Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Upacara Tepung Tawar

Soalan: Dengan hormat sukacita dihadapkan tulisan daripada Pak Malau bertarikh 24hb. Mac 2003 bertajuk: Tepung Tawar.

Menurut penulis berkenaan bahawa dua upacara majlis tepung tawar telah dijalankan oleh pihak yang berkenaan seperti berikut:

(i) Upacara tepung tawar bagi Projek Peninggalan Telaga Padang Belait di kawasan Bukit Labi semasa bulan Ramadhan yang lalu.

(ii) Upacara majlis tepung tawar bagi pelantar Gerudi Strategik ENSCO51, di jaket Enggang di awal tahun 2003 yang lalu.

Menurut penulis itu lagi, upacara tepung tawar ini adalah berasal daripada kepercayaan Hindu, dan kita orang Islam dilarang meniru upacara keagamaan yang lain, lebih-lebih lagi jika upacara itu dipercayai membawa berkat yang mana ini boleh merosakkan aqidah seseorang Islam.

Seterusnya beliau merujuk kepada buku Ajaran Sesat Di Negara Brunei Darussalam – Satu Tinjauan, tulisan Allahyarham Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr Awang Haji Mahmud Saedon bin Awang Othman dan Yang Mulia Awang Norarfan bin Haji Zainal, muka surat 278, yang saya salin semula di bawah ini seperti berikut:

.... “Manakala bentuk-bentuk khurafat pula adalah seperti:

• Kepercayaan kepada jin yang dianggap memberi kesan sebenar dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat pantai dan sebagainya....

Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid memohon untuk mendapatkan sebarang fatwa mengenai perkara tersebut atau salinan fatwa (jika perkara ini sudah pernah difatwakan) atau sebarang tulisan yang berhubung kait dengan perkara ini yang pernah diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan.

Jawapan: Menepung Tawar itu adalah adat semata-mata. Bahkan ia dikatakan berasal daripada agama Hindu sebagai upacara menolak bala. Oleh yang demikian ia bukanlah amalan yang bersumber daripada ajaran Islam.

Masyarakat Melayu mengamalkan adat menepung tawar ini dengan berbagai-bagai tujuan. Menurut Kamus Dewan “Tepung Tawar” diertikan sebagai tepung beras yang bercampur dengan air dan daun setawar (untuk menjampi dan lain-lain). Manakala istilah menepung tawar pula diertikan sebagai membaca jampi untuk mengubati penyakit dan lain-lain dengan tepung tawar, menaburkan atau merenjis dengan tepung tawar. Ia merujuk kepada istiadat menepung tawar.

Jika dilihat kepada amalan masyarakat Brunei, istiadat menepung tawar jarang sekali dilakukan bagi tujuan mengubat penyakit. Bahkan ia dilakukan bagi majlis-majlis kegembiraan seperti majlis kahwin (majlis berbedak), majlis menyambut kedatangan orang tertentu, majlis menyambut orang balik daripada menunaikan fardhu haji, majlis berkhatan, majlis pengislaman, menerima kenderaan baru dan sebagainya. Semuanya dilakukan dengan caranya yang tersendiri.

Dalam syariat Islam konsep sesuatu amalan itu perlu dinilai berdasarkan ajaran Islam. Dalam soal ‘urf (amalan budaya) ia juga perlu dinilai dengan kehendak syara‘. Mana-mana yang dilarang atau berlawanan dengan ajaran Islam, maka ‘urf atau adat itu akan tertolak. Lebih-lebih lagi jika suatu perkara atau perbuatan itu menyangkut kepada persoalan aqidah, maka ia lebih utama untuk dinilai menurut dasar-dasar aqidah Islam. Jika amalan itu membawa kepada penyelewengan atau bertentangan dengan dasar aqidah Islam terutama perkara yang boleh membawa kepada berlakunya perkara syirik, maka adat atau budaya tersebut adalah salah dan wajib ditinggalkan.

