Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menggunakan Wang Tabung Masjid

Soalan: Dengan hormat kaola memohon jasa baik jabatan Pehin untuk memberikan pandangan mengenai permasalahan di bawah:

1. Telah menjadi kebiasaan pihak Jawatankuasa Takmir sebuah masjid memberikan cenderamata kepada mana-mana imam yang bertukar ke masjid lain. Untuk makluman, pertukaran imam adalah perkara biasa dalam pentadbiran masjid setelah 3 - 5 tahun bertugas. Cenderamata ini dibeli dengan menggunakan wang tabung masjid yang diperolehi daripada sedekah orang ramai. Apakah perbuatan ini betul atau menyalahi penggunaan tabung masjid?

2. Bolehkah wang tabung masjid digunakan untuk memberikan cenderamata bernilai ratusan ringgit kepada tetamu kehormat bagi satu majlis keagamaan? Tetamu kehormat ini terdiri daripada VIP yang berkhidmat dengan kerajaan.

3. Bolehkah wang tabung masjid digunakan bagi disedekahkan kepada jemaah yang hadir dalam satu majlis keagamaan umpamanya majlis khatam al-Qur’an?

4. Apakah jenis-jenis perbelanjaan yang dibenarkan dengan menggunakan wang tabung masjid?

Dipohonkan supaya penjelasan akan dapat diberikan segera kerana perkara ini telah menimbulkan masalah baru-baru ini dan kaola telah diminta supaya mendapatkan penjelasan pihak abis Pehin.

Jawapan: Sepatutnya Jabatan Hal Ehwal Masjid atau Jawatankuasa Takmir Masjid membutirkan dengan jelas tujuan sesuatu tabung masjid itu seperti tabung anak yatim, tabung bantuan kemanusiaan bagi rakyat sesebuah negara, tabung bencana alam, dan sebagainya. Tabung seperti ini jelas tujuannya.

Tabung masjid pun demikian jua, mestilah jelas tujuannya, ke mana pula hendak dibelanjakan derma-derma itu agar diketahui oleh orang yang berderma kepada tabung masjid dan supaya ahli Jawatankuasa Takmir Masjid atau sesiapa sahaja sebagai pemegang amanah mentadbir masjid tahu bagaimana hendak membelanjakan wang-wang tabung masjid.

Kalau tabung masjid itu tidak disebutkan matlamat atau tujuannya, maka hendaklah dirujuk atau dilihat dari segi adat kebiasaan (‘urf) ketika membelanjakan wang-wang derma tabung itu, umpamanya membeli perkakas-perkakas masjid, membaiki kerosakan-kerosakan masjid, memberikan sagu hati kepada penceramah-penceramah, guru-guru yang mengajar di masjid dengan kadar yang munasabah, atau apa jua rancangan dan program yang diadakan dalam masjid yang matlamatnya kembali kepada mashlahat penta‘mîran masjid atau kepada mashlahat jemaah masjid.

Memberikan cenderamata kepada imam, bilal yang bertukar ke masjid lain, memberikan cenderamata kepada tetamu kehormat bagi sesuatu majlis keagamaan, jika menjadi kebiasaan kepada sebahagian masjid, namun kebiasaan seperti itu pada hemat saya elok tidak diteruskan supaya penggunaan wang masjid itu benar-benar kembali kepada manfaat atau tujuan mashlahat masjid atau jemaah masjid.

Lebih tidak munasabah jika wang masjid hasil derma orang ramai itu disedekahkan kepada jemaah yang hadir sekalipun majlis itu bersifat keagamaan. Majlis keagamaan bukan semestinya menjadi alasan untuk menjejaskan wang masjid.

Adapun menggunakan wang tabung masjid bagi tujuan menyediakan jamuan kerana majlis keagamaan dengan ala kadarnya, hanya untuk secukupnya, serta tidak berlebihan seperti menyediakan ‘tapau’ atau ‘campur’, maka jamuan dengan ala kadarnya ini, rasanya tidaklah mengapa, kerana majlis seperti itu mempunyai matlamat penta‘mîran masjid dan mashlahat kepada jemaah masjid.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9652