Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Masbûq

Soalan: Saya ingin bertanya berkenaan masalah makmum yang masbûq pada rakaat ketiga kemudian:

1. Pada rakaat dirinya yang ketiga beliau tidak tahu bahawa tahiyyat awal tidak perlu didirikan pada rakaat ketiga bagi dirinya kerana rakaat keempat imam adalah menempati tahiyyat awal. Adakah beliau ini batal sembahyangnya kerana telah membuat sunat ab‘adh pada rakaat ketiga dirinya tanpa mengetahui bahawa tidak disunatkan lagi pada rakaat tersebut untuk mendirikan tahiyyat kerana ianya adalah dikira sah pada rakaat keempat imam?

2. Adakah batal sembahyangnya oleh kerana kejahilannya itu? Jika datang tahu pada ketika itu, adakah sunat sujud sahwi?

3. Jika makmum mengetahui bahawa pada rakaat dirinya yang ketiga itu tiada tahiyyat awal tapi masih juga dibuat, adakah batal sembahyangnya? Jika tidak batal adakah perlu sujud sahwi?

Jawapan: Di antara syarat sah mengikut imam (berjemaah) ialah hendaklah makmum mengikut semua perbuatan imam.

Jika makmum yang masbûq mendapati imam sedang duduk membaca tahiyyat awal atau akhir, padahal ketika itu makmum pada rakaat yang belum disunatkan duduk membaca tahiyyat awal, maka wajib dia duduk mengikut imam, akan tetapi dia boleh membaca tahiyyat dan boleh tidak.

Apabila imam berdiri, makmum yang masbûq ini hendaklah terus berdiri dan tidak boleh lama duduk, sama ada untuk meneruskan tahiyyat atau tidak. Begitu juga apabila imam memberi salam, maka hendaklah terus berdiri sebaik saja imam memberi salam dan tidak boleh meneruskan duduk, sama ada kerana hendak membaca tahiyyat atau tidak, kerana pada masa itu bukan masanya untuknya membaca tahiyyat.

Jadi jika syarat-syarat itu diikuti, maka adalah sah sembahyang orang yang masbûq yang membaca tahiyyat itu. Jika kejahilan hanya tentang cara-cara melakukan tahiyyat awal, tidaklah membatalkan sembahyangnya dan tidak perlu sujud sahwi.

Apabila dia membaca tahiyyat dengan cara-cara yang disebutkan di dalam jawapan soalan yang pertama di atas, sembahyangnya tidak batal dan tidak perlu sujud sahwi.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9563