Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Membatalkan Permohonan Waqaf

Soalan: Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan bahawa satu permohonan mewaqafkan tanah telah diterima untuk tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Beribi, Gadong seluas 0.0825 ekar. Tanah berkenaan telahpun dan masih digunakan sebagai tempat pengebumian mayat orang-orang Islam.

Untuk makluman Pehin bahawa setakat ini permohonan waqaf berkenaan masih dalam penelitian dan akan diproses untuk mendapat kebenaran serta urusan-urusan yang berkaitan dengannya.

Baru-baru ini pemohon tersebut telah menghadapkan satu surat permohonan untuk membatalkan permohonan waqaf mereka bagi tanah berkenaan. Setelah disiasat semula, tujuan mereka membatalkan permohonan waqaf mereka itu adalah untuk memajukan tanah tersebut secara keseluruhannya kerana pihak pemaju mahu mendapatkan kawasan tanah yang luas.

Sehubungan dengan perkara itu, sukacita dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin mengenai dengan perkara ini iaitu kedudukan permohonan pemohon untuk membatalkan permohonan waqaf tersebut sedangkan mereka telah berniat untuk mewaqafkan tanah berkenaan dan perkara tersebut telah pun disampaikan kepada pihak yang akan menerima waqaf tersebut, walaupun kebenaran mengenainya belum diberikan.

Jawapan: Rukun waqaf itu ada empat, iaitu:

1. Wāqif (orang yang berwaqaf). 2. Mawqûf (sesuatu yang hendak diwaqafkan seperti tanah). 3. Mawqûf ‘alaih (pihak yang mendapat manfaat daripada waqaf seperti fakir miskin). 4. Shîghah.

Shīghah ialah lafaz yang memberi maksud berwaqaf. Oleh itu, apabila seorang yang hendak berwaqaf belum mengeluarkan lafaz yang memberi maksud berwaqaf, maka dia belum lagi dikira berwaqaf sekalipun dia telah berniat untuk berwaqaf. Di dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah disebutkan:

Ertinya: Dan tidak sah (waqaf itu) kecuali dengan lafaz (yang memberi maksud untuk berwaqaf) sekalipun (dalam hal hendak) membina masjid, berlainan (halnya) jikalau seseorang itu mengusahakan satu tanah mawât dengan niat untuk mewaqafkan masjid atau kubur atau perigi atau bangunan untuk fakir miskin atau sekolah, (maka waqaf itu sah sekalipun dia tidak berlafaz). (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 3/102)

Adapun permohonan seseorang untuk mewaqafkan tanahnya sebagaimana katanya: “Saya berhajat ingin mewaqafkan tanah saya”, maka yang sedemikian itu belumlah lagi dikira orang itu telah melafazkan waqaf atau telah berwaqaf. Oleh itu adalah harus baginya membatalkan permohonannya untuk berwaqaf selama mana dia belum lagi melafazkan waqafnya.

Tetapi perlu diingat, bahawa tanah yang hendak dipohonkan untuk diwaqafkan tersebut itu jika telah dan masih digunakan untuk menjadi tanah perkuburan Islam, maka ini bermakna hukum tanah perkuburan itu adalah hukum tanah yang dipinjam. Adapun hukum tanah yang dipinjam untuk perkuburan, pemilik tanah tersebut tidak berhak meminta kembali hak menggunakan tanah perkuburan itu kecuali apabila telah hilang kesan mayat yang telah ditanam di dalamnya seperti mayat itu telah menjadi tanah, kerana mayat yang telah ditanam di tanah itu adalah dengan cara jalan yang benar iaitu melalui pinjaman. Dengan itu, jika digali lubang kubur untuk dipindahkan ke tempat lain, ia adalah dikira menceroboh kehormatan mayat dan menceroboh kehormatan mayat adalah haram hukumnya. Berkata Imam Ibnu Hajar Rahimahumallah di dalam masalah pinjaman:

Ertinya: Melainkan jika dia meminjamkan (tanah) bagi pengebumian mayat dan telah dikebumikan di dalamnya mayat muhtaram (mempunyai kehormatan), maka tidak boleh (tuan punya tanah itu) meminta kembalikan (tapak kubur itu) sehingga hilang kesan mayat yang telah dikebumikan sekira-kira (mayat itu) menjadi tanah, maka meminta dikembalikan dalam hal ini ialah jika dia mengizinkannya mengebumikan mayat beberapa kali, jika tidak (jika dia hanya membenarkan membuat sekali pengebumian mayat sahaja), maka pinjaman itu akan berakhir (sebaik saja hilang kesan mayat yang telah dikebumikan), sedemikian itu adalah disebabkan kerana mayat itu telah dikebumikan dengan cara jalan yang benar (dengan pinjaman), dan menggali lubang kubur itu adalah menceroboh kehormatan mayat. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 5/427)

Maka dengan itu, adalah jelas bahawa si pemohon tersebut adalah harus membatalkan permohonannya untuk berwaqaf. Walau bagaimanapun, oleh kerana tanah yang hendak dibatalkan permohonan waqafnya itu telah dibenarkannya untuk mengebumikan mayat, maka dia tidak ada hak untuk meminta dikembalikan tapak kubur itu kecuali setelah hilang kesan mayat yang telah dikebumikan di dalamnya dengan sekira-kira mayat itu telah menjadi tanah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9586