Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menjalankan Perniagaan Amway

Soalan: Tolong jelaskan adakah perniagaan Amway yang difatwakan Siri: 18/1995 adalah baik dari segi agama Islam Brunei untuk menjalankan perniagaan sekarang (pada masa ini).

Saya mengharapkan agar Pehin dapat menjelaskan kepada saya seberapa cepat yang mungkin.

Jawapan: Sebagaimana yang telah difatwakan pada siri fatwa 18/1995 berhubung dengan perniagaan Amway, yang dijelaskan di dalam fatwa berkenaan adalah seperti berikut:

1. Pembahagian Keuntungan dan Bonus Perlaksanaan

Pembahagian keuntungan dan bonus perlaksanaan atau ganjaran kepada agen-agen atau pengedar serta syarat-syarat dan peraturannya yang jelas adalah tidak bercanggah dengan syara‘.

2. Tentang Kesucian Barang-Barang Amway

Bahan barang makanan seperti Nutrilite Food Supp Cemanta dan bahan kosmetik seperti cecair losyen tidak dapat dipastikan kesuciannya kecuali jika ada maklumat tentang bahan-bahan kandungannya atau selepas dijalankan kajian makmal ke atasnya. Manakala barang-barang pemeliharaan rumah jika tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna atau sudah diluluskan oleh kerajaan haruslah diniagakan.

3. Adakah Sistem Perniagaan Ini Diharuskan Dalam Islam?

Sistem perniagaan Amway setakat yang difahami tidak bercanggah dengan syara‘.

Fatwa ini ialah berdasarkan keterangan yang telah diberikan. Oleh kerana aktiviti dan sistem perniagaan yang dijalankan oleh Amway itu berdasarkan keterangan seperti yang disebutkan di atas yang nampaknya tidak bertentangan dengan hukum syara‘, maka hukumnya adalah harus. Walau bagaimanapun jika berlaku sebarang perubahan dalam sistemnya yang ada itu sehingga membawanya bercanggah atau bertentangan dengan syara‘, maka ia tidaklah lagi menepati perniagaan cara Islam, misalnya jika terdapat unsur riba atau memperniagakan barang-barang yang ditegah oleh syara‘ dan seumpamanya.

Jika aktiviti dan sistem perniagaan yang dijalankan Amway pada masa ini masih memenuhi kehendak syara‘ sebagaimana yang telah difatwakan, maka hukumnya harus. Tidaklah salah perniagaan ini dijalankan di Brunei. Perniagaan pada dasarnya adalah amat digalakkan, berdasarkan hadis riwayat Sa‘id bin Manshur daripada Nu‘aim bin Abdul Rahman al-Azdi dan Yahya bin Jabir ath-Tha‘i, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sembilan per sepuluh sumber rezeki itu datangnya daripada perniagaan.” (Kanz al-‘Ummâl: 4/30).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9159