Pakaian Seragam Kompeni Askar Wanita
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita dimaklumkan bahawa pakaian seragam berbentuk keagamaan Kompeni Askar Wanita telah diperkenalkan sejak tahun 1996.
Walau bagaimanapun pakaian seragam Kompeni Askar Wanita yang dikatakan berbentuk keagamaan/ala Islam itu masih lagi dipertikaikan, sama ada ianya sudah menurut lunas-lunas syariat Islam atau tidak.
Pemakaian pakaian seragam berkenaan pada masa ini masih diberi pilihan iaitu boleh pakai pakaian seragam yang lama (bukan ala Islam seperti tidak bertudung dan sebagainya).
Sehubungan dengan itu sebahagian askar wanita mempersoalkan mengenai dengan pakaian seragam yang masih belum diubahsuai kepada pakaian keagamaan dan pihak Markas Kompeni Wanita telah mengambil berat tentang perkara ini demi untuk menjaga kesejahteraan askar wanita sama ada pegawai mahupun peringkat rendah.
Oleh itu cadangan pengubahsuaian pakaian seragam sekarang sudah dihadapkan dalam mesyuarat pakaian seragam oleh pihak tentera (Kompeni Askar Wanita), namun ahli mesyuarat memerlukan ketetapan daripada Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.
Berdasarkan perkara di atas timbul beberapa persoalan yang mana abis kaola memerlukan fatwa dan nasihat serta saranan.
1. Apakah ciri-ciri pakaian seragam tentera perempuan Islam?
i. Pakaian seragam sukan. ii. Pakaian seragam untuk ke hutan. iii. Pakaian seragam adat istiadat (ceremonial).
2. Kompeni Askar Wanita (KAW) terdiri daripada yang Islam dan yang tidak Islam. Apa perlukah diberi pilihan pemakaiannya jika pakaian seragam menurut Islam sudah dicipta/diwujudkan dalam Kompeni Askar Wanita baik di kalangan Islam atau yang bukan Islam?
3. Ke arah memperelokkan pakaian seragam tentera wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang mengikut lunas-lunas Islam, maka dipohonkan apa-apa jua nasihat dan saranan yang Pehin fikirkan perlu supaya pemakaian pakaian yang menutup aurat dapat dikekalkan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Jawapan: Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan bersyukur serta tahniah di atas pertanyaan yang diajukan oleh pihak Kementerian Pertahanan, kerana mengambil berat serta berusaha untuk menepati kehendak hukum syara‘ mengenai pakaian menurut pandangan Islam ini. Kementerian bukan sahaja memberi tunjuk ajar kepada Kompeni Askar Wanita dari segi disiplin, akhlak dan kesopanan, malahan juga mengambil kira sejauh mana ketepatan pakaian mereka dalam pandangan Islam. Garis pandu mengenai pakaian ini sangat berguna kepada kaum wanita Islam secara keseluruhannya.
Sebelum menjawab soalan yang dikemukakan, ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu konsep pakaian perempuan dalam Islam. Pakaian itu ada hubungannya dengan ibadat seperti ibadat sembahyang di mana diwajibkan memakai pakaian yang menutup aurat. Malahan pakaian secara yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri adalah ibadat kerana ia termasuk dalam suruhan wajib oleh agama yang ada nilai pahala dan dosa. Demikian juga, pakaian itu boleh menggambarkan aqidah dan akhlak pemakainya. Oleh itu sayugialah ditekankan agar tidak mengabaikan suruhan Allah Ta‘ala dalam berpakaian mengikut Islam. Di bawah ini disebutkan garis pandu mengenai pakaian perempuan Islam:
(i) Hendaklah pakaian itu menutup seluruh badan termasuk kepala, rambut, leher, dada, lengan, dan betis daripada anggota perempuan, bahkan wajib menutup tapak kakinya melainkan di dalam keadaan darurat seperti banjir, keadaan lecak, berlumpur atau seumpamanya. Tidak wajib ditutup muka dan dua tapak tangan dari hadapan dan belakang sehingga dua pergelanggan tangan sahaja yang boleh nampak. Namun demikian cara ini adalah dalam keadaan biasa. Adapun dalam keadaan yang boleh mendatangkan fitnah atau keadaan keganasan, maka wajib ditutup seluruh anggota tubuh badannya. Tidak menutup anggota badan adalah dilaknat oleh Allah Ta‘ala dan dosa besar yang wajib dielakkan.
