Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menghadiri Undangan

Soalan: Dengan hormat dan takzim kaola sukacita menghadapkan satu pertanyaan mengenai satu kemusykilan yang secara langsung melibatkan tugas-tugas kaola dan juga pegawai-pegawai kaola yang berkhidmat dengan pihak Kerajaan di Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam di Geneva ini.

Kemusykilan kaola adalah begini: Pada tahun ini kaola menerima undangan untuk menghadiri majlis hari ulang tahun kemerdekaan/kebangsaan daripada sebuah negara sahabat yang dikategorikan sebagai sebuah negara Islam kerana hampir keseluruhan penduduknya (lebih 98%) beragama Islam dan negara tersebut adalah juga sebuah anggota penting dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bagaimanapun secara perlembagaan negara tersebut berbentuk sekular dan dalam banyak hal melarang penduduknya menonjolkan identiti keislaman dalam apa-apa jua acara rasmi negara atau dalam urusan pentadbiran negara. Salah satu contoh yang nyata ialah larangan memakai hijâb/tudung di kalangan pekerja wanita atau penuntut-penuntut sekolah/universiti dan juga terhadap isteri-isteri pembesar-pembesar negara semasa majlis rasmi atas alasan bahawa amalan ini adalah bertentangan dengan perlembagaan negara.

Secara jelasnya, undangan yang dihulurkan adalah pada hari Jumaat, 29 Oktober 2004 antara jam 12.30 tengahari hingga 02:30 petang yang kebetulan pula masih dalam waktu puasa Ramadhan. Sebagaimana lazimnya, semasa acara tersebut makan dan minum akan dihidangkan. Bagi masyarakat Islam di Geneva waktu tersebut adalah bertepatan dengan waktu menunaikan sembahyang Jumaat (waktu sembahyang Jumaat di Geneva ialah mulai dari jam 1:00 hingga 1:45 petang). Dilihat di segi kesempatan masa untuk menghadiri undangan, memangnya terdapat luangan waktu kira-kira setengah jam sebelum atau selepas menunaikan fardhu Jumaat. Walau bagaimanapun kaola merasa berat hati untuk menghadiri undangan tersebut kerana kaola berpendapat bahawa pihak berkenaan senghaja mengadakan majlis tersebut pada hari dan waktu sedemikian seolah-olah bertujuan untuk menggambarkan bahawa urusan agama tidak mustahak dan tidak ada kena-mengena dengan urusan negara (yang bersifat sekular). Bagi kebanyakan perwakilan tetap daripada negara-negara Islam di Geneva yang ingin mengadakan majlis-majlis rasmi di hari Jumaat atau di bulan Ramadhan biasanya dilangsungkan di sebelah petang atau malam (selepas jam 6:00) di mana pada waktu tersebut umat Islam telah berbuka puasa.

Menghadiri majlis-majlis undangan terutamanya majlis hari kebangsaan adalah sebahagian daripada tugas-tugas lazim para diplomat. Walaupun kehadiran tidak diwajibkan, ianya dianggap sebagai salah satu cara untuk menunjukkan keakraban antara negara apatah lagi di kalangan negara-negara sahabat terdekat. Di peringkat ketua perwakilan atau duta besar yang secara rasmi mewakili ketua negara, kehadiran adalah dianggap sebagai satu penghormatan kepada negara yang mengundang. Jika ketua perwakilan/duta besar tidak dapat hadir biasanya diwakilkan kepada pegawai bawahan yang terkanan. Bagaimanapun jika tidak dapat hadir, ianya tidaklah menjejaskan hubungan baik antara kedua negara berkenaan.

Dalam menangani perkara ini kaola mempunyai beberapa pilihan:

1. Hadir sekejap – sebelum waktu Jumaat (sebelum jam 1:00 petang) atau selepas menunaikan sembahyang Jumaat semata-mata sebagai tanda hormat kepada pihak yang mengundang.

