Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Perbezaan Pembahagian Dermasiswa Khas Di Kalangan Anak-Anak Yatim

Soalan: Dengan hormatnya kaola ingin memaklumkan bahawa dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan-sumbangan yang diterima oleh Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah (Dana) kepada anak-anak yatim, beberapa projek bantuan khusus bagi anak-anak yatim telah dilaksanakan oleh Dana dan setakat ini cara pembahagian sumbangan ini adalah secara sama rata di kalangan anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat Dana.

Sukacita kaola memaklumkan bahawa Dana sedang merancang untuk melaksanakan skim dermasiswa khas bagi anak-anak yatim khususnya bagi anak-anak yatim yang cemerlang dalam pencapaian akademik mereka yang mana ianya bertujuan bagi memberi dorongan dan galakan kepada anak-anak yatim untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka dan juga skim dermasiswa bagi anak-anak yatim daripada keluarga yang kurang berkemampuan bertujuan bagi membantu anak-anak yatim berkenaan mendapat pendidikan yang sempurna. Jika sekiranya skim ini dilaksanakan, akan timbul perbezaan dari segi pembahagian wang derma yang diterima oleh Dana di mana sebahagian anak yatim khususnya mereka yang difikirkan layak untuk menerima skim dermasiswa ini akan menerima lebih daripada wang derma Dana berbanding dengan yang lain.

Oleh yang demikian, kaola bagi pihak Dana sukacita memohon pandangan daripada Pehin mengenai perkara ini.

Jawapan: Sebelum menjawab soalan di atas, terlebih dahulu disentuh dua perkara yang ada kaitan dengan anak yatim iaitu pengertian anak yatim dan hak-hak mereka.

1. Pengertian Anak Yatim

Yatim dalam istilah syara‘ ialah anak lelaki atau perempuan yang belum bâligh yang ditinggal mati oleh bapanya.

Ketika mentafsir lafaz اليتامى dalam surah al-Baqarah ayat 177, Ibnu Katsir berkata:

Ertinya: Yatim ialah orang-orang yang tidak ada yang menyara mereka, bapa mereka telah meninggal, keadaan mereka lemah, masih lagi kanak-kanak, belum bâligh, serta belum sanggup mencari belanja.

Dalil Ibnu Katsir ialah hadits riwayat Abdul Razzaq daripada Mu‘ammar daripada Juwaybir daripada ad-Dhahhak daripada an-Nizal bin Sirah daripada ‘Ali daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:

Maksudnya: Tidak dikatakan yatim setelah bâligh. (Hadits riwayat Abdul Razzaq)

Dalam riwayat Abu Daud lafaz ٍ حلْم berbunyi ٍ احْتلَم maknanya adalah sama.

Al-Mawardi ketika mentafsirkan ayat yang sama berkata: “Yatim ialah orang yang terdapat padanya dua syarat, iaitu masih kanak-kanak dan tidak berbapa.” (An-Nukât wa al-‘Uyûn: 1/227).

Dalam kitab-kitab tafsir lain pengertian yatim adalah sama dengan yang disebutkan.

Dengan itu, yang dinamakan anak yatim ialah orang yang tidak berbapa semasa belum bâligh. Jika telah bâligh tidak lagi dinamakan anak yatim, dan tidak berhak menerima hak-hak di atas nama anak yatim.

Ibnu al-Atsir berkata: “Apabila keduanya (yatim lelaki dan perempuan) telah bâligh, maka sebutan ‘yatim’ telah hilang daripada keduanya secara hakikat.” (An-Nihâyah fî Gharîb al-Hadîts wa al-Âtsâr: 5/292).

Anak Yatim Kaya Dan Anak Yatim Miskin

Anak yatim kaya dan anak yatim miskin dari sudut panggilan tidak berbeza. Jika sewaktu bapa meninggal dunia mewariskan harta yang banyak kepada anak kecilnya, anak itu dinamakan anak yatim kaya. Apabila bapa tidak meninggalkan apa-apa harta warisan, anaknya dinamakan anak yatim miskin. Kedua-duanya sama-sama dinamakan anak yatim serta kedua-duanya memerlukan pengurusan, makan, minum dan keperluan harian lain yang dinamakan hadhânah (pengasuhan) yang dinamakan juga kafâlah. (Hâsyiyah al-Baijuri: 2/283).

Yatim kaya boleh hidup daripada harta warisan yang diuruskan oleh walinya. Manakala yatim miskin adalah hidup dengan ihsan keluarga dan orang lain.

2. Hak-Hak Anak Yatim Islam telah menetapkan hak yang selayaknya diberikan kepada anak yatim, iaitu agar kehidupannya tidak disia-siakan oleh orang yang bertanggungjawab kepada mereka, iaitu kafîl (pengasuh, penjaga).

Dalam Islam anak yatim tidak akan terbiar. Walaupun bapa mereka telah meninggal dunia, namun mengikut hukum syara‘ masih ada orang berkewajipan menjaga dan menguruskan mereka, iaitu para keluarga yang berfungsi sebagai pengganti ibu bapa, jika keduanya tidak ada lagi.

Imam asy-Syirazi Rahimahullah menyebutkan bahawa hak pengurusan atau penjagaan anak yang tidak ada ibu dan bapa terdapat tiga wajh:

1. Pihak keluarga perempuan lebih berhak kerana mereka lebih mahir mendidik, seperti kakak-kakak dan saudara-saudara ibunya.

2. Pihak waris lelaki (‘ashabah) lebih utama berbanding kakak dan saudara-saudara ibu, kerana mereka lebih berhak menjaga keturunan anak.

