Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pembahagian Harta Pusaka Peninggalan Ibu

Soalan: Menurut hukum farâ’idh ibu saya menerima 1/8 daripada harta pusaka (peninggalan bapa tanpa wasiat) semasa ibu saya hidup. Siapakah yang berhak menerima balik bahagian ibu yang telah meninggal dunia?

i. Saya mempunyai 5 orang adik beradik iaitu 4 orang anak lelaki dan 1 orang perempuan yang seibu sebapa.

ii. Seorang anak perempuan yang seibu dan lain bapa.

iii. Seorang lagi anak perempuan yang sebapa dan lain ibu.

Siapakah di antara tiga golongan yang telah diajukan iaitu (i, ii, dan iii) yang berhak untuk menerima bahagian ini dan berapakah jumlah yang akan diterima oleh setiap seorang daripada wang sebanyak $625.00 sahaja?

Jawapan: Mereka yang pada bahagian (i) iaitu 5 orang adik beradik: 4 orang anak lelaki dan 1 orang perempuan yang sebapa seibu dan (ii) iaitu seorang anak perempuan yang seibu dan lain bapa berhak untuk menerima harta pusaka peninggalan ibu mereka yang telah meninggal dunia itu.

Anak-anak lelaki dan perempuan pada bahagian (i) dan (ii) berhak menjadi ahli waris yang mewarisi harta peninggalan si mati kerana pertalian karabat iaitu anak dan ibu.

Adapun anak perempuan yang sebapa lain ibu sebagaimana soalan (iii) itu tidak mendapat apa-apa bahagian kerana tidak ada apa-apa pertalian keluarga dengan si mati.

Pembahagian harta peninggalan ibu mereka yang berjumlah $625.00 itu menurut hukum farâ’idh dibahagikan kepada anak lelaki dan perempuannya secara ‘asabah.

Hak bagi seorang anak lelaki adalah nisbahnya kepada dua orang anak perempuan yakni seorang anak perempuan mendapat satu bahagian, manakala anak lelaki akan mendapat dua bahagian. Dalam hal ini Allah Subhanhu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah an-Nisâ’: 11) Jadual pembahagian bagi masalah di atas adalah seperti berikut:

Ahli waris Saham 4 orang anak lelaki 2 orang anak perempuan (adik beradik seibu sebapa dan yang seibu)

Asal masalah: 10 (2 x 4 bilangan anak lelaki dan 2 orang anak perempuan) Nilai bagi setiap bahagian: $625 ÷ 10 = $ 62.50 Maka jumlah bahagian untuk empat orang anak lelaki: 8 x 62.5 = $500.00 Jumlah bahagian untuk dua orang anak perempuan: 2 x 62.5 = $125.00 = $625.00 Setiap seorang anak lelaki mendapat: $500.00 = $125.00

Setiap seorang anak perempuan pula mendapat: $125.00 = $ 62.50

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9186