2. Tidak hadir tetapi menghantar wakil iaitu Setiausaha II (kebetulan wanita).

3. Tidak hadir dan tidak menghantar wakil.

Dari itu, masalah yang timbul ialah sekiranya kaola memilih cara pertama atau kedua semata-mata kerana menunjukkan rasa hormat terhadap negara atau wakil tetap negara berkenaan, sedangkan dalam pandangan kaola pihak berkenaan mengadakan majlis pada hari dan waktu sedemikian seolah-olah sebagai satu penghinaan/pengabaian terhadap Islam, adakah kaola dianggap sebagai bersubahat? Bagi pilihan ketiga pada umumnya tidak mendatangkan apa mudharat dalam hubungan diplomatik dengan negara berkenaan walaupun ianya diangap kurang elok dan juga di luar kelaziman amalan tugas kaola sebagai Wakil Tetap/Duta Besar.

Oleh yang demikian dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin mengenai perkara ini. Semoga nasihat dan pandangan Pehin itu kelak dapat memberi panduan bagi kaola dan pegawai-pegawai kaola dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab seharian bagi memohon berkat dan hidayat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala jua.

Jawapan: Pada dasarnya menghadiri majlis undangan seseorang itu ada kalanya mustahabb (sunat) seperti memenuhi undangan ke majlis yang dikhususkan untuk meraikan rakan-rakan dan ada kalanya wajib seperti majlis akad nikah atau perkahwinan, melainkan jika terdapat perkara mungkar atau perkara yang melalaikan, maka wajib ke atasnya menegah dirinya daripada hadir ke majlis berkenaan.

Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah pernah ditanya tentang kedudukan hukum mengadakan perkumpulan majlis maulid, zikir dan sembahyang Tarawih, di mana dengan adanya perkumpulan tersebut terjadi perkara yang tidak disukai pada pandangan syara‘ seperti percampuran di antara lelaki dan perempuan di luar batasan dan seumpamanya.

Beliau menjawab: “Apabila terdapat sesuatu yang diharamkan pada perkumpulan majlis zikir, sembahyang Tarawih atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang mempunyai kuasa menegah perkara itu dan bagi yang tidak mempunyai kuasa wajib ke atasnya menegah dirinya daripada hadir ke majlis seumpama itu. Jika tidak, maka dia dianggap bersubahat dengan mereka. Al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafi‘e Rahimahumallahu Ta‘ala dengan jelas menyatakan bahawa duduk bersama dengan orang-orang fâsiq kerana untuk mengambil hati mereka adalah dianggap perbuatan maksiat.”

Ibnu Hajar juga menjelaskan, sesuatu yang dilarang oleh syara‘ itu sungguhpun kecil atau sedikit, tidak ada kelonggaran untuk meringan-ringankannya, sebagaimana jelas dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Maka apabila aku menegah kamu daripada melakukan sesuatu maka hindarilah ia, dan apabila aku memerintahkan kamu membuat sesuatu perkara maka lakukanlah ia sekadar yang kamu mampu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, berdasarkan apa yang difatwakan oleh Ibnu Hajar di atas, jelas bahawa walaupun ia majlis zikir atau doa yang tentunya adalah baik dan digalakkan pada pandangan syara‘, tetapi bilamana ianya bercampur-aduk dengan apa sahaja perkara yang ditegah oleh syara‘, maka menghadirkan diri ke majlis seperti itu pun telah dianggap berdosa kerana bersubahat dengan orang-orang fâsiq.

Bertitik tolak daripada pendapat ulama-ulama di atas dengan menghubungkan persoalan yang diminta fatwa; apakah hukumnya menghadiri majlis yang diadakan pada siang hari bulan Ramadhan yang dijangkakan tuan rumah akan menyedia dan menghidangkan makan minum kepada para tetamunya yang berbilang bangsa dan agama, dan dalam waktu yang sama pula majlis undangan itu juga diadakan betul-betul dalam lingkungan waktu sembahyang Jumaat, adalah ini memberi isyarat bahawa tuan rumah sudah tentu tiada peluang untuk menunaikan sembahyang Jumaat pada hari tersebut.

Jika ternyata tuan rumah yang beragama Islam itu tidak melaksanakan kewajipan sembahyang Jumaatnya, maka dia adalah termasuk orang fâsiq yang disebutkan oleh para ulama di atas yang ditegah kita bercampur-gaul dengannya.

