Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Cara Wudhu Pesakit Yang Memerlukan Penyaluran Air Ke Dalam Tubuh Badan (Drip) Melalui Tangannya

Soalan: Seorang pesakit yang menerima rawatan doktor memerlukan penyaluran air ke dalam tubuh badan (drip) secara berterusan semasa berada di Tanah Suci. Walaupun pesakit telah sihat, pihak perubatan/doktor masih mengekalkan jarum dan plaster yang melekat pada tangan si pesakit sebagai kemudahan pihak perubatan memberikan rawatan segera andaikata penyakit yang dihidapi berulang. Dalam keadaan tersebut si pesakit berkemampuan untuk menunaikan ibadat seperti sembahyang dan sebagainya.

Bagaimanakah cara berwudhu pesakit berkenaan dengan tangannya yang dicucuk jarum ditutupi plaster tersebut?

Jawapan: Pesakit yang memerlukan penyaluran air ke dalam tubuh badan (drip) melalui tangannya boleh dikategorikan sebagai anggota yang berbalut yang dikenali juga dengan istilah al-jabirah.

Wudhu Orang Yang Berbalut Atau Berplaster Anggota Wudhunya

Sekiranya anggota seorang yang sakit itu perlu dibalut dengan sesuatu seperti kain, plaster, simen atau seumpamanya dan jika dibuka balutan tersebut ditakuti akan memudharatkannya, maka dalam hal ini wajib dia melakukan tiga perkara jika dia hendak mengangkat hadas kecil (berwudhu) iaitu:

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut atau berplaster, termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan juga anggota-anggota wudhu yang lain.

2. Menyapu semua balutan yang membalut bahagian anggota wudhu dengan air sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit (sihat) yang ditutupi oleh pembalut.

Jika sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi kecuali pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, jika sekiranya dia berdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang ditutupi oleh pembalut atau plaster, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air.

Waktu menyapu balutan atau plaster tersebut ialah apabila tiba masa membasuh anggota yang berbalut atau berplaster (dengan benar-benar mengikut tertib wudhu), kerana tertib adalah di antara rukun wudhu dalam mazhab Syafi‘e. Contohnya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dia membasuh muka terlebih dahulu, kemudian membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut dan selepas itu barulah menyapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki.

3. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sebagai ganti membasuh anggota wudhu yang berbalut yang tidak boleh terkena air.

Demi memelihara tertib, waktu bertayammum itu ialah apabila tiba masa membasuh anggota wudhu yang berbalut sama ada sebelum atau selepas dia membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut, tetapi yang lebih utama dia bertayammum dahulu sebelum membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut untuk menghilangkan kesan debu tanah. Ini bererti jika anggota wudhu yang berplaster itu pada muka, maka hendaklah dia bertayammum, kemudian membasuh dan menyapu anggota yang berbalut itu terlebih dahulu sebelum dia membasuh dua tangan. Ataupun jika anggota wudhu yang berplaster itu pada tangan, maka hendaklah dia bertayammum, membasuh dan menyapunya terlebih dahulu sebelum dia menyapu kepala dan begitulah seterusnya.

Apabila terdapat dua anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayammum, jika tiga anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga tiga tayammum, dan jika empat anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga empat tayammum iaitu jika balutan itu tidak meliputi keseluruhan anggota wudhu, di mana hanya bahagian-bahagian yang tertentu daripada anggota-anggota wudhu sahaja yang berbalut kecuali kepala. Umpamanya, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayammum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayammum. Ataupun separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi seluruh kepala terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayammum.

Akan tetapi jika keempat-empat anggota wudhu iaitu seluruh muka, seluruh dua belah tangan, seluruh kepala dan seluruh dua belah kaki, keseluruhan anggota tersebut berbalut atau berplaster, maka memadailah dengan satu tayammum sahaja. Demikian juga, jika balutan itu terdapat pada keseluruhan dua anggota wudhu yang berturut-turut, seperti muka dan dua belah tangan, ataupun kepala dan dua belah kaki, maka memadailah dengan satu tayammum bagi tiap-tiap dua anggota yang berturut-turut tersebut.

Apabila seseorang itu telah melakukan tiga perkara tersebut, maka dibolehkan baginya mengerjakan hanya satu sembahyang fardhu atau satu tawaf sahaja. Jika dia ingin mengerjakan satu sembahyang fardhu yang lain atau satu tawaf fardhu yang lain sedangkan wudhu dan tayammumnya yang terdahulu itu belum terbatal, maka dia tidak perlu membasuh anggota wudhu dan menyapu balutannya sekali lagi, kerana dia masih kekal di dalam suci. Cuma dia hanya wajib bertayammum sahaja kerana satu tayammum hanya terbatas kepada satu ibadat fardhu sahaja. Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah, adalah memadai melakukan satu tayammum sahaja sekalipun pada asalnya dia dituntut melakukan beberapa kali tayammum kerana terdapat dua atau lebih anggota wudhu yang berbalut/berplaster. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah pula, hendaklah dia bertayammum sebanyak mana dia dituntut melakukan tayammum pada asalnya. Tetapi jika dia berhadas, maka hendaklah dia mengulangi tiga perkara yang tersebut di atas.

