Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penggunaan Air ‘Newater’

Soalan: Apakah fatwa mengenai penggunaan air ‘Newater’ dari segi syara‘ dan bukti istinbâth hukum dalam kelima-lima mazhab?

Jawapan: Apa Dia Newater? Setakat maklumat yang kita ketahui berkenaan dengan ‘Newater’ itu ialah air kumbahan iaitu sama ada air musta‘mal (sudah dipakai) atau air mutanajjis (bernajis), kemudian air kumbahan ini dikitar semula melalui proses penyulingan. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai ‘Newater’ ini bahawa air sulingan ini terjamin bersih dan selamat untuk diminum. Kemudian air yang telah diproses itu akan dicampur terlebih dahulu di dalam kolam (takungan air simpanan) sebelum kegunaan awam.

Kedudukan Air Dua Qullah Berdasarkan hukum syara‘, air mutlak yang dua qullah atau lebih tetap suci sekalipun ia terkena najis sebagaimana sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Jika air itu dua qullah ia tidak menanggung najis. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa'i dan Abu Daud) Dalam hadits yang lain Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika air itu dua qullah tidaklah ia dinajiskan oleh sesuatu. (Hadits riwayat Ahmad) Imam at-Tirmidzi mengatakan, dalam hal ini Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad dan Ishaq mengatakan, jika air itu dua qullah tidaklah ia dinajiskan oleh sesuatu melainkan berubah bau atau rasanya. Hal ini juga disebutkan oleh Imam an-Nawawi dalam al-Minhâj, katanya:

Ertinya: “Sekiranya (benda najis itu) mengubah air (dua qullah) berkenaan, maka ia menjadi najis.”

Air Kurang Daripada Dua Qullah

Manakala air yang kurang daripada dua qullah, apabila terkena najis, ia akan menjadi air mutanajjis. Air tersebut tidak suci dan tidak menyucikan.

Air Yang Berubah

Mengikut kaedah syara‘, air yang najis disebabkan oleh taghayyur (perubahan pada sifat air sama ada warna, bau atau rasanya) dan ia melebihi dua qullah akan menjadi suci dengan sebab hilangnya perubahan atau taghayyur tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Imam asy- Syirazi dalam kitabnya al-Muhadzdzab, katanya:

Ertinya: Jika hendak menyucikan air yang kena najis itu dilihat (kepada keadaannya), sekiranya najisnya air itu dengan sebab taghayyur (perubahan pada warna, bau atau rasanya) sedang ia melebihi dua qullah, maka ia menjadi bersih dengan hilangnya taghayyur itu dengan sendirinya, atau (hilang taghayyur) dengan mencampurkan kepadanya air yang lain, atau (hilang taghayyur) dengan membuang sebahagiannya, kerana najis itu disebabkan taghayyur (perubahan warna, bau atau rasa) dan ia telah hilang.

Dalam kitab al-Majmû‘, Imam an-Nawawi mengatakan dalam bab َ ْ مَا يـُفْسد ُ الْمَاء َ من النَّجَاسَة وَمَا ال ُ يـُفسدُه, jika air itu hilang taghayyurnya dengan mengambil sebahagiannya, mestilah baki air yang tinggal itu mencukupi dua qullah. Jika baki air tersebut kurang daripada dua qullah maka ia tetap najis.

Maka berdasarkan kaedah ini, sekiranya ‘Newater’ itu betul seperti mana yang dikhabarkan iaitu air yang mutanajjis itu dibersihkan terlebih dahulu sehingga tidak lagi ada sifat-sifat taghayyurnya, kemudian dicampurkan dalam kolam simpanan air biasa dua qullah atau lebih (dua qullah ialah lebih kurang 13 tin minyak tanah biasa, atau 317 kati, atau dua hasta setengah tinggi dan bulatannya satu hasta), maka air tersebut dihukumkan suci lagi menyucikan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9700