Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Berubat Dengan Memakai Kain Kuning Dan Memberi Minum Pokok Yang Ada Di Kawasan Wasai (Air Terjun)

Soalan: Dengan hormat sukacita kaola memohon fatwa/pandangan dan sandaran hukum bagi upacara/perbuatan pengubatan yang mensyaratkan para pesakit memakai kain kuning sepanjang 4 meter bagi tujuan mandi di wasai (air terjun) dan perbuatan memberi minum 3 batang pokok untuk menghormati kawasan wasai tersebut.

Jawapan: Berubat daripada penyakit untuk memperolehi kesembuhan serta memulihkan kesihatan adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Berubatlah kamu, maka sesungguhnya Allah tidak mengadakan sesuatu penyakit itu kecuali diadakan baginya ubat (penawar) melainkan satu penyakit iaitu tua. (Hadits riwayat Ahmad)

Untuk mendapatkan sesuatu pengubatan, orang Islam mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syara‘ seperti bahan-bahan ubat itu mestilah halal atau tidak najis melainkan ada sebab-sebab tertentu terpaksa menggunakan ubat yang tidak suci itu. Termasuklah juga cara pengubatan itu tidak bertentangan dengan syara‘.

Antara perkara-perkara yang bertentangan dengan syara‘ itu misalnya pesakit berjumpa bomoh atau dukun yang bersifat sebagai ‘arrâf atau kâhin di mana dalam pengubatannya melalui tenungan atau ramalan dengan mengkhabarkan bahawa sebab penyakit orang itu kerana perbuatan si polan yang dengki umpamanya atau disebabkan gangguan makhluk ‘halus’, kerana itu untuk menghalaunya hendaklah berubat di wasai (air terjun) atau dengan memakai kain berwarna khas seperti kain kuning atau kedua-duanya. Berubat dengan tukang tenung atau tukang ramal dengan cara begitu hukumnya adalah haram.

Mempercayai tukang tenung atau tukang ramal, Islam tidak membatasi dosanya hanya kepada tukang tenung atau tukang ramal itu semata-mata, bahkan termasuk juga orang yang datang dan bertanya serta membenarkan apa yang dikatakan oleh tukang tenung atau tukang ramal itu. Mereka yang datang dan bertanya itu telah bersekongkol dalam dosa sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa datang kepada ‘arrâf (tukang ramal) seperti ahli nujum, kemudian bertanya tentang sesuatu, maka sembahyangnya tidak akan diterima selama 40 malam (hari). (Hadits riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah lagi:

Maksudnya: Sesiapa datang kepada kâhin (tukang tenung atau tukang tilik) atau tukang ramal kemudian mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur terhadap wahyu yang disampaikan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat Ahmad)

Ibnu Mas‘ud juga pernah meriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Barang siapa datang kepada tukang ramal, tukang sihir atau tukang tenung, kemudian dia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sungguh dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat al-Bazzar dan Abu Ya‘la)

Adapun berubat dengan memilih tempat-tempat yang tertentu seperti wasai (air terjun), bukit, hutan atau seumpamanya, walaupun pada zahirnya harus, namun ia menjadi tanda tanya dan sangat meragukan. Apakah istimewanya tempat-tempat yang sukar ini menjadi pilihan? Biasanya pemilihan tempat seperti ini lebih menjurus kepada perbuatan atau amalan yang boleh menyesatkan seperti mempercayai tempat-tempat seperti itu mempunyai kuasa ghaib yang mampu menolong menyampaikan hajat.

Dalam permasalahan yang dihadapkan di atas, adalah jelas terdapat tanda-tanda yang lebih meragukan dan boleh menyesatkan aqidah iaitu perbuatan memberi minum tiga batang pokok yang dikatakan untuk menghormati kawasan wasai (air terjun) itu. Perbuatan ini sangat bertentangan dengan hukum syara‘ kerana ada unsur pemujaan terhadap pokok berkenaan. Firman Allah dalam hal ini:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106)

Sebenarnya pokok atau wasai atau apa jua benda-benda, tidaklah mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit seseorang. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Dan ketahuilah! Sesungguhnya umat itu kalau mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah ditentukan oleh Allah bagi engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakanmu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat membahayakan engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah ditentukan oleh Allah atas engkau. Telah diangkatkan segala pena dan telah keringlah pula segala buku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits ini secara amnya menerangkan bahawa kalau sekalian umat atau makhluk ini berkumpul dan bersatu untuk memberi sesuatu manfaat atau kebaikan kepada seseorang, maka tidaklah mereka berupaya memberikan semua itu kepada orang itu kecuali apa yang Allah telah tulis dan tentukan bagi orang itu. Demikian pula kalau mereka itu berkumpul dan bersatu untuk mendatangkan kemudharatan, kejahatan ataupun kesusahan kepada seseorang, maka tidaklah mereka berkuasa melakukan semua itu kecuali apa yang Allah telah tulis dan tentukan baginya.

Menurut pengajaran Rasulullah ini, tidaklah harus seseorang itu merasa gembira dan takut terhadap sesuatu yang dilakukan orang lain kepadanya, kerana dia percaya segala-segalanya akan berlaku menurut kehendak Allah.