Sementara menjamu para tetamu pada siang hari pada bulan Ramadhan pula sudah tentulah ianya tidak selaras dengan tuntutan syara‘ di mana kita orang-orang Islam adalah dituntut supaya menghormati bulan yang mulia ini. Kiranya ini menjadi tanda atau qarînah untuk menghinakan bulan tersebut, maka bertambah-tambah lagilah tuntutan wajib untuk menghindarinya.

Sebagaimana yang disebutkan dalam surat pertanyaan bahawa: “Menghadiri majlis-majlis undangan terutamanya majlis hari kebangsaan adalah sebahagian daripada tugas-tugas lazim para diplomat. Walaupun kehadiran tidak diwajibkan, ianya dianggap sebagai salah satu cara untuk menunjukkan keakraban antara negara apatah lagi di kalangan negara-negara sahabat terdekat. Di peringkat ketua perwakilan atau duta besar yang secara rasmi mewakili ketua negara, kehadiran adalah dianggap sebagai satu penghormatan kepada negara yang mengundang. Jika ketua perwakilan/duta besar tidak dapat hadir biasanya diwakilkan kepada pegawai bawahan yang terkanan. Bagaimanapun jika tidak dapat hadir, ianya tidaklah menjejaskan hubungan baik antara kedua negara berkenaan.”

Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah bagaimanakah seorang Islam itu boleh diharapkan akan menghormati orang lain, sedangkan dia sendiri tidak menghormati Allah bahkan menghina Allah dengan tidak menghormati bulan Ramadhan dan tidak menunaikan sembahyang Jumaat? Sembahyang lima waktu termasuk sembahyang Jumaat dan puasa Ramadhan adalah dua daripada ajaran dan rukun Islam. Saya turunkan ringkasan ulasan Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz mengenai orang yang menafikan, menghina dan mempersenda rukun Islam katanya: “Jika orang-orang Islam menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, atau mengeji atau menghina rukun Islam, maka orang itu menjadi murtad. Jika mereka mengeji sesuatu yang halal atau mengeji sesuatu yang haram dalam Islam seperti mempersenda sembahyang, puasa … adalah membawa murtad.”

Majlis menyambut hari ulang tahun kemerdekaan adalah perkara yang harus. Tetapi sekiranya majlis itu diadakan oleh sesebuah negara Islam pada waktu tertentu, sama ada bertujuan secara langsung ataupun tidak untuk menghalang para jemputan yang beragama Islam menunaikan sembahyang fardhu, atau pada siang hari bulan Ramadhan menjamu para jemputan dengan makan dan minum, adalah majlis itu bercampur mungkar, maksiat dan penuh laknat.

Maka menjadi wajib tidak memenuhi jemputan yang mengandungi mungkar dan maksiat seperti itu. Bertambah-tambah lagi wajibnya jika terdapat tanda-tanda penghinaan terhadap hukum dan kewajipan-kewajipan orang-orang Islam.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Tuan Yang Terutama, salah satu tugas lazim para diplomat ialah menghadiri majlis-majlis undangan negara-negara sahabat, tetapi tidak diwajibkan. Maka majlis yang dimaksudkan yang dianggap majlis mungkar dan maksiat, tidaklah layak dihadiri oleh wakil utama Negara kita. Tambahan pula Tuan Yang Terutama menyebutkan ada tiga pilihan dalam menangani jemputan berkenaan. Pilihan ketiga atau yang terakhir sekiranya tidak menghadirinya tidak ada apa-apa mudharat dalam hubungan diplomatik, hanya dianggap kurang elok.

Dalam pada itu, sekiranya jika tidak dapat dielakkan juga bagi memelihara kemashlahatan, maka bolehlah dihadiri oleh pegawai bawahan, atau pilihan kedua sebagaimana disebutkan oleh Tuan Yang Terutama, iaitu perempuan. Ini kerana perempuan tidak wajib sembahyang Jumaat dan status pegawai berkenaan juga sudah memadai sebagai wakil, adalah satu kebijaksanaan menghantarnya ke majlis itu. Tetapi perlu diingat bahawa walaupun negara berkenaan menentang pemakaian tudung, namun kita tidaklah boleh tunduk mengikutnya, demi prinsip, serta untuk mengelakkan laknat Allah. Saya fikir semua orang yang waras sedia memahami dan mengambil pengertian perkara ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9657