Cara Melakukan Tahallul Awwal Di Mina Dan Makkah
Soalan: Bagaimanakah cara sebaik-baiknya melakukan tahallul awwal di Mina dan bagaimanakah pula cara melakukan tahallul awwal di Makkah?
Jawapan: Para fuqahâ’ sepakat bahawa ibadat haji itu ada dua tahap tahallul iaitu tahallul awwal atau tahallul ashghar (kecil) dan tahap kedua ialah tahallul tsâni atau disebut juga tahallul akbar (besar).
Tahallul awwal terlaksana dengan melakukan dua daripada tiga perkara iaitu melontar jamrah ‘Aqabah, bercukur atau bergunting dan tawaf Ifâdhah diikuti dengan sa‘i. Dengan melakukan perkara yang ketiganya pula, maka terhasillah pula tahallul kedua.
Tahallul awwal boleh saja dilakukan di Mina ataupun di Makkah. Tahallul awwal di Mina ialah setelah jemaah selesai melontar jamrah ‘Aqabah dan seterusnya bergunting atau bercukur. Tahallul tsâni pula ialah setelah jemaah menunaikan tawaf yang diikuti dengan sa‘i jika belum bersa‘i. Menurut mazhab Syafi‘e sunat mentertibkan amalan melontar jamrah ‘Aqabah, menyembelih hadyu sama ada korban atau dam dan baharulah bergunting.
Adapun melakukan tahallul awwal di Makkah pula ialah setelah selesai melontar jamrah ‘Aqabah kemudian bertolak ke Makkah untuk tawaf dan disertai dengan sa‘i maka hasillah tahallul awwal dan tahallul tsâni terhasil setelah jemaah haji bergunting. Jika mereka terus turun ke Makkah setelah bermalam di Muzdalifah maka tahallul awwal terhasil dengan melakukan tawaf, sa‘i dan bergunting. Sementara tahallul tsâninya terhasil setelah mereka melontar jamrah ‘Aqabah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9441
