Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Meletakkan Tokong Di Bangunan Yang Dikongsi Bersama Oleh Orang Islam Dan Bukan Islam

Soalan: Dengan penuh hormat sukacita dipohonkan penjelasan mengenai permasalahan berkaitan seorang Islam berkongsi modal dengan seorang bukan Islam. Orang Islam (si A) mengeluarkan modal 50% dan yang bukan Islam (si B) mengeluarkan modal 50%. Mereka telah menyewa bangunan yang dijadikan sebagai kilang. Masalah yang timbul ialah:

1. Rakan kongsi (si B) menyimpan/meletakkan tokong (rumah tuhan Buddha) untuk kegunaannya di dalam kilang yang mereka sewa. Apakah hukum dan pandangan Islam mengenainya?

2. Sekiranya masalah di perkara 1 di atas tidak dibenarkan oleh hukum Islam (menyalahi aqidah/seumpamanya), maka bagaimana pula hukum dan pandangan Islam jika tokong (rumah tuhan Buddha) itu disimpan di rumah pekerja bukan Islam yang terdapat di belakang kilang berkenaan?

Jawapan: Ahli dzimmah yang tinggal dalam negara Islam, seperti juga zaman sekarang orang asing atau penduduk tetap, hatta rakyat yang terdiri daripada orang-orang bukan Islam yang tinggal dalam negara Islam, mereka itu mestilah patuh dengan peraturan-peraturan yang berjalan atau berkuatkuasa dalam negara Islam itu. Ini bukanlah permusuhan terhadap orang bukan Islam itu. Ini hanyalah semata-mata soal prinsip jua, yang jika dibiarkan akan mendatangkan dosa kepada kerajaan dan orang Islam. Itu saja. Soal Islam memusuhi orang bukan Islam tidaklah berbangkit sama sekali kerana Islam adalah agama mahabbah dan penyelamat, sesuai dengan namanya yang bererti selamat atau sejahtera.

Demikian itulah mengenai Tokong orang beragama Buddha, penempatannya mestilah di tempat yang dibenarkan oleh Islam, tidak menurut sesuka hati sahaja.

Sikap Islam dalam perkara ini tergambar daripada akhlak dan perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi ikutan kepada umat Baginda. Umpamanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melawat keluarga Yahudi yang anak lelaki mereka pernah bekerja jadi pembantu di rumah Baginda. Ketika anak itu dalam keadaan sakit berat, dipujuk oleh Baginda agar mengakui Islam sebagai agamanya. Ditengoknya mata ayahnya memohon kerelaan. Lalu ayahnya berkata: “Turutilah kehendak Abu al-Qasim itu anakku! Ucapkanlah kalimah syahadat!” Maka anak itu pun mengucapkan dua kalimah syahadat, sehingga meninggal dalam Islam.

Di sini Rasulullah telah memperlihatkan sikap Baginda yang penuh simpati dan pengasihan, sehingga ziarah yang dilakukan oleh Baginda itu amat besar kesan pengaruhnya kepada keluarga Yahudi itu.

Atas dasar inilah orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam itu dilayan dengan baik selama mana mereka patuh terhadap hukum Islam dan tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Bahkan agama Islam melindungi orang-orang dzimmi atau orang bukan Islam yang tinggal dalam negara Islam itu seperti juga perlindungan yang dinikmati oleh orang-orang Islam sendiri. Nyawa, harta benda, kehormatan dan keluarga mereka turut dilindungi, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan. Adalah dilarang sama sekali berbuat zalim terhadap mereka. Ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang menyakiti seorang dzimmi maka sayalah lawannya dan siapa yang telah saya lawan (di dunia ini) nescaya saya akan melawannya pula pada Hari Kiamat nanti. (Hadits riwayat al-Khathib al-Baghdadi dalam at-Târîkh daripada Ibnu Mas‘ud. Hadits Hasan - Al-Jâmi‘ ash-Shaghîr li as-Suyuthi)

Sabdanya lagi:

Maksudnya: Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘âhad atau mengurangi (haknya) atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan hatinya, maka sayalah pendakwanya pada Hari Kiamat, (sambil) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengisyaratkan jarinya ke dadanya, ketahuilah! Sesiapa membunuh seorang kafir mu‘âhad yang baginya (kafir mu‘âhad itu) perlindungan Allah dan perlindungan RasulNya, Allah mengharamkan ke atasnya bau syurga dan sesungguhnya bau syurga itu boleh didapati (dicium) daripada perjalanan tujuh puluh tahun. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Walau bagaimana pun terdapat perkara-perkara yang menjadi kewajipan atau dilarang orang-orang dzimmi itu melakukannya, sebagaimana yang disebut oleh ulama, seperti mereka berkewajipan menahan lisan daripada ucapan-ucapan yang salah, dilarang memperlihatkan kemungkaran, seperti memperdengarkan kesyirikan mereka dengan mengatakan Allah adalah salah seorang daripada yang tiga - Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu - dan dilarang memperlihatkan keyakinan mereka mengenai al- Masih dan ‘Uzair - ‘Alaihimashshalatu wassalam - bahawa keduanya adalah putera Allah Ta‘ala, dan juga dilarang memperlihatkan bacaan mereka, iaitu Injil, Taurat, Naqus dan sebagainya. Jika mereka memperlihatkan sesuatu yang tersebut itu, maka mereka akan dita‘zîrkan, tetapi dengan tindakan mereka itu tidaklah merosak perjanjian, meskipun sudah disyaratkan kepada mereka untuk menahan diri dari menyebut hal-hal serupa itu.

