Jemputan Dan Puasa Sunat
Soalan: Saya telah bertekad untuk memuliakan bulan Muharram 1424H dengan berpuasa di dalamnya. Bagaimana dengan kedudukan puasa saya jika saya menerima jemputan atau menghadiri sesuatu majlis rasmi? Adakah perlu saya menolak dan memaklumkan kepada yang berhajat yang saya sedang berpuasa.
Adakah saya perlu memberitahu kepada sahabat handai atau pada sesiapa yang mempelawa saya untuk minum pagi, makan tengahari atau minum petang yang saya berpuasa pada hari itu?
Jawapan: Jemputan ke mana-mana majlis biasa atau rasmi ada kalanya untuk meraikan majlis saja tanpa hidangan makanan atau minuman, dan ada pula kedua-duanya sekali. Majlis yang tidak menghidangkan makanan tidak ada kaitan dengan puasa. Orang yang berpuasa terus saja berpuasa. Yang menjadi masalah ialah jika majlis menghidangkan makanan. Salah satu majlis yang seperti ini ialah majlis walîmah.
Majlis keraian yang menghidangkan makanan dalam pembahasan fiqh dinamakan walîmah. Walîmah ini banyak jenis. Salah satunya ialah walîmah perkahwinan. Orang yang dijemput ke walîmah perkahwinan yang tidak mengandungi unsur-unsur yang ditegah syara‘ wajib menghadirinya. Adapun jemputan ke majlis-majlis lain ada yang wajib dihadiri dan ada pula yang tidak wajib dihadiri. Hukum ini tertakluk kepada bentuk majlis dan jemputan.
Menurut hukum syara‘, orang yang menghadiri majlis walîmah perkahwinan sedang dia berpuasa sunat adalah lebih utama dia berbuka dan memakan hidangan, jika orang yang menjemput boleh jadi tersinggung atau kecil hati sekiranya dia tidak memakannya. Alasan yang diberikan ulama fiqh ialah untuk menjaga hati tuan rumah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat berbuka dalam majlis jamuan makan, Baginda bersabda:
Maksudnya: Saudara Islammu ini telah bersusah payah keranamu, kemudian engkau berkata: “Aku sedang berpuasa! Berbukalah, kemudian kerjakanlah di suatu hari sebagai gantinya.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Tetapi jika orang yang menjemput atau tuan rumah tidak terasa kecil hati atau tersinggung, maka meneruskan berpuasa sunat itu adalah lebih utama. Adapun jika dia sedang melakukan puasa wajib seperti puasa qadha maka tidak boleh dia berbuka. (Mughni al-Muhtâj: 3/317).
Selain itu, orang yang menjemput atau tuan rumah yang didatangi tetamu, jika dia sedang berpuasa sunat, adalah lebih utama dia berbuka untuk sama-sama menikmati jamuan. Alasan yang diberikan ulama ialah sebagai menghormati tetamu kerana Ummu Hani’ sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berkunjung ke rumahnya, beliau menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’ lalu Ummu Hani’ minum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ berkata:
Maksudnya: Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: “Apakah ia?” Katanya: “Aku ini berpuasa, dan aku berbuka”, Baginda bertanya: “Adakah puasa qadha yang engkau tunaikan itu?” (Ummu Hani’) berkata: “Bukan”. Baginda berkata: “(Berbuka itu) tidak memberi mudharat kepadamu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Pada dasarnya orang yang sedang berpuasa jika dia dijamu di dalam suatu majlis, maka eloklah dia berbuka kerana jika terus berpuasa juga, ini boleh menyinggung perasaan tuan rumah itu. Perkara ini boleh berlaku dalam majlis peribadi yang khusus diadakan untuk orang tertentu atau tuan rumah itu mempunyai hajat untuk mengundang tetamu-tetamunya. Keadaan ini berbeza dengan majlis yang diadakan oleh badan kerajaan, syarikat-syarikat atau persatuan.
Apa yang seeloknya, orang yang mendapat makluman lebih awal bahawa dia dijemput atau diundang ke suatu majlis yang ada makan dan minum di dalamnya, janganlah dia berpuasa sunat pada hari tersebut. Jika dia dijemput tanpa ada makluman awal, masih afdhal dia berbuka manakala orang yang menjemput atau tuan rumah itu ditakuti berkecil hati apabila dia meneruskan puasanya. Tetapi jika orang yang menjemput atau tuan rumah itu tidak berkecil hati sementara dia meneruskan puasanya, maka lebih afdhal pula baginya meneruskan puasa sunatnya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9498