(ii) Hendaklah pakaian itu tidak jarang dan menutup seluruh tubuh badan perempuan supaya tidak nampak warna kulit dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.
(iii) Hendaklah pakaian itu luas, lebar tidak sempit dan tidak ketat yang boleh menampakkan segi-segi susuk badan perempuan. Pakaian yang ketat itu ialah seperti menampakkan susuk buah dada dan punggung dan lain-lain segi anggota yang mendatangkan fitnah atau keinginan syahwat.
(iv) Hendaklah pakaian perempuan itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, kerana adalah haram dan berdosa besar perempuan memakai pakaian yang serupa atau seakan-akan dengan pakaian lelaki.
(v) Hendaklah pakaian perempuan itu tidak wangi atau harum, kerana wangi atau harum itu membawa fitnah dan kerosakan yang boleh membangkitkan nafsu dan perhatian orang. Ini semua wajib dihindarkan oleh perempuan-perempuan. Memakai pakaian yang wangi atau harum di hadapan lelaki ajnabi (asing bukan mahram) adalah dosa besar sekalipun dibenarkan oleh suami.
(vi) Hendaklah pakaian perempuan itu bukan daripada jenis “berhias”, kerana pakaian yang “berhias” itu menarik pandangan orang dan membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan yang memakainya dan kepada yang memandang itu. Orang-orang Bani Isra’il (Yahudi) telah dilaknat oleh Allah Ta‘ala kerana mereka membiarkan perempuan mereka keluar rumah, ke pasar dan ke kedai dengan berhias dan bergaya. (vii) Hendaklah pakaian perempuan itu bukan daripada fesyen yang boleh menjadikan pemakainya bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk, kerana itu adalah perbuatan takabbur dan ‘ujub yakni merasa tinggi diri, ia adalah dosa besar.
Hukum wajib menutup aurat itu jelas disebutkan dalam al-Qur’an dan hadis. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Jangan kamu perempuan-perempuan Islam berkelakuan dengan terdedah sebagaimana terdedah perempuan-perempuan sebelum zaman Islam (dengan menampakkan kejelitaan perempuan kepada lelaki asing dan menampakkan perhiasan-perhiasan mereka).” (Surah al-Ahzâb: 33)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nûr: 31)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain-lain ulama akan hadis:
Maksudnya: “Dua golongan ahli neraka, saya (Rasulullah) belum lihat kedua-duanya (pada zaman Baginda): Sekumpulan orang memegang cemeti seakan-akan ekor lembu, mereka membelasah orang dengan cemeti itu (seperti pegawai-pegawai keselamatan yang zalim membelasah manusia). Sekumpulan lagi perempuan memakai pakaian tetapi mereka bertelanjang (pakaian nipis dan menampakkan segala kejelitaan badan dan tidak menutup segala anggota badan) dan berjalan dengan bergaya, sombong, menunjuk-nunjuk, menggerak-gerakkan bahu dan mengikat kepala dengan perca kain supaya nampak besar kepala dan jelita, tidaklah perempuan-perempuan itu masuk syurga, dan tidak mencium bau syurga dan bau syurga itu boleh didapati dari jauh begini dan begini.” (Hadis riwayat Muslim dan lain-lain)
Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim mengatakan hadis ini mengikut syarat-syarat Imam al-Bukhari dan Muslim iaitu hadis daripada sahabat Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, katanya: “Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Akan berlaku pada akhir umat saya, oleh lelaki menaiki pelana-pelana unta seperti rumah-rumah kenaikan yang ada ditaruh di belakang unta (ertinya kereta), tuan punya pelana besar-besar itu (tuan punya kereta) turun di hadapan masjid (masuk untuk sembahyang di dalamnya sedangkan kereta-kereta mereka masuk (ke masjid) untuk menunggu di pintu masjid). Isteri-isteri mereka memakai pakaian dan bertelanjang (pakaian yang menampakkan badan dan menampakkan anggota perempuan) dan di atas kepala mereka ada topi atau dibesar-besarkan ikatan rambut kepala mereka, seperti bonggol di atas bahu unta, maka hendaklah kamu laknatkan mereka, kerana bahawa mereka (perempuan-perempuan) itu sentiasa kena laknat.”
