Berubat Dengan Orang Yang Tidak Diketahui Sama Ada Menggunakan Jin Atau Tidak
Soalan: Saya ingin mengetahui apakah hukumnya berubat dengan orang yang tidak dapat dipastikan sama ada menggunakan jin atau tidak, tetapi meminta kami menanam sesuatu dalam tanah dan boleh mengetahui kisah silam kami?
Jawapan: Hukum Menemui ‘Arrâf Atau Kâhin
Berubat dengan orang yang menggunakan makhluk seperti jin di dalam amalan perubatannya untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib adalah haram kerana orang yang mengamalkan perubatan yang seumpama itu berkait rapat dengan golongan ‘arrâf (tukang tilik atau tukang tenung yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib yang telah berlaku) atau kâhin (tukang tilik atau tukang tenung yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib yang telah berlaku dan yang akan berlaku) yang diharamkan oleh syara‘.
Orang yang pergi menemui ‘arrâf atau kâhin untuk meminta tilik atau tenung akan sesuatu perkara, sesungguhnya dia telah melakukan satu dosa besar dan tidak akan diterima sembahyangnya selama empat puluh malam. Shafiyyah Radiallahu ‘anha meriwayatkan daripada isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang datang menemui ‘arrâf (tukang tilik atau tukang ramal), lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara, (maka) sembahyangnya tidak akan diterima selama empat puluh malam. (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menerangkan bahawa tidak diterima sembahyang seseorang itu selama empat puluh malam adalah bermaksud bahawa sembahyangnya itu tidak diberi pahala kepadanya sekalipun sembahyang tersebut telah menggugurkan kefardhuan mengerjakan sembahyang. (Al-Minhâj fî Syarh Shahîh Muslim: 1390).
Manakala orang yang pergi menemui ‘arrâf atau kâhin untuk meminta tilik atau tenung akan sesuatu perkara lalu dia mempercayainya, maka orang tersebut telah menjadi kufur. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang datang menemui kâhin atau ‘arrâf, lalu dia mempercayai apa yang diperkatakan (oleh kâhin atau ‘arrâf itu), maka dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat Ahmad)
Adapun jika orang yang kita ingini berubat dengannya itu tidak dapat dipastikan atau timbul keraguan bahawa adakah dia menggunakan jin atau tidak di dalam amalan perubatannya untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib, maka yang lebih baik dan lebih utama, ditinggalkan saja berubat dengannya dan carilah orang lain yang tidak diragukan amalan perubatannya yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Meninggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan itu adalah salah satu daripada anjuran Islam bagi menjaga kehormatan dan kesucian dalam beragama. Hasan bin Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Aku pernah menghafal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (akan sabdanya): “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu kepada perkara yang tidak meragukanmu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)
Sesungguhnya sikap berhati-hati tentang kepada siapakah hendak berubat sangatlah penting dan elok, lebih-lebih lagi terhadap orang yang mendakwa mempunyai kebolehan mengetahui kisah silam pesakitnya hanya dengan menanam sesuatu benda di dalam tanah, kerana perbuatan sedemikian itu adalah amalan ‘arrâf dan kâhin yang jelas diharamkan oleh syara‘.
Tiada siapapun mengetahui perkara-perkara ghaib. Dalam al-Qur’an dinyatakan bahawa yang mengetahui persoalan ghaib itu hanyalah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah:
Tafsirnya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak (gugur) sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak (gugur) yang basah dan tidak yang kering, melainkan (semuanya) ada (tertulis) di dalam kitab (lawh mahfûzh) yang terang nyata. (Surah al-An‘âm: 59)
Adapun manusia hatta para nabi dan rasul tidak diberi ilmu pengetahuan tentang hal ilmu ghaib itu kecuali yang dikehendaki oleh Allah sahaja. Firman Allah:
Tafsirnya: Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapa pun melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Allah hendak melakukan yang demikian) maka sesungguhnya Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah al-Jinn: 26-27)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A‘râf: 188)
Selain makhluk manusia seperti jin, mereka sebenarnya tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Oleh itu apa-apa berita atau perkhabaran daripada mereka tidak boleh dipegang dan dipercayai sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghinakan. (Surah Saba’: 14)
Jikalau tenungan atau tilikan tukang tenung atau tukang tilik itu terbukti kebenarannya, itu bukanlah kebolehan mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, tetapi kebenaran itu adalah hasil daripada perbuatan jin yang telah dapat mencuri-curi dengar perkataan malaikat, lalu disampaikannya perkara itu kepada tukang-tukang tenung dan tilik dengan berbagai-bagai pembohongan yang ditokok tambah. ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan:
Maksudnya: Beberapa orang menyoal Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai tukang-tukang tenung atau tilik. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “(Tenungan atau tilikan) mereka tidak mempunyai apa-apa (nilai)”. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kadangkala apa yang mereka perkatakan itu ada kebenaran”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Perkataan yang ada kebenaran itu merupakan perkataan yang dicuri dengar oleh jin. Maka dilaung-laungkannya di telinga tuannya (sebagaimana) laungan kokokan ayam, lalu mereka menokok-tambah di dalamnya lebih daripada seratus pembohongan (berbagai-bagai pembohongan).” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Di dalam riwayat yang lain lagi, juga daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat turun di ‘anân iaitu awan serta menyebutkan perkara yang telah ditentukan di langit. Maka para syaitan akan mencuri-curi dengar hingga mereka mendengarnya lalu mereka sampaikannya kepada ahli-ahli tenung (yang mana)
mereka akan berbohong bersama-sama dengan seratus pembohongan (berbagai-bagai pembohongan) daripada diri mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Istidrâj
Kadang-kadang ‘arrâf atau kâhin itu boleh menunjukkan sesuatu perkara yang luar biasa. Perkara luar biasa itu boleh menjerat seseorang untuk mempercayai kebenaran kata-katanya. Maka oleh itu berhati-hatilah, itu adalah dinamakan istidrâj.
Apa itu istidrâj? Menurut al-Jurjani:
Ertinya: Istidrâj ialah terjauh daripada rahmat Allah dan dekat kepada seksaan secara beransur-ansur dengan diperturutkan Allah akan hajat seseorang itu dari semasa ke semasa sehingga ke penghujung umurnya sebagai pertukaran dengan bala dan azab. (At-Ta‘rîfât: 33)
‘Uqbah ibnu ‘Amir meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila engkau melihat Allah mengurniakan kepada seseorang hamba sebahagian (habuan) keduniaan di atas perbuatan maksiat yang dia sukai, maka sesungguhnya itu adalah hanya istidrâj.” (Hadits riwayat Ahmad)
Oleh itu, orang Islam perlu beringat-ingat apabila melihat perkara luar biasa yang lahir daripada seseorang agar jangan sampai terpedaya hingga mendorong seseorang mempercayainya untuk berubat dengannya. Padahal dia ialah ‘arrâf atau kâhin yang dibantu dengan perkara luar biasa yang merupakan istidrâj. Jika terdapat ciri-ciri yang disebutkan di atas pada seseorang, maka elakkanlah berubat kepadanya kerana ditakuti ia boleh merosakkan syariat dan aqidah. Wal‘iyâdzubillâh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9435
