Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Adakah Wakil Diwajibkan Berakad Jika Berwakil Kepada Orang Ketiga?

Soalan: Pegawai-pegawai Darussalam Holdings Sendirian Berhad yang bertugas menerima akad daripada jemaah bagi melaksanakan korban, dam, aqiqah dan bayaran denda/mud, adakah perlu sekali lagi mengakadkan kepada pegawai syarikat berkenaan yang akan diamanahkan bagi menguruskan penyembelihan binatang atau pembelian makanan bagi dam atau mud yang berkenaan?

Jawapan: Para ulama fiqh berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itupun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh orang menerima perwakilan itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Al- Majmû‘: 14/218)

Adapun berhubung dengan shîghah atau lafaz wakâlah, ia adalah salah satu rukun dalam akad wakâlah (perwakilan). Oleh itu, adalah diwajibkan adanya shîghah dalam satu-satu perwakilan sama ada di pihak orang yang berwakil (al-muwakkil) atau wakil (al-wakîl) jika wakil yang telah diwakilkan oleh orang yang mewakilkannya bagi sesuatu perkerjaan umpamanya dalam perkara menyembelih binatang disebabkan dam Tamattu‘ mewakilkan perkara yang diwakilkan kepadanya itu kepada pihak ketiga kerana rukun shîghah itu perlu ada.

Shîghah di dalam akad wakâlah itu memadai dengan lafaz salah seorang di antara orang yang berwakil atau wakil sama ada dengan cara bertulis atau persuratan dan tidak perlu kepada jawapan (qabûl). Berkata asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri:

Ertinya: Dan memadai pada shîghah itu lafaz salah seorang daripada keduanya (orang yang berwakil atau wakil) dan tanpa maklum balas (jawapan) daripada satu pihak seperti kata pewakil: “Aku wakilkan kepadamu dalam perkara ini” atau “Aku serahkan perkara itu kepada mu”, walaupun hanya dengan cara bertulis atau persuratan. (Hâsyiyah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri: 1/571)

Qabûl dalam perwakilan mengikut mazhab asy-Syafi‘e tidak disyaratkan dengan berlafaz bahkan ia juga memadai (sah) hanya dengan perbuatan seperti mengizinkan tetamu makan makanan hidangannya. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 5/4062)

Tegasnya dalam perkara ini wakil tetap terikat dengan rukun perwakilan khususnya shîghah. Oleh itu, jika orang yang diwakilkan itu tidak dapat melakukan perkara yang diwakilkan, dia harus berwakil kepada orang lain dengan adanya kuasa tasharruf (bertindak) terhadap perkara yang diwakilkan kepadanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9287