Manakala adat yang sudah menjadi lumrah diamalkan oleh suatu kelompok manusia dan tidak ada larangan yang jelas mengenainya atau ia tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam, maka adat tersebut tidak mengapa dan boleh terus diamalkan. Apatah lagi jika adat itu diterima baik oleh masyarakat setempat. Dalam kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan: همَةُمَُك ُ اَلْعَادَة (adat itu boleh menjadi pemutus hukum).

Suatu perkara yang perlu diambil perhatian dalam amalan menepung tawar ini, iaitu jika ia dii‘tiqâdkan sebagai suatu amalan yang jika dilakukan akan memberi manfaat, seperti boleh melindungi daripada bahaya, menolak bala sebagaimana asalnya dalam agama Hindu, atau jika tidak dilakukan akan membawa mudharat seperti menyebabkan berlaku sesuatu yang tidak baik atau dilakukan kerana mengharapkan berkat daripadanya, maka i‘tiqâd sedemikian itu boleh menjejaskan atau membawa rosak aqidah. Begitu juga, jika adat itu menjadi suatu yang dilarang dalam Islam sekiranya dilakukan sebagai pemujaan kepada jin atau makhluk-makhluk halus, maka adat sedemikian itu wajib ditolak dan ditinggalkan.

Keindahan Islam Meninggalkan Perkara Yang Tidak Memberi Manfaat

Selain daripada tanggapan bahawa suatu yang baik atau buruk bukan bersandarkan kepada syara‘, maka ada lagi suatu perkara yang perlu diambil perhatian iaitu meninggalkan sesuatu perkara yang tidak bermanfaat atau sesuatu yang tiada berguna merupakan salah satu daripada ajaran Islam. Maka begitulah juga dengan adat yang tidak membawa kemanfaatan atau kebaikan, maka sewajarnya ia ditinggalkan bersesuaian dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “(Salah satu di antara tanda) daripada keelokan (kesempurnaan) Islam seseorang itu ialah meninggalkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ibnu Rajab al-Hanbali dalam mensyarah hadis tersebut mengatakan bahawa orang yang elok (sempurna) Islamnya itu ialah orang yang meninggalkan perkataan dan perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat kepada dirinya. Bahkan dia hanya akan mengeluarkan atau mengucapkan perkataan dan melakukan perbuatan yang mendatangkan kemanfaatan atau kebaikan kepada dirinya. Perkataan atau perbuatan yang mendatangkan kemanfaatan itu pula diukurnya menurut ukuran syara‘ dan bukannya menurut ukuran akal semata-mata, lebih-lebih lagi bukan ukuran hawa nafsu. Oleh itu, apabila seseorang telah elok (sempurna) Islamnya, dia akan meninggalkan semua perkara-perkara yang haram, syubhah, makruh, dan perkara-perkara harus yang tidak menjadi keperluan, kerana semua itu tidak dikehendaki oleh seorang Islam apabila telah sempurna keislamannya dan apabila dia telah sampai ke darjat al-ihsân (merasakan dalam melakukan ibadah seolah-olah dia dapat melihat Allah [berhadapan dengan Allah] dan jika dia tidak dapat melihat Allah, dia merasakan dilihat [diperhatikan] oleh Allah). Oleh itu, pada hakikatnya perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada seorang Islam ( ْ َ مَا ال َ يـَعنَيه ) itu ialah apa yang tidak diperlukan oleh seorang Islam untuk kepentingan atau kebaikan agamanya dan dunianya serta tidak memberi manfaat kepadanya dalam usaha mendapatkan keredaan Allah. (Ibnu Rajab, Jâmi‘ al-‘Ulûm wa al-Hikam: 1/208 dan al- Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadzi: 7/18-19)

Maka oleh itu, adalah lebih wajar dan utama ditinggalkan acara menepung tawar tersebut dan menggantikannya dengan acara-acara lain yang jelas ada manfaat dan kebaikannya pada agama dan dunia seperti membaca doa kesyukuran kerana perkara-perkara berkenaan itu dan yang seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9235