3. Jika pihak ‘ashabah lebih hampir, mereka didahulukan, jika pihak perempuan lebih hampir, mereka didahulukan, dan jika sama-sama hampir dengan anak, maka pihak perempuan didahulukan. (Al-Majmû‘: 20/233).

Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullah menyebutkan bahawa berlakunya kewajipan memberi hak penjagaan ialah sehingga anak itu bâligh dan cerdik.

Ertinya: Hak penjagaan berakhir dengan sebab bâligh dan cerdik. (Hâsyiyah al-Baijuri: 2/283).

Sekiranya keluarga dekat tidak ada lagi, dari segi Islam, masyarakat orang Islam hendaklah ada yang tampil dengan segera untuk menjaga dan menguruskan mereka kerana betapa besarnya ganjaran pahala yang diberikan kepada orang yang menguruskan anak yatim.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Aku dan penjaga anak yatim di dalam syurga begini. (Perawi menerangkan: “Baginda mengisyaratkan dua jari; jari telunjuk dan jari tengah (jari hantu).” (Fath al- Bâri: 10/436).

Hadits ini membawa maksud bahawa orang yang mengasuh atau menguruskan hal ehwal kehidupan anak yatim sangatlah rapat kedudukannya dengan Baginda di dalam syurga sebagaimana rapatnya letak kedua-dua jari tersebut. Orang yang disebut Baginda itu sama ada daripada kalangan keluarga anak yatim itu sendiri, orang lain atau pihak lain adalah sama sahaja.

Ketika mensyarahkan hadits ini, al-Manawi Rahimahullah berkata: “Orang yang menguruskan hal ehwal dan kebajikan anak yatim dengan harta peribadinya atau harta anak yatim itu sendiri, sama ada orang itu keluarga anak yatim atau tidak, beginilah di syurga.” (Al-Manawi, Faidh al-Qadîr: 3/49).

Dari itu kita mendapati para sahabat berlumba-lumba memuliakan dan menghormati anak yatim, walaupun hanya sekadar memberi makan. Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad mentakhrîjkan bahawa Abdullah bin ‘Umar lebih suka makan jika ada bersamanya anak yatim ketika beliau menghadap hidangannya. (H.198)

Kadar Perbelanjaan Anak Yatim

Apa yang kita maksudkan dengan huraian di atas ialah untuk mengetahui bahawa pada dasarnya yang berkewajipan mengasuh atau menguruskan anak yatim itu ialah keluarganya sendiri, dan jika keluarga tidak ada, barulah orang lain. Ini bermakna anak-anak yatim dijadikan sebagai salah seorang daripada ahli keluarga untuk diberikan perlindungan, makan minum, pendidikan dan sebagainya. Apa yang diberikan kepada mereka adalah dengan kadar yang selayaknya dan tidak ada had atau kadar tertentu.

Kemudian, mereka itu dinamakan anak yatim, dan layak mendapat hak penjagaan tersebut ialah sehingga mereka bâligh dan cerdik.

Hak perbelanjaan anak yatim miskin yang diuruskan oleh ahli keluarga adalah mengikut kadar kemampuan keluarga dan kadar keperluan anak yatim itu.

Hak perbelanjaan anak yatim kaya yang diuruskan oleh ahli keluarga, bolehlah diambil daripada hartanya, tetapi hendaklah mengikut kadar biasa dan tidak membawa kepada pembaziran hartanya.

Kita belum menemui mana-mana nash yang menetapkan kadar perbelanjaan anak yatim, yang sama dengan nash-nash penetapan kadar pengagihan zakat kepada ashnâf yang lapan. Dari itu kita berpendapat perbelanjaan anak yatim adalah mengikut kebijaksanaan kâfil (pengasuh atau penjaga) berdasarkan penilaian keperluan anak yatim yang diasuh dan dipelihara.

Kumpulan Wang Untuk Anak-Anak Yatim

Apabila orang menderma atau menyumbang untuk maksud atau dengan niat membantu anak-anak yatim, maka derma atau sumbangan itu hendaklah disalurkan kepada ‘orang yang hanya dinamakan anak yatim’ sahaja.

Ini bermakna jika disalurkan kepada orang yang sudah bâligh dan cerdik, maka matlamat maksud atau niat itu tidak tercapai.

Skim Dermasiswa Khas

Sehubungan dengan itu, “pembahagian sumbangan yang diterima oleh Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah kepada anak-anak yatim” menerusi rancangan skim dermasiswa khas adalah salah satu pengurusan kebajikan anak-anak yatim yang disebutkan oleh Imam al-Manawi di atas.

Perbezaan kadar pembahagian hak mereka adalah terpulang kepada kebijaksanaan pihak pengurus skim setelah menilai keperluan masing-masing bagi anak-anak yatim kerana tidak ada nash yang menetapkan kadar ihsan yang diberikan kepada seseorang. Ihsan itu tertakluk kepada keperluan dan kelayakan.

Walau bagaimanapun, penerima hendaklah dipastikan masih “dinamakan anak yatim” kerana sumbangan yang diterima adalah untuk anak yatim.

Kesimpulan:

1. Yang dinamakan anak yatim ialah anak yang kematian bapa dan belum lagi bâligh. Apabila dia bâligh tidak lagi dinamakan yatim sebenar dan tidak lagi berhak mendapat ‘asuhan’ atas nama anak yatim.

2. Mengasuh atau menguruskan hal ehwal dan kebajikan anak yatim pada dasarnya adalah kewajipan ahli keluarga mengikut kadar kemampuan.

3. Jika wujud perbezaan pembahagian sumbangan yang diberikan oleh Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah kepada anak-anak yatim menerusi rancangan skim dermasiswa khas tidaklah mengapa selama penerima masih dinamakan anak yatim (belum bâligh dan cerdik). Kadar sumbangan mengikut keperluan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9717