Oleh kerana anggota yang berbalut/berplaster itu adalah tangan yang merupakan anggota wudhu, maka terdapat kekurangan pada wudhu, kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan balutan/plaster yang menutupinya. Tambahan lagi tangan yang berbalut/berplaster itu juga adalah merupakan anggota tayammum, maka terdapat juga kekurangan pada tayammum. Ini bererti pengganti (tayammum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu) itu pun kurang. Oleh itu, orang yang mengangkat hadas kecil (berwudhu) dengan cara demikian, ada yang dikehendaki mengulang atau mengqadha sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dikerjakannya selama dia memakai balutan atau plaster tersebut apabila sesudah dia sembuh. Mereka yang dikehendaki mengulangi atau mengqadha itu adalah di dalam tiga keadaan berikut:

1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sama ada diletakkan pembalut atau plaster itu ketika dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.

2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki, tetapi balutan atau plaster itu diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan berhadas dan pembalut atau plaster itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut itu.

3. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan untuk mengikat pembalut.

Manakala orang yang tidak dikehendaki mengulang atau mengqadha sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dilakukannya itu adalah di dalam dua keadaan berikut:

1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau plaster itu pula tidak menutupi bahagian anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster, sama ada diletakkan balutan atau plaster itu ketika suci daripada hadas ataupun ketika berhadas.

2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau plaster itu menutupi bahagian yang tidak sakit hanya sekadar bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster serta diletakkan atau dipakai balutan atau plaster itu ketika dalam keadaan suci (tidak berhadas). (Al-Majmû‘: 2/369-374 dan Fath al-‘Allâm: 1/455, 457-460).

Praktikal satu persatu wudhu orang yang berbalut/berplaster anggota wudhunya di tangan:

1. Apabila dia hendak mengambil wudhu, pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu seperti biasa iaitu dimulakan dengan membasuh muka disertakan dengan niat.

2. Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, kemudian menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air.

3. Selepas itu bertayammum dengan debu tanah, iaitu dengan meletakkan atau menepuk kedua tapak tangan dalam keadaan kering di atas debu, kemudian memindahkan debu ke muka sambil berniat, lalu menyapu muka. Selepas itu, letakkan atau tepuk kedua tapak tangan di atas debu sekali lagi, kemudian memindahkan debu tersebut ke tangan, lalu menyapu kedua tangan hingga ke siku.

4. Ataupun boleh juga dilakukan, selepas membasuh muka disusuli dengan bertayammum sebagai ganti membasuh tangan yang berbalut atau berplaster dan hendaklah tangan itu kering, kemudian barulah diikuti membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, seterusnya menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air.

5. Kemudian menyapu kepala, dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki serta dua buku lali.

Pandangan Mazhab Maliki

Menurut mazhab Maliki, bahawa orang yang mengidap penyakit kulit umpamanya, ataupun luka pada salah satu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu atau mandi hadas, sama ada anggota tersebut dibalut dengan sesuatu seperti plaster, simen, ataupun ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu dan membasuh anggota tersebut boleh memudharatkan atau menyebabkan terasa sakit, maka dalam hal ini apa yang perlu dilakukannya ketika mengangkat hadas ialah:

1. Jika anggota berkenaan dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu semua balutan atau plaster itu dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

2. Jika anggota berkenaan ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu di atas ubat itu dengan air sekiranya tidak memudharatkan. Jika ditakuti memudharatkan, maka bolehlah dibalut luka yang berubat itu dengan kain yang bersih umpamanya, kemudian menyapu balutan tersebut dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

Adapun hukum sembahyang yang dikerjakan selama seseorang itu memakai plaster atau pembalut, dengan sebab takut memudharatkan jika ditanggalkan, tidaklah perlu diulang atau diqadha sembahyangnya itu. (Al-Qawânin al-Fiqhiyyah: 38)

Sebagai irsyâd, sekiranya orang yang mempunyai keuzuran seperti yang tersebut merasakan berat untuk mengulangi atau mengqadha sembahyang yang telah dilakukannya ketika anggota wudhunya berbalut atau berplaster, maka bolehlah dia bertaqlîd (mengikut) wudhu mazhab Maliki. Dalam hal ini, hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki seperti berikut:

Pertama sekali dia hendaklah mengetahui bahawa rukun wudhu dalam mazhab Imam Malik ada tujuh perkara, iaitu:

1. Niat. 2. Membasuh muka.

3. Membasuh dua tangan serta dua siku. 4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga). 5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali. 6. Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain. 7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh. (Hâsyiyah ad-Dasuqi ‘alâ Syarh al-Kabîr: 1/137-152)

Adapun secara praktikalnya adalah seperti berikut:

1. Hendaklah berniat dan membasuh muka sebagaimana biasa. 2. Selepas itu membasuh dua tangan yang sihat, kemudian menyapu semua plaster atau pembalut yang membaluti tangannya dengan air. 3. Selepas itu menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga). 4. Kemudian membasuh dua kaki serta dua buku lali.

Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu, hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan hendaklah menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam rukun wudhu dalam mazhab Maliki.

Selain daripada itu, orang yang hendak mengikut wudhu mazhab Maliki perlu juga mengetahui perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki itu. Menurut ahli-ahli fiqh mazhab Maliki, perkara-perkara yang membatalkan wudhu adalah seperti berikut:

1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubûl (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihâdhah, tahi dan angin. 2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Di antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu dari genggamannya. 3. Apabila seorang yang bâligh menyentuh lawan sejenis (antara laki-laki dan perempuan) dengan syahwat. Adapun mengucup pada mulut juga boleh membatalkan wudhu walaupun tanpa syahwat. 4. Apabila seorang laki-laki bâligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya. 5. Murtad. 6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih kekal berwudhu atau sudah batal. (Hâsyiyah ad-Dasuqi ‘alâ Syarh al-Kabîr: 1/185-198)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9465