Kalau bukan kehendak Allah untuk memberikan kepada seseorang akan sesuatu seperti sembuh daripada penyakit, maka tidaklah seseorang itu mendapatnya walaupun sekalian manusia berusaha menolong dan membantunya. Sebaliknya kalau Allah berkehendak untuk dia mendapatkannya, walaupun seribu macam halangan, tentu dia memperolehinya juga. Inilah juga yang diterangkan Allah dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. (Surah Yunus: 107)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah: 51)

Kedua-dua ayat ini jelas memberi petunjuk bahawa jika sekalian umat berkumpul untuk memberikan kebaikan atau sebaliknya mendatangkan mudharat kepada seseorang, tidaklah mereka berdaya berbuat demikian, melainkan jika perkara itu telahpun ditentukan oleh Allah. Jika itulah keadaannya, betapa pula benda-benda, batu atau kayu, hatta hajar al-aswad yang sangat istimewa itu tidak dapat mendatangkan manfaat atau memudharatkan manusia. Kalaulah Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab tidak melihat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mencium hajar al-aswad itu nescaya Sayyidina ‘Umar tidak akan menciumnya, sebagaimana diriwayatkan:

Maksudnya: Daripada ‘Abis bin Rabi‘ah berkata: “Saya telah melihat ‘Umar bin al- Khaththab mencium hajar al-aswad sambil berkata: “Saya mengetahui benar bahawa sesungguhnya kau adalah batu tidak berguna dan tidak berbahaya, dan andainya aku tidak melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun pemilihan kain berwarna kuning atau apa jua warna-warna lain, biasanya mempunyai maksud yang tertentu dalam pengubatan atau perubatan orang Melayu. Bahkan, warnanya itu ada kalanya dikait dan dihubungkan dengan sesuatu kuasa ghaib selain Allah. Jika ini berlaku sudah tentu perbuatan sedemikian bertentangan dengan konsep aqidah Islam, bahkan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, maka pengubatan dengan mensyaratkan pesakit memakai kain kuning bagi tujuan mandi di wasai dan perbuatan memberi minum kepada tiga batang pokok untuk menghormati kawasan wasai itu, tidak syak lagi ia suatu pemujaan kepada selain Allah. Ini sudah barang tentunya bertentangan dengan aqidah Islam.

Pelakunya hendaklah bertaubat kepada Allah supaya dia terselamat daripada perbuatan yang boleh membawa kepada syirik, kerana perbuatan syirik itu sangat halus, sangat tersembunyi, yang demikian hendaklah berhati-hati dan berjaga-jaga.

Sayugia diingat bahawa perkara aqidah itu adalah perkara yang sangat sensitif, yang apabila tersilap ia boleh membawa kepada kekufuran, sama ada yang menyalahi itu dengan perbuatan, perkataan atau dengan niat.

Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu beliau mengatakan:

Maksudnya: Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah kepada kami: “Wahai manusia, takutlah kamu mengenai syirik, kerana syirik itu lebih tersembunyi daripada rangkakan perjalanan semut”. Abu Musa berkata kepada Baginda – barang siapa dengan kehendak Allah akan berkata: “Bagaimana kita menjauhi syirik dalam keadaan ia lebih tersembunyi daripada rangkakan perjalanan semut?” Sabda

Sesungguhnya kami berlindung kepadaMU daripada sesuatu perbuatan yang kami mengetahuinya ia adalah perbuatan yang menyekutukanMU dan kami mohon keampunanMU pula bagi apa yang kami tidak mengetahuinya (ia adalah perbuatan yang menyekutukanMU).” (Hadits riwayat Ahmad dan ath-Thabarani dengan isnâd yang baik)

Telah diriwayatkan juga oleh Abu Ya‘la hadits yang seumpamanya daripada hadits Hudzaifah, cuma dalam hadits Hudzaifah itu beliau berkata: “ َ ُ يـُ قُولَّ كَلْ يـٍ وَمَ ثَ لَثَّ مٍ رات (seseorang itu mengucapkan setiap hari tiga kali).”

Hadits di atas menjelaskan betapa khuatirnya para ulama tentang perbuatan syirik itu kerana ia adalah dosa paling besar sehingga orang-orang yang melakukannya tidak ada harapan untuk mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. FirmanNya:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang menyekutukan Allah (dengan suatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 48)

Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman: 13)

Semua dosa ada harapan diampunkan oleh Allah melainkan dosa menyekutukan Allah, adalah muktamad tidak ada keampunanNya. Ini ditegaskan sendiri oleh Allah dengan firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya), dan sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 48)

Selain tidak diampuni dosa-dosa orang yang berlaku syirik itu, dia juga diharamkan daripada memasuki syurga. Firman Allah:

Tafsirnya: Bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga. (Surah al-Mâ’idah: 72)

Oleh yang demikian, berubat dengan mensyaratkan pesakit memakai kain kuning dan memberi minum 3 (tiga) batang pokok di kawasan wasai tempat mandi itu, jika ianya ada kaitan dengan pemujaan atau terdapat sebarang unsur kepercayaan, bahawa benda-benda tersebut mempunyai kuasa penyembuh dan seumpamanya, maka perbuatan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam, boleh membawa syirik. Orang-orang yang terlibat sama ada tukang ubat atau orang berubat hendaklah bertaubat supaya selamat aqidah mereka daripada perkara-perkara syirik itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9427