Khutbah Hari ‘Arafah
Soalan: Bilakah waktu afdhal khutbah ‘Arafah dibaca, adakah dalam waktu Zuhur dan diikuti dengan sembahyang fardhu Zuhur atau dibaca khutbahnya sebelum masuk waktu Zuhur dan sembahyang fardhu Zuhur disempurnakan sebagaimana biasa dalam waktunya?
Jawapan: Sebenarnya khutbah yang disunatkan di dalam ibadat haji ini ada empat iaitu khutbah pada tujuh Zulhijjah, khutbah hari ‘Arafah, khutbah pada Hari Raya Korban dan khutbah pada hari kedua belas Zulhijjah. Al-Khathib asy-Syarbini ada menjelaskan perkara ini, katanya:
Ertinya: Bahawasanya khutbah-khutbah (yang disunatkan) di dalam ibadat haji itu ada empat: Khutbah ini (khutbah pada Hari az-Zinah iaitu pada tujuh Zulhijjah), khutbah Hari ‘Arafah, khutbah pada Hari Raya Korban dan khutbah pada hari nafar awwal (pada hari tasyrîq kedua iaitu dua belas Zulhijjah) dan semuanya (setiap khutbah pada hari-hari berkenaan) adalah satu khutbah sahaja dan (dibaca) selepas sembahyang fardhu Zuhur kecuali (khutbah) pada hari ‘Arafah, ia disunatkan dua khutbah dan dibaca sebelum menunaikan sembahyang fardhu Zuhur. (Mughni al-Muhtâj: 1/666)
Berkata Imam an-Nawawi ketika menjelaskan mengenai dengan bilangan dan waktu dibaca khutbah-khutbah di dalam ibadat haji:
Ertinya: Berkata sahabat-sahabat kami (kalangan ulama mazhab asy-Syafi‘e): “Dan setiap khutbah yang empat ini adalah (terdiri daripada) satu khutbah sahaja dan (dibaca) setelah menunaikan sembahyang fardhu Zuhur, kecuali khutbah yang (dibaca) di ‘Arafah maka ia adalah (terdiri daripada) dua khutbah dan sebelum sembahyang fardhu Zuhur dan juga setelah waktu matahari tergelincir.” (Al-Majmû‘: 8/86)
Berdasarkan nash-nash fiqh yang dikemukakan di atas bahawa khutbah pada hari ‘Arafah itu dibaca setelah masuk waktu Zuhur dan sebelum lagi menunaikan sembahyang fardhu Zuhur.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9515
