Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Perempuan Yang Datang Haidh

Soalan: Saya mempunyai seorang anak perempuan berumur 11 tahun yang baru saja datang haidhnya yang pertama. Soalan saya: Bagaimanakah cara anak perempuan saya mandi wajib, sekiranya sudah habis darah haidhnya? Adakah saya mesti menjemput “orang tua-tua” untuk memandikannya atau adakah sudah memadai sekiranya kita sebagai ibu bapa terutama sekali ibu memata-matai dan mengajar bagaimana caranya untuk mandi wajib?

Semasa datang haidh, seseorang memotong kuku dan rambut. Apakah hukumnya perbuatan itu dan apakah yang patut dia buat semasa mandi wajib nanti? Mestikah dia menyertakan semasa mandi tersebut kuku dan rambut tersebut? Jika ya, bagaimanakah caranya?

Jawapan: Tempoh Haidh

Pada kebiasaannya perempuan akan mengalami haidh antara enam ke tujuh hari. Menurut qaul ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e bahawa sekurang-kurang tempoh perempuan mengalami haidh ialah selama sehari semalam. Adapun tempoh haidh yang paling lama ialah lima belas hari. Jika lebih daripada tempoh itu, maka darah yang keluar pada hari yang ke enam belas itu bukan lagi dinamakan haidh tetapi darah tersebut dinamakan darah istihâdhah (disebabkan penyakit).

Apabila darah haidh itu telah kering, maka wajib ke atas perempuan yang berhaidh itu mandi untuk mengangkat hadasnya itu.

Cara-Cara Mandi Wajib

Sekurang-kurang mandi kerana hadas besar yang dituntut dan sah mengikut hukum syara‘ ialah dengan melakukan dua perkara:

Pertama: Berniat mengangkatkan hadas janâbah atau mengerjakan fardhu mandi ataupun mengangkatkan hadas besar.

Kedua: Meratakan air ke seluruh tubuh yang meliputi semua bahagian rambut atau bulu dan juga kulit serta rongga (lubang) yang zahir.

Kedua-dua perbuatan tersebut iaitu berniat dan meratakan air ke seluruh tubuh adalah merupakan fardhu mandi. Tidak sah dan tidak memadai mandi wajib itu tanpa melakukan kedua-dua fardhu mandi tersebut.

Perkara-Perkara Yang Disunatkan Sebelum Dan Ketika Mandi

Mandi wajib yang lebih sempurna ialah dengan melakukan perkara-perkara yang disunatkan sebelum dan ketika mandi. Di antara perkara-perkara sunat itu ialah membaca basmalah sebelum berniat, menanggalkan kotoran, berwudhu, menghadap ke arah qiblat, menjiruskan air ke atas kepala dan menggosoknya serta menjiruskannya ke atas seluruh tubuh sebanyak tiga kali dengan dimulakan dari sebelah kanan dan diikuti dengan sebelah kiri dan sebagainya yang mana penjelasan yang detil boleh didapati di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang mandi wajib.

Dalam hal sekurang-kurang dan sesempurna-sempurna mandi wajib ini, sama ada perempuan itu baru pertama kali datang haidh atau yang sudah biasa datang haidh adalah sama sahaja. Oleh itu, ibu bapa perempuan yang baru didatangi haidh itu tidaklah perlu memata-matainya atau pun menjemput “orang tua-tua” untuk memandikan anak perempuan mereka itu. Adapun mandi itu boleh saja dilakukan sendiri sekalipun tanpa pertolongan orang lain. Yang penting dia wajib mengetahui syarat-syarat sah mandi hadas besar termasuk mengetahui fardhu-fardhunya.

Walau bagaimanapun jika perempuan itu tidak mengetahui perkara-perkara yang dituntut agar mandi wajibnya itu sah dan sempurna atau bagi tujuan untuk lebih meyakinkan, maka terutama ibunya atau kakaknya wajiblah mengajarkannya serta menunjuk cara bagaimana melakukan mandi wajib yang sempurna itu.

Menjemput Orang Tua-Tua

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, mandi wajib kerana haidh itu memadai dengan berniat untuk mengangkatkan hadas, janâbah atau mengerjakan fardhu mandi dan meratakan air ke seluruh badan. Jika ada pendapat yang mengatakan mandi itu tidak memadai kecuali dengan menjemput “orang tua-tua” untuk memandikannya, maka pendapat itu tidaklah berasas.

Menanggalkan Mana-Mana Bahagian Badan Sebelum Mandi Wajib

Mengenai dengan hukum memotong kuku dan rambut ketika masih dalam berhadas besar, berkata pengarang Fath al-Mu‘ în:

Ertinya: Sayugia (adalah lebih baik), sebelum mandi wajib jangan membuang rambut, kuku dan juga darah (mengeluarkan darah), sebab semua itu kelak di akhirat akan dikembalikan dalam keadaan junub. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/131-132)

Berkata al-‘Allâmah Ba ‘Asyin dalam Busyrâ al-Karîm:

Ertinya: Disunatkan bagi orang seumpama berjunub, janganlah dia menghilangkan sesuatu daripada badannya, kecuali setelah dia mandi, kerana suku-suku badan itu akan kembali kepada badannya di akhirat kelak, maka suku-suku itu kembali dengan keadaan ia junub (serta) sangat mencela tuannya, kemudian suku-suku itu tanggal daripadanya melainkan suku-suku yang asal sahaja yang kekal. Dan ada pendapat yang mengatakan tiap-tiap rambut itu menuntut tuannya dengan sebab ia tanggal dalam keadaan junub itu. (Busyrâ al-Karîm: 1/84)

Berdasarkan keterangan daripada beberapa qaul ulama di atas, maka adalah sunat untuk tidak memotong kuku atau memotong rambut ketika masih dalam keadaan junub supaya di akhirat kelak suku-sukunya akan kembali kepadanya dalam keadaan suci daripada janâbah.

Di samping itu, bahagian anggota yang berpisah daripada badan orang yang berjunub sebelum dia selesai mandi wajib, tidak terangkat janâbah anggota berkenaan dengan memandikannya sebagaimana pendapat