Adakah Sah Melontar Jamrah Sebelum Waktu Zawâl?
Soalan: Adakah diharuskan (dibolehkan) melontar ketiga-tiga jamrah selepas terbit fajar pada hari-hari tasyrîq sebagaimana yang diamalkan oleh negara jiran?
Jawapan: Pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e bahawa waktu melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq ialah selepas tergelincir matahari (waktu zawâl) dan tidak sah lontaran itu jika dilakukan sebelum waktu zawâl. Ini ditegaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah, katanya:
Ertinya: Tidak sah melontar pada hari-hari tasyrîq kecuali setelah gelincir matahari dan kekal waktunya sehinggalah terbenam matahari. Dan ada qîl (pendapat) lain yang mengatakan sehingga terbit fajar. Pendapat pertama adalah pendapat yang ashah. (Al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj: 183)
Pendapat inilah yang menjadi amalan jemaah haji Negara Brunei Darussalam apabila hendak melontar ketiga-tiga jamrah di hari-hari tasyrîq iaitu mulai dari gelincir matahari sehingga terbenamnya, bersesuaian dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan sebuah hadits yang bersumber daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melontar jamrah-jamrah (Ûlâ, Wusthâ dan ‘Aqabah) ketika gelincir matahari. (Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Sebuah hadits lagi yang bersumber daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bermukim di Makkah sehingga Baginda sembahyang Zuhur, kemudian Baginda kembali semula ke Mina, lalu Baginda melontar Jamrah Ûlâ dengan tujuh biji anak batu apabila tergelincir matahari. Setiap kali melontar Baginda bertakbîr. (Hadits riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)
Adapun lontaran yang diharuskan sebelum matahari tergelincir pada hari-hari tasyrîq hanyalah untuk mengganti (mengqadha) lontaran yang telah luput pada hari sebelumnya. Untuk jelasnya, sekiranya jamrah ‘Aqabah tidak dilontar pada hari nahar, maka ia boleh diganti dengan melontarnya pada bila-bila masa hari-hari tasyrîq termasuk sebelum matahari tergelincir. Begitu juga halnya jika ketiga-tiga jamrah pada hari pertama atau kedua hari tasyrîq tidak dilontar, lontaran itu boleh diganti pada bila-bila masa pada keesokan harinya termasuk sebelum matahari tergelincir. Dengan itu kebenaran melontar sebelum matahari tergelincir pada hari-hari tasyrîq hanyalah untuk lontaran qadha atau gantian, dan kesemua lontaran itu adalah sah dan dianggap tunai, serta tidak dikenakan dam. (Irsyâd az-Zumar: 102)
Adapun amalan sebahagian jemaah haji dari luar khususnya negara jiran mengenai dengan melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq sebelum lagi tergelincir matahari adalah berdasarkan qaul muqâbil al-ashah dalam Mazhab asy-Syafi‘e iaitu pendapat yang dijazamkan oleh Imam ar-Rafi‘e dan dii‘timâd oleh Imam al-Asnawi (Lihat Fath al-‘Allâm: 4/363) dan juga pendapat ulama-ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan melontar pada hari tasyrîq yang ketiga. (Lihat al-fiqh al-Islâmi wa adillatuh: 3/2255).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9283
