Mentua Berkahwin Dengan Mentua Dan Anak Tiri Berkahwin Dengan Anak Tiri
Soalan: Saya adalah salah seorang tutor yang bertugas di salah sebuah institusi pendidikan di negara ini. Ada persoalan daripada pelajar yang diajukan kepada saya dan terdapat kemusykilan sedikit yang membuatkan saya terkeliru untuk menjawabnya. Saya harap Pehin boleh memperjelaskan kemusykilan ini.
Persoalannya adalah seperti berikut:
Sekiranya seorang lelaki dan seorang perempuan telah berkahwin, kemudian bapa kepada lelaki tersebut pula ingin berkahwin dengan ibu kepada perempuan (setelah habis ‘iddah perceraian dengan suaminya).
(i) Adakah dibolehkan atau sahkah mereka itu (bapa mentua kepada perempuan dan ibu mentua kepada lelaki) berkahwin?
(ii) Bagaimana pula sebaliknya, sekiranya kedua orang tua mereka berkahwin terlebih dahulu (bapa kepada lelaki dan ibu kepada perempuan), kemudian teruna dan anak dara itu pula hendak berkahwin (perempuan itu digelar sebagai anak tiri kepada bapa lelaki dan lelaki itu pula digelar sebagai anak tiri kepada ibu perempuan). Adakah dikira sah (dibolehkan) perkahwinan mereka?
(iii) Bagaimana pula kedudukan mereka di dalam sistem kekeluargaan Islam seandainya mereka diharuskan berkahwin?
Jawapan: Adalah harus dan sah hukumnya, sekiranya seorang lelaki dan seorang perempuan telah berkahwin, kemudian bapa kepada lelaki tersebut (mentua isteri) pula berkahwin dengan ibu kepada perempuan (mentua suami) sama ada perkahwinan itu berlangsung ketika perkahwinan anak menantu mereka masih kekal atau setelah mereka bercerai.
Begitu juga sebaliknya, adalah harus dan sah hukumnya, jika sekiranya kedua orang tua mereka berkahwin terlebih dahulu (bapa kepada lelaki dan ibu kepada perempuan tersebut), kemudian teruna dan anak dara itu pula hendak berkahwin (anak tiri mereka) sama ada perkahwinan itu berlangsung ketika perkahwinan orang tua mereka masih kekal atau setelah mereka bercerai.
Asy-Syeikh Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullah berkata:
Ertinya: Sesungguhnya tidak haram (bernikah dengan) anak perempuan suami emak (adik beradik tiri), tidak juga (haram dengan) emak suami emak (nenek tiri), tidak juga (haram dengan) anak kepada suami anak (anak tiri kepada anak), tidak juga (haram dengan) emak suami anak (mentua kepada anak), tidak juga (haram dengan) emak isteri bapa (nenek tiri), tidak juga (haram dengan) anak perempuan isteri bapa (adik beradik tiri), tidak juga (haram dengan) emak isteri kepada anak (mentua kepada anak), tidak juga (haram dengan) anak kepada isteri anak (anak tiri kepada anak) dan tidak juga (haram dengan) isteri kepada anak tiri kerana mereka itu terkeluar daripada mereka yang disebutkan (haram bernikah). (Bujairimi ‘ala al-Khathîb: 3/423). Untuk jelasnya sila lihat rajah di bawah.
Adapun kedudukan mereka di dalam sistem kekeluargaan Islam, mereka adalah terikat dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘ seperti hal-hal yang berkaitan dengan mahram, harta pusaka, wali dan lain-lain.
Rajah Perkahwinan Di Antara Mentua Dengan Mentua (Besan) Dan Di Antara Anak Kedua-duanya
Keluarga A Keluarga B
Aminah Ali Balqis Bahri
Aliyah Bustamam
Ali Balqis
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9662
