Meroboh Bangunan Masjid Lama
Soalan: Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa dalam Mesyuarat Majlis Ugama Islam kali pertama yang telah lalu antara lain telah membincangkan perkara “Permohonan Kebenaran Meroboh Masjid Lama Kampong Bunut”. Majlis bersetuju supaya perkara ini dirujukkan kepada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan.
Sehubungan dengan keputusan itu sukacita kaola edarkan perkara ini kepada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin bagi maksud untuk mendapatkan sebarang pandangan dan ulasan atau fatwa mengenainya.
Jawapan: Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.” (Surah al-Jinn: 18)
Asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khatib dalam kitabnya al-Mughni menjelaskan bahawa apabila seseorang mendirikan masjid di tanah yang belum di‘imârahkan (mawât) dengan niat untuk masjid maka jadilah ia masjid. Katanya:
Ertinya: “(Peringatan): Dikecualikan daripada disyaratkan lafaz (pada mewaqafkan sesuatu) apabila sesorang itu mendirikan masjid dalam tanah mawat dan dia niatkan ia menjadi sebuah masjid, maka jadilah ia masjid dan tiadalah dikehendaki lafaz (waqaf) padanya sebagaimana yang telah dikatakan oleh pengarang al-Kifâyah mengikut pendapat Imam al-Mawardi kerana perbuatan (membangunkan bangunan masjid ) serta niat (jadikan ia sebuah masjid) kedua-duanya di sini menjadikan ia tidak berkehendak pada sesuatu lafaz lagi. Dan al- Imam as-Subki telah menghuraikan perkataan pengarang al-Kifâyah itu dengan katanya: “Bahawa tanah mawat itu tidak termasuk di bawah milik orang yang meng‘imârahkan masjid itu di atasnya, dan hanya dikehendaki pada lafaz (waqaf) itu kerana mengeluarkan harta yang dimilikinya daripadanya, dan bangunan itu menjadi masjid mengikut tanah mawât itu menjadi masjid.”
Al-‘Allamah asy-Syeikh Ibnu Hajar dalam at-Tuhfah pula menyebutkan:
Ertinya: “Bahawa perkataan seseorang: “Saya jadikan tanah ini masjid”, dengan tidak berniat dihatinya adalah ia perkataan (suatu lafaz) yang sharîh (terang dan nyata pada waqaf), maka ketika itu jadilah tanah itu dengan perkataannya itu sebuah masjid, sekalipun dia tidak membawakan suatu lafaz sharîh yang disebutkan dahulu, kerana sebuah masjid itu tidaklah ia menjadi masjid melainkan ia telah menjadi waqaf, dan jika dia berniat waqaf dengan lafaznya itu atau dia tambah perkataan (lillâh) nescaya jadilah ia masjid dengan tiada khilâf.”
Ini bermakna bangunan yang dibina untuk tujuan masjid di tanah mawât adalah menjadi masjid dan menjadi waqaf. Dalam hal ini lafaz waqaf tidak disyaratkan kerana tanah mawât bukan milik kepada sesiapa.
Menurut Muhammad Abdullah az-Zarkasyi, masjid yang roboh atau dirobohkan itu tidak menjadi milik mana-mana orang. Ia tetap menjadi masjid. Perkara ini ada disebutkan dalam kitabnya I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid, katanya:
Ertinya: “Jika rosak sesebuah masjid itu kerana ditinggalkan manusia dalam sesebuah negeri itu atau mereka meruntuhnya atau runtuh dengan sendirinya, maka tidak ia kembali menjadi milik sesiapa, pendapat ini menyalahi pendapat Muhammad bin al-Hasan, dan tidak boleh ia (masjid) itu dijual dan tidak boleh digunakan.”
Penjelasan di atas bermakna bahawa jika masjid itu rosak atau tidak boleh digunakan lagi seperti ia terbiar atau tidak di‘imârahkan kerana perpindahan penggunanya, maka ia boleh dirobohkan. Namun tapak berkenaan akan kekal menjadi masjid dan tidak boleh dijual atau dijadikan yang lain daripada masjid.
Adapun perkakas masjid seperti kayu-kayu dinding, atap yang masih baik itu hanya boleh digunakan untuk kepentingan pembinaan masjid juga, sama ada masjid baru yang akan dibina atau masjid yang berdekatan dengannya. Ia tidak boleh dijual dan sebagainya. Namun jika perkakas tersebut rosak atau pecah dan tidak elok untuk digunakan lagi, maka ia bolehlah dijual. Pendapat ini disandarkan kepada sebutan menurut Imam an-Nawawi dalam al-Minhâj yang menyebutkan:
Ertinya: “Dan yang ashah ialah harus menjual tikar masjid jika ia buruk dan pohon kurmanya jika patah dan tidak layak melainkan untuk dibakar.”
Menurut al-Qalyubi pendapat inilah yang mu‘tamad. Syeikh al-Khathib asy-Syarbini pula menyatakan bahawa keharusan menjualnya itu ialah supaya tidak hilang begitu sahaja (dengan dibakar) dan supaya tidak menyukarkan kita kerana menyempitkan kawasan bagi tujuan penyimpanannya. (Mughni al-Muhtâj: 2/531)
Manakala al-Imam Ibnu Hajar al-Haitsami menyebutkan dalam at-Tuhfah mengenai perkara ini, katanya;
Ertinya: “Maka perolehan yang sedikit daripada penjualannya (perkakas) yang kembali untuk waqaf itu lebih utama dari hilangnya (kerana dibakar), dan ia dikecualikan daripada perkara penjualan waqaf kerana ia seolah-seolah sudah tidak ada, dalam pada itu disalurkan harga jualan berkenaan bagi tujuan kemashlahatan masjid.”
Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, masjid yang telah rosak dan dikhuatiri roboh yang akan memudharatkan orang ramai itu adalah harus diroboh. Walau bagaimanapun tapak masjid berkenaan hendaklah dikekalkan sebagai masjid. Adapun perkakasnya yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi untuk masjid yang baru, dan apabila disimpan akan membebankan pihak masjid kerana menyempitkan ruangan masjid adalah harus ia dibakar. Dalam keadaan ia harus dibakar itu ia juga harus dijual dan perbuatan menjual ketika itu tidak lagi termasuk dalam kategori menjual waqaf. Malahan menjualnya adalah lebih utama kerana hasil jualannya itu dapat digunakan untuk kemaslahatan masjid sekalipun ia sedikit, berbanding dengan dibakar tiada apa-apa yang didapat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9166