Lain halnya jika mereka memerangi kita, tidak mahu membayar jizyah kepada kita, dan tidak mahu melaksanakan hukum Islam, maka ketika itu batallah perjanjian kita dengan mereka. (Kifâyah al-Akhyâr: 512)

Mengenai perkara Tokong sebagaimana yang dipohonkan fatwa, berkata al-Imam asy- Syirazi sewaktu memperkatakan tentang memperlihatkan arak, babi dan lain-lain berhubung dengan agama ahli dzimmah:

Ertinya: Dan mereka (ahli dzimmah) dilarang memperlihatkan arak, babi, memalu nâqûs, membaca dengan nyring kitab Taurat dan Injil, memperlihatkan salib, memperlihatkan hari-hari raya mereka dan mengangkat suara atas mayat mereka. (Al-Muhadzdzab: 5/330)

Perkara yang sama orang-orang dzimmi dilarang daripada melakukannya juga telah disebut oleh Abu al-Husain Yahya Ibnu Abu al-Khair bin Salim dalam kitabnya al-Bayân:

Ertinya: Dan ditegah orang dzimmi memperlihatkan minuman arak, makan babi dan menjualnya, memalu nâqûs, melaungkan Taurat dan Injil, memperlihatkan hari-hari raya merekadan meninggikan suara terhadap mayat mereka. Berdasarkan apa yang telah diriwayatkan bahawa: (Sesungguhnya orang-orang Nashrani Arab mensyaratkan demikian [tidak akan melakukan perkara-perkara tersebut] kepada ‘Umar Radhiallahu ‘anhu atas mereka sendiri). (Al-Bayân: 12/279)

Untuk jelasnya disebutkan sebahagian daripada syarat-syarat antara Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab ketika membuat perjanjian damai dengan orang-orang Nashrani penduduk Syam. Amirul Mukminin menulis surat kepada mereka:

Ertinya: الرمحن الرحيم, inilah surat hamba Allah ‘Umar Amirul Mukminin kepada orang-orang Nashrani Syam, Sesungguhnya ketika kamu datang kepada kami, kamu telah menyatakan kepada kita, kami (orang-orang Nashrani Syam) meminta kepada kamu (Amirul Mukminin) ……

Dan sesungguhnya kami tidak akan memperlihatkan lambang salib di gereja-gereja kami, dan kami juga tidak akan memperlihatkan salib-salib dan kitab-kitab kami di mana-mana di jalan-jalan yang dilalui oleh orang-orang Islam atau di pasar-pasar mereka. Kami tidak akan memalu loceng dalam gereja-gereja kami kecuali dengan pukulan yang rendah dan kami tidak akan meninggikan suara kami dalam gereja-gereja kami, walaupun sedikit, di khalayak ramai orang-orang Islam….

Seterusnya dalam surat Amirul Mukminin itu menyatakan:

Ertinya: Sesungguhnya jika kami (orang-orang Nashrani Syam) mungkir janji terhadap sesuatu yang kami telah syaratkan diri kami kepada kamu, maka kami memberi jaminan bahawa atas diri kami tiada lagi perlindungan kepada kami, dan halallah ke atas kamu terhadap diri kami, apa yang halal kepada kamu terhadap golongan yang membantah dan menentang (kamu). (Asnâ al-Mathâlib: 8/558)

Melihat kepada pendapat para ulama di atas, maka meletakkan tokong dalam kilang yang disewa bersama oleh orang Islam dan rakannya yang bukan Islam itu adalah menyalahi peraturan yang telah ditetapkan oleh syara‘.

Oleh yang demikian adalah menjadi wajib kepada pemerintah Islam menegah mereka supaya tidak melakukan perbuatan itu sebagaimana Imam Ahmad bin Hanbal juga berpendapat demikian:

Ertinya: Dan janganlah mereka (ahli dzimmah) mengangkat salib, memperlihatkan babi, mengangkat api dan memperlihatkan arak dan wajib bagi imam (pemerintah Islam) menegah mereka daripada perkara yang sedemikian itu. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 3/1240)

Memperlihatkan salib sama kedudukannya dengan memperlihatkan patung-patung, kerana salib itu disembah oleh orang Nashrani seperti juga patung-patung disembah oleh penyembah-penyembahnya. Inilah sebabnya dinamakan mereka itu penyembah-penyembah salib. Tidak boleh membuat salib di pintu-pintu gereja mereka dan di luar-luar dinding tembok gereja-gereja itu, tetapi tidak dihalang jika mereka mengukir salib di dalam gereja mereka. (Ahkâm ahl azd-Dzimmah: 3/1240)

Demikianlah juga halnya kedudukan tokong itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9571