Menghafaz Al-Qur’an Tanpa Guru
Soalan: Apakah boleh sekiranya seorang penuntut yang bukan belajar di institut tahfiz, menghafal al-Qur’an tanpa guru. Saya memang ingin mencari guru tetapi ada perkara yang tidak dapat dielakkan menyebabkan saya hanya menghafal bersendirian sahaja.
Jawapan: Tidak mengapa menghafaz ayat-ayat al-Qur’an tanpa guru sekiranya seseorang telah mempelajari dengan sempurna segala perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum pembacaan al-Qur’an seperti ilmu tajwid, fashâhah dan sebagainya. Namun bagi kesempurnaan hafalan, seseorang perlu kepada seorang yang boleh menyemak bacaannya itu.
Sekiranya seseorang itu belum mampu membaca al-Qur’an dengan betul mengikut kaedah-kaedah pembacaan al-Qur’an terutama kaedah-kaedah menurut ilmu tajwid dan fashâhah, maka wajiblah baginya berguru terlebih dahulu, kerana menghafaz di dalam keadaannya belum mampu membaca al-Qur’an dengan betul boleh menjerumuskannya kepada dosa disebabkan bacaan-bacaannya yang salah nanti. Berbeza dengan menghafaznya secara berguru, selain tugas guru menyemak hafalan, guru tersebut akan membetulkan mana-mana bacaan yang tidak menepati kaedah-kaedah bacaan al-Qur’an.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9151