Berbalik pada pertanyaan mengenai ciri-ciri pakaian seragam Kompeni Askar Wanita. Pada dasarnya apa jua corak atau fesyen pakaian itu adalah diharuskan selama ia bertepatan dengan kehendak Islam dan mengikut garis pandu yang telah diberikan. Dalam menentukan corak atau fesyen pakaian yang hendak dipakai, tertakluklah kepada kesesuaian tempat dan keadaan. Sebagai contohnya apabila melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti ke hutan dan bersukan sesuailah memakai pakaian khusus untuk bersukan dan ke hutan, akan tetapi hendaklah ia bertepatan dengan kehendak syara‘.
Adapun pakaian Kompeni Askar Wanita yang tidak beragama Islam, apabila dilihat dari segi ketidakharusan melihat antara perempuan Islam dan bukan Islam, menurut pendapat yang mu‘tamad adalah seluruh tubuh badan perempuan Islam itu melainkan apa yang nampak ketika dalam melakukan sesuatu pekerjaan (iaitu muka, kepala, tangan sehingga siku dan kaki sehingga lutut). Maka dengan itu, adalah haram perempuan Islam mendedahkan auratnya kepada perempuan bukan Islam melainkan jika ada kaitan mahram.
Sementara harus bagi perempuan Islam melihat aurat perempuan bukan Islam pada selain antara pusat dan lutut sebagaimana menurut pendapat yang mu‘tamad. (Fath al-‘Allâm, Kitâb as-Shalâh, Fashl fi Syurûth as-Shalâh: 2/178-179)
Apabila dilihat situasi kegiatan-kegiatan Kompeni Askar Wanita itu seperti bersukan, meredah hutan dan sebagainya yang mana mereka sering terdedah atau tidak aman daripada pandangan khalayak ramai lebih-lebih lagi kepada kaum lelaki, maka hendaklah Kompeni Askar Wanita itu, baik yang bukan Islam apatah lagi yang beragama Islam menutup seluruh anggota badan mereka selain muka dan tangan yang menepati tuntutan Islam.
Perlu diingat, adapun menutup aurat itu ialah perintah Allah Ta‘ala kepada semua orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan, dengan tidak mengira apa jua kedudukan dan peranan mereka. Pekerjaan askar adalah satu pekerjaan besar dan mulia, kerana tujuannya adalah untuk melindungi agama, tanah air, bangsa dan segala kepentingan.
Selaku pemikul tanggungjawab yang mulia ini, askar adalah lebih-lebih lagi dituntut supaya selamanya tegak di atas landasan syara‘, jangan sekali-kali mereka melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah, termasuk dalam berpakaian ini. Askar tidaklah kuat, yang kuat itu ialah Allah. Mereka perlu kepada pertolongan Yang Maha Kuat ini, dan syarat kepada pertolongan itu, ialah adanya iman dan taqwa. Jika ada dosa dan maksiat telah dibuat, maka robohlah istana iman dan taqwa itu. Bila mana iman dan taqwa telah roboh, maka pertolongan Allah tidak usahlah disebut lagi. “Jauh panggang dari api” untuk memperolehinya..
Inilah yang amat ditakuti oleh pemimpin-pemimpin tulen dan pemimpin besar umat Islam di zaman keemasan, mereka takut berlakunya dosa di kalangan askar-askar mereka. Kerana takut yang seumpama itulah, maka Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallhu ‘anhu pernah berpesan kepada askar-askarnya yang hendak keluar berperang, lebih kurang maksudnya: “Aku tidaklah takut dengan keramaian musuh-musuh, tetapi apa yang aku takutkan ialah jika kamu melakukan dosa dan maksiat terhadap Allah Ta‘ala.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9175
