Kedudukan Basmalah Dalam Buku
Soalan: Dengan hormatnya sukacita saya memohon nasihat dan pandangan mengenai dengan kedudukan ayat basmalah yang ditulis dalam tulisan jawi yang ada pada setiap buku-buku teks yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan.
Buku-buku tersebut bukan sahaja dimiliki oleh murid-murid beragama Islam malahan juga murid-murid yang bukan beragama Islam. Kebiasaan kanak-kanak menyimpan buku-buku di dalam beg di atas lantai dan di bawah kerusi, mereka berlari-lari kadang-kadang melangkah beg atau duduk di atas beg-beg mereka sedangkan di dalam beg tersebut ada buku yang mengandungi ayat al-Qur’an dan nama Allah. Apa lagi halnya kanak-kanak yang tidak beragama Islam, besar kemungkinan buku-buku tersebut dibawa masuk ke dalam tandas.
Oleh kerana bimbang anak-anak saya akan mencuaikan buku-buku yang mengandungi kalimat tersebut, saya teringin untuk mengoyak atau menggunting perkataan “بسم هللا الرمحن الرحيم” yang terdapat di setiap buku-buku teks anak-anak saya tetapi disebabkan ia melanggar peraturan dan dikira sebagai perbuatan merosakkan buku-buku sekolah maka saya pohon nasihat Pehin perkara yang patut dilakukan mengenai hal ini.
Jawapan: Menulis basmalah (بسم هللا الرمحن الرحيم) telah menjadi amalan para ulama ketika menulis kitab atau surat. Perkara ini disebut oleh al-Qurtubi dalam al-Jâmi‘ li al-Ahkâm al- Qur’ân (13/193)
Kelebihan basmalah ini pernah disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda:
Maksudnya: “Setiap perkara yang berkebajikan yang tidak dimulai padanya dengan بسم هللا الرمحن الرحيمmaka perkara ini terputus (kurang keberkatan).” (Kanz al- ‘Ummâl, no: 2491)
Mengikut sejarah dakwah Islam, kepada ketua dan pembesar-pembesar asing, Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mencantumkan potongan ayat al-Qur’an dalam surat dakwah yang dikirimkan Baginda kepada mereka.
Antara surat berkenaan berbunyi:
Ertinya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani daripada Muhammad bin Abdullah, Rasulullah kepada Hiraqla (Hercules), Pembesar Rum.
Sejahteralah kepada sesiapa yang mengikut Hidayah.
Kemudian daripada itu: “Maka sesungguhnya saya menyeru tuan dengan seruan Islam. Islamlah, tuan selamat, Allah akan memberi ganjaran kepada tuan dua kali (ganda), akan tetapi jika tuan enggan, maka tuan akan menanggung dosa-dosa orang-orang bawahan (para peladang). Dan (“… wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimat yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah oleh kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam).” (Ibnu Katsir, al-Bidâyah wa an-Nihâyah: 3/265)
Di dalam teks surat ini tercantum ayat yang ke 64 daripada surah Âli ‘Imran, kecuali lafaz ْ قُل tidak dicantumkan.
Berdasarkan keterangan di atas, maka adalah disuruh dalam agama menuliskan kalimat basmalah pada awal setiap tulisan, surat kiriman dan buku atau kitab ilmu pengetahuan. Begitu juga ayat-ayat al-Qur‘an adalah boleh dituliskan pada kitab agama.
Hendaklah diambil ingatan bahawa buku pengetahuan, buku pelajaran atau kitab agama hendaklah disimpan dan diletakkan di tempat yang wajar, terhormat atau ditempatkan di tempat yang ia tidak menjadi hina atau terhina. Guru-guru dan ibu bapa wajar sangat mengingatkan murid-muridnya bagaimana cara menghormati buku atau kitab itu, lebih-lebih lagi jika dalam buku atau kitab itu mengandungi ayat al- Qur’an atau kalimat yang wajib dihormati seperti nama nabi.
Meniadakan basmalah ( بسم هللا الرمحن الرحيم) dengan mengoyak atau menggunting basmalah yang terdapat dalam buku-buku teks itu tidak selari dengan amalan para ulama di atas, bahkan menyalahi peraturan jika buku atau kitab itu barang pinjaman. Dengan mengoyak atau menggunting buku-buku atau kitab-kitab tersebut bererti pula tidak menghormatinya.
Saya berpendapat, inilah masanya ibu bapa dan pendidik mengambil peluang menanamkan pendidikan untuk menghormati lambang-lambang, âtsâr-âtsâr dan syiar-syiar termasuk tulisan-tulisan yang berupa ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis, atau walaupun sekadar lafaz al-Jalalah sepatah (Allah). Kita tidaklah wajar selamanya menganggap serong terhadap anak-anak bahawa mereka itu tidak boleh tidak pasti akan mencemarkan lafaz-lafaz yang mulia itu kerana mereka kanak-kanak. Kita perlu belajar memberikan kepercayaan kepada mereka, iaitu setelah dengan betul-betul dan bersungguh-sungguh kita menanamkan kefahaman dan pendidikan kepada mereka, bagaimana caranya menghormati tulisan-tulisan dan lafaz-lafaz, seperti بسم هللا الرمحن الرحيم dan lain-lain. Menurut pengalaman ramai orang, bahawa kanak-kanak itu apabila mendapat bimbingan atau pendidikan yang betul tentang sesuatu perkara, misalnya bila mana hendak makan minum hendaklah menggunakan tangan kanan dan membaca بسم هللا, maka kanak-kanak tersebut didapati akan lebih patuh dan lebih taat lagi daripada orang dewasa sendiri. Bahkan ada berlaku apabila kita orang dewasa ini terlupa atau memang senghaja tidak mahu melakukan sesuatu yang baik, padahal perkara itu pernah kita ajarkan kepada mereka (kanak-kanak tersebut), maka sekiranya ia berlaku di hadapan mata mereka (mereka nampak)
sendiri, mereka akan cepat-cepat menempelak tanpa bertangguh: “Hei ayah, ayah makan belum baca بسم هللا ”, “hei ayah, ayah minum tangan kiri?” dan lain-lain lagi.
Semua ini ada berlaku dalam masyarakat, dan ini menunjukkan bahawa masyarakat kanak-kanak itu adalah masyarakat yang peka dan terbaik untuk menerima asuhan atau didikan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9102
