bapa atau ibunya (anak subjek) mengucapkan dua kalimat syahadat, maka cucu-cucunya itu secara automatik menjadi Islam. Jika bapa atau ibunya tidak memeluk Islam, maka wajib mengucapkan dua kalimat syahadat secara berasingan jika hendak diislamkan.
Oleh kerana ibu subjek tidak tahu akan akibat mengangkatkan anaknya itu kepada orang bukan Islam, maka kita hanya dapat berdoa mudah-mudahan ibu itu akan diampunkan oleh Allah di atas kesalahan itu, sambil dia sendiri bertaubat dengan taubat nashuhah memohon keampunan Allah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9095
