Amalan Ketika Pindah Rumah
Soalan: Apakah pandangan Islam perihal pindah rumah?
Jawapan: Dalam Islam belum didapati amalan khusus atau bacaan tertentu ketika pindah rumah melalui hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, yang ada ialah adab-adab ketika hendak masuk ke rumah, dan ketika menziarahi rumah. Perkara masuk rumah itu ada disebutkan secara umum berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah hendaklah kamu memberi salam kepada sesiapa yang seperti kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (Surah an-Nûr: 61)
Menurut asy-Syeikh Nashr bin Muhammad bin Ibrahim as-Samarqandi di dalam kitabnya Bustân al-‘Ârifîn, tuntutan memberi salam menerusi ayat di atas merangkumi dua keadaan iaitu sama ada memberi salam ke atas ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan, jika mereka ada di rumah pada ketika itu, atau pun memberi salam ke atas dirinya sendiri jika tidak ada orang di dalam rumah.
Mana-mana rumah yang tidak ada penghuni atau memanglah pada kebiasaannya rumah yang mahu dipindahi itu belum mempunyai penghuni, jadi bagaimanakah cara memberi salam? Iaitu caranya dengan mengucapkan:
Ertinya: Sejahteralah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih.
Antara perkara-perkara yang digalakkan dibuat dalam rumah ialah membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, kerana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu ada menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya al-Qur’an banyak kebaikannya, dan rumah yang tidak dibacakan di dalamnya al-Qur’an, sedikit kebaikannya. (Mukhtârât min Fadhâ’il al-Qur’ân li Ibn Katsir: 29)
Di dalam sebuah hadits yang lain ada pula menyebutkan:
Maksudnya: Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan! Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Hadits riwayat Muslim)
Inilah di antara kepentingan membaca surah al-Baqarah, kerana di dalam Islam, kita wajib mempercayai bahawa di samping manusia, ada makhluk lain yang diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tidak nampak oleh penglihatan kita yang terdiri daripada makhluk malaikat, jin dan syaitan yang berada di sekeliling kita. Kerana itu, digalakkan bagi kita membaca surah tersebut untuk tujuan menghalau jin dan syaitan yang mungkin sudah terlebih awal menghuni mana-mana rumah yang tidak dihidupkan dengan bacaan-bacaan al-Qur’an, termasuk rumah yang hendak atau baru dipindahi itu.
Selain membaca al-Qur’an ialah mendirikan sembahyang fardhu dan seberapa banyak sembahyang sunat di dalam rumah, kerana rumah yang tidak didirikan sembahyang di dalamnya adalah umpama sebuah kuburan. Ini jelas disebutkan di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: Hendaklah kamu bersembahyang di dalam rumah-rumah kamu dan janganlah kamu jadikan ia sebagai kuburan. (Hadits riwayat Muslim)
Maksud daripada perkataan “sembahyang” di dalam hadits ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi ialah sembahyang sunat. (Shahîh Muslim, syarh al-Imam an-Nawawi: 3/56)
Seterusnya digalakkan supaya menjadikan rumah itu sebagai tempat untuk mengingati Allah (dzikrullâh). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Perumpamaan rumah yang di dalamnya ada dzikrullâh, dan rumah yang tidak ada dzikrullâh di dalamnya adalah umpama antara yang hidup dengan yang mati. (Hadits riwayat Muslim)
Walau bagaimana pun al-Imam al-‘Allâmah as-Sayyid asy-Syarif Muhammad bin Ali Khird (meninggal pada tahun 960H) dalam kitabnya al-Wasâ’il asy-Syafi‘ah fi al-Adzkâr an- Nâfi‘ah wa al-awrâd al-Jâmi‘ah wa ats-Tsyimâr al-Yâni‘ah wa al-Hijb al-Harîzah al- Mâni‘ah ‘an an-Nabiy Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam fi al-Adzkâr wa al-ar‘iyah li al-Asbâb al-Wâqi‘ah ada menyatakan amalan ketika mendiami rumah baru, dibaca tiga hari berturut-turut pagi dan petang. Mudah-mudahan rumah itu diberkati, aman dan keluar daripada rumah itu setiap makhluk derhaka daripada kalangan jin. Bacaan yang dimaksudkan:
1. Membaca al-Fatihah ( 3x ).
2. Membaca ayat:
Tafsirnya: Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang beserta denganmu telah berada di atas bahtera itu, maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Mu’minûn: 28)
3. Kemudian dibaca ayat:
Tafsirnya: Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Turunkanlah aku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat.” (Surah al-Mu’minûn: 29)
4. Menurut al-‘Allâmah itu didapati bahawa ulama Yaman selepas membaca ayat-ayat di atas, membaca pula doa berikut ini:
Ertinya: Wahai Tuhan kami yang membelah laut untuk Musa bin ‘Imran, yang menyelamatkan Yunus daripada perut ikan paus, yang melayarkan bahtera bagi sesiapa yang Allah kehendaki, Engkaulah yang Mengetahui bilangan titisan air laut, bilangan zarrah pasir, wahai Pencipta bahagian-bahagian keajaiban makhluk, aku mohon kepadaMu kesempurnaan, wahai Yang Menyempurnakan sesiapa yang meminta kesempurnaan daripadaNya, wahai Yang Memperkenankan sesiapa yang memohon kepadaNya, wahai Yang Menyahut sesiapa yang mengharapNya, Engkaulah yang Maha Sempurna, tiada yang sempurna melainkan Engkau, jauhkanlah aku daripada kejahatan yang aku takuti dan aku khuatiri, dan penuhkanlah rumah ini dengan kebaikan dan keberkatan, dan kurniakan selawat dan salam kepada NabiMu dan RasulMu Sayyidina Muhammad, keluarganya dan sahabatnya. (Al-Wasâ’il asy-Syafi‘iyyah: 439)
Doa di atas ini dibaca sebanyak ( 3x ).
Amalan yang kita bawakan ini hanyalah sebagai irsyâd jua, mudah-mudahan ada berkatnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9291
