Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Bertaqlîd Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf

Soalan: Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana keadaan sekeliling Ka‘bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlîd kepada mazhab lain?

Jawapan: Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh para jemaah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan Ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.

Mengikut al-qaul al-azhhar dalam mazhab asy-Syafi‘e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqâbil li al-azhhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.

Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhhar.

Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlîd dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat. Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlîd dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlîdkan itu sah dan boleh diamalkan.

Jika seorang yang bermazhab Syafi‘e bertaqlîd dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlîdnya itu. Umpamanya jika bertaqlîd dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlîd dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.

Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:

1. Niat. 2. Membasuh muka. 3. Membasuh dua tangan serta dua siku. 4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga). 5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali. 6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain. 7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.

Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.

Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:

1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubûl (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihâdhah, tahi dan angin. 2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya. 3. Apabila seorang yang bâligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasaan nikmat. 4. Apabila seorang lelaki bâligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj). 5. Murtad.

6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.

Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlîd dengan mazhab lain dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan demikian tidaklah bertaqlîd dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9368