Penjualan Tiket Bagi Menaja Perbelanjaan/Pembiayaan Sambutan Hari Raya Disertai Cabutan Tiket Bertuah
Soalan: Sukacita memohon pandangan dan nasihat Pehin bahawa Jabatan Perkhidmatan Kesihatan akan mengadakan Sambutan Hari Raya yang dijangka diadakan pada 19 Disember 2003 untuk kakitangan dan keluarga.
Di dalam sambutan tersebut, Jabatan ini mengadakan jualan tiket berharga $2.00 yang mana penjualan ini bertujuan bagi membiayai segala perbelanjaan termasuklah jamuan makan/minum, penyewaan tempat dan persediaan lainnya. Di samping itu juga, cabutan tiket berupa hadiah seangkat-angkat hati bagi warga kerja Jabatan ini dan keluarga juga akan diadakan. Tiket bertuah tidak dimestikan untuk dibeli oleh yang hadir.
Sehubungan dengan itu, besarlah harapan abis koala untuk mendapat nasihat yang segera daripada Pehin sebelum Jabatan ini mengadakan majlis tersebut.
Jawapan: Jualan tiket bagi tujuan menaja perbelanjaan majlis tidaklah mengapa kecuali majlis yang akan ditaja itu membawa kepada unsur maksiat atau perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘.
Menjual tiket dengan tujuan cabutan tiket bertuah atau seumpamanya dengan tawaran hadiah-hadiah maka cara yang sedemikian itu menyerupai judi, kerana orang yang membeli tiket tersebut dengan harga $2.00 adalah merupakan taruhan bagi mendapatkan hadiah-hadiah yang ditawarkan. Dengan adanya tawaran tersebut kita juga tidak nampak ia sebagai tajaan semata-mata, kerana tawaran hadiah itu akan lebih menarik perhatian orang untuk membeli tiket tersebut.
Sebagai irsyâd, sekiranya pihak pengurusan tetap juga mahu mengadakan cabutan tiket bertuah, adalah lebih baik tiket-tiket itu dijual sebagai tiket masuk ke majlis tersebut. Semua pelanggan akan membeli tiket berkenaan semata-mata untuk masuk ke majlis tersebut tanpa ada niat untuk mendapatkan hadiah. Pihak penganjur pula tidak sepatutnya mempromosikan hadiah-hadiahnya atau mengisytiharkan kepada pembeli tiket tentang cabutan bertuah demi menjaga niat pembeli tiket. Dengan itu penganjur boleh mengundi pelanggannya yang bertuah untuk diberi hadiah melalui undian potongan tiket atau nombor tiket pada bila-bila masa. Cara sedemikian adalah cara yang lebih selamat kerana tidak mempunyai unsur judi atau tidak menyerupai judi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9710
