Masuk Makkah Tanpa Berihram Dan Mengerjakan Haji Dan Umrah Dengan Cara Qirân
Soalan: Bolehkah pegawai syarikat pakej haji atau umrah yang berkerja dan berkhidmat di Madinah turun ke Makkah tanpa berniat haji atau umrah kerana sibuk menguruskan jemaah. Bagaimanapun pada 8 Zulhijjah (hari tarwiyah) dia berniat haji Qirân dan langsung masuk ke ‘Arafah seterusnya menyempurnakan hajinya cara tersebut?
Jawapan: Seseorang yang masuk ke tanah haram Makkah bukan dengan tujuan menunaikan haji atau umrah, adalah disunatkan (mustahabb) baginya masuk ke Makkah dengan berihram, sebagaimana penjelasan al-Imam an-Nawawi Rahimahullah katanya:
Ertinya: Dan sesiapa yang masuk ke Makkah bukan bertujuan untuk mengerjakan nusuk (ibadat haji atau umrah) disunatkan baginya berihram haji atau umrah. Sementara itu ada juga qaul mengatakannya wajib (berihram), kecuali masuknya (ke tanah haram Makkah) itu berulang-ulang seperti pemungut kayu api dan pemburu. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/472- 473)
Berkata asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asyin di dalam Busyrâ al-Karîm:
Ertinya: Dan sesiapa berqashad (berniat) ke tanah haram bukan untuk mengerjakan nusuk (haji atau umrah) bahkan untuk tujuan seperti berniaga disunatkan baginya berihram kerana masuk dari mîqât jika dia mahu dan makruh meninggalkannya. (Busyrâ al-Karîm: 548)
Berdasarkan penjelasan itu, maka pegawai syarikat pakej haji atau umrah yang sibuk berulang-alik antara Makkah dan Madinah untuk menguruskan jemaah haji tidaklah wajib berihram apabila masuk ke Makkah jika dia masuk ke Makkah itu bukan dengan niat melakukan manâsik umrah atau haji. Walau bagaimanapun disunatkan atasnya berihram.
Pegawai yang bertugas keluar masuk Madinah itu hanya akan berihram masuk ke Makkah apabila ia masuk ke Makkah dengan tujuan mengerjakan haji atau umrah iaitu di hari terakhir yang dia merasa urusan di Madinah telah selesai, kerana berihram itu mestilah dilakukan daripada mîqât. Berbeza halnya dengan pegawai yang tiada niat langsung hendak mengerjakan haji atau umrah pada tahun itu, kemudian dia bertukar fikiran hendak mengerjakan haji setelah melimpasi mîqât maka hendaklah dia berihram daripada tempat dia berada ketika itu.
Pegawai atau orang yang mengerjakan haji Qirân itu akan berniat ihram apabila dia akan masuk ke Makkah dan seterusnya akan mengerjakan haji bersama-sama jemaah yang diuruskannya.
Adapun tentang berihram dengan niat mengerjakan haji Qirân tidaklah menjadi apa-apa masalah. Haji dengan cara demikian adalah sah selagi memenuhi perkara-perkara yang dituntut di dalam haji khususnya rukun-rukun haji.
Para ulama telah ijmâ‘ mengatakan bahawa ibadat haji dan umrah itu harus dilakukan dengan salah satu daripada tiga cara berikut, iaitu:
1. Cara Ifrad 2. Cara Tamattu‘ 3. Cara Qirân
Adapun dalil tentang pengharusan mengerjakan haji dengan salah satu daripada cara-cara tersebut di atas bersandarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah katanya:
Maksudnya: Kami telah keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada tahun haji Wada‘, maka di antara kami ada yang berihram umrah dan ada pula yang berihram haji dan umrah serta ada juga yang berihram haji sahaja. Sementara Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula telah berihram haji sahaja. Adapun orang-orang yang berihram haji atau yang menghimpunkan ihram haji dan umrah, mereka tidak bertahallul sehingga pada hari Nahar. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maka dari itu pegawai-pegawai syarikat pakej haji atau umrah yang bekerja dan berkhidmat di Madinah turun ke Makkah tanpa berniat haji atau umrah sama ada mereka sibuk atau tidak, atau sesiapa sahaja, harus mengerjakan haji dengan cara Qirân (seseorang berniat ihram haji dan umrah sekaligus dalam bulan haji).
Mengerjakan haji dan umrah dengan cara Qirân ini biasanya dilakukan oleh jemaah haji yang baru datang ke Makkah pada 7 atau 8 Zulhijjah, di mana mereka itu tidak sempat untuk mengerjakan haji secara Tamattu‘. Dalam kes seumpama ini ialah pegawai-pegawai Darussalam Holding Sendirian Berhad itu.
Cara dan peraturan-peraturan mengerjakan haji Qirân itu ialah apabila seseorang yang hendak mengerjakan haji Qirân sampai di mîqât, hendaklah mereka itu memakai ihram yang diniatkan ihramnya untuk haji dan umrah dan hendaklah mereka mengerjakan kedua-dua ibadat tersebut sekaligus dengan memperbuat ibadat hajinya kesemuanya dengan cukup dan sempurna.
Mengenai ibadat umrahnya, secara langsung - dengan sendirinya - sudah termasuk di dalam pekerjaan-pekerjaan yang dibuatnya ketika mengerjakan ibadat hajinya tadi.
Oleh itu bagi jemaah haji yang mengerjakan haji secara haji Qirân ini memadailah bagi mereka itu mengerjakan tawaf dan sa‘i sekali sahaja untuk haji dan umrahnya.
Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu katanya, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang telah berihram haji dan umrah (dengan serentak) memadailah (cukuplah) baginya tawaf sekali dan sa‘i sekali bagi kedua-kedua ibadat itu sehingga dia bertahallul daripada keduanya (haji dan umrah). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Apa yang disunatkan bagi jemaah yang hendak mengerjakan haji Qirân atau haji Ifrad ialah mengerjakan tawaf qudûm, lepas itu mengerjakan – diharuskan mereka mengerjakan sa‘i haji dahulu (tidak disyaratkan tertib di sini).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9567
