Maksud Setengah Malam
Soalan: Bagaimanakah cara mengira setengah malam bagi mabît di Mina? Adakah betul mengiranya dari sejak masuk matahari sehingga terbit fajar kemudian dibahagi dua bagi mendapatkan setengah malam, dan adakah boleh dimulai dari mana-mana bahagian malam asalkan hasil pengiraan setengah malam, atau mesti bermula dengan masuknya matahari?
Jawapan: Mengikut kalendar Islam bahawa waktu malam bermula dari terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib) hingga terbit fajar (masuk waktu Subuh). Maka maksud setengah malam itu ialah waktu pertengahan antara mula-mula masuk waktu Maghrib dan Subuh. Sebagai contoh jika waktu Maghrib bermula pada pukul 6.30 malam dan waktu Subuh pula masuk pada pukul 4.30 pagi, maka untuk mengetahui waktu setengah daripada malam itu ialah dengan membahagikan antara waktu Maghrib dan Subuh yang panjangnya 10 jam itu kepada dua bahagian. Hasilnya, waktu pertengahan malam ialah pada pukul 11.30 malam.
Maka untuk menunaikan tuntutan wajib mabît atau bermalam atau kadar menghadirkan diri di Mina hendaklah seseorang berada sehingga setengah malam yang bermula waktunya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Jika jemaah tidak bermalam di sana tanpa sebarang uzur atau meninggalkannya sebelum separuh malam yang kedua, maka mabîtnya itu tidak sah dan dia wajib membayar dam dengan menyembelih binatang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9558
