Berniat Menjadi Imam Kepada Seorang Makmum Kanak-Kanak Yang Masih Belum Berkhatan
Soalan: Jika anak lelaki kita belum bersunat (berkhatan), maknanya dia pun mungkin tidak menyucikan bawah kulupnya. Adakah boleh kita berniat menjadi imam semasa sembahyang hanya dengan anak lelaki kita ini saja atau sebaliknya (dia berniat makmum)?
Jawapan: Berniat menjadi imam kepada makmum atau berniat makmum kepada imam yang diragui tentang kebersihannya daripada najis adalah sah, tetapi makruh. Orang yang termasuk dalam golongan yang diragui itu ialah orang yang masih kulup, tetapi mereka sudah layak untuk sembahyang.
Imam al-Malibari Radhiallahu ‘anhu berkata:
Ertinya: Dan juga dimakruhkan berimam kepada orang yang waswis dan kulup. (Fath al- Mu‘în: 42).
Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah ketika mensyarahkan perkataan ini menyebutkan:
Ertinya: Yakni makruh juga mengikut (berimam) kepada orang yang kulup iaitu yang tidak berkhatan sama ada sebelum bâligh atau selepasnya, kerana boleh jadi dia tidak memelihara apa yang menjadi syarat sah sembahyangnya, apalagi syarat sahnya menjadi imam, iaitu membersihkan (membasuh) kulupnya yang terkena air kencingnya, kerana apabila ia (kulup itu) wajib dibersihkan atau wajib dibuang, maka apa yang dibawahnya dikira sebagai anggota zahir. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/47)
Tetapi mengikut Imam as-Subki Rahimahullah dan pengikutnya jika tidak ada ikutan (imam) lain tidaklah makruh, bahkan lebih afdhal berimam kepadanya berbanding jika sembahyang bersendirian. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/48)
Dengan ini adalah boleh berniat menjadi imam atau sebaliknya kepada kanak-kanak yang layak dan sah melakukan sembahyang, tetapi masih berkulup (belum berkhatan) yang boleh jadi telah membersihkan kulupnya atau belum, tetapi jika pasti dan diyakini kulupnya atau mana-mana anggotanya tidak bersih daripada bekas air kencingnya atau najis lain, maka tidak boleh berimam dengannya kerana sembahyangnya tidak sah dengan sebab dia bernajis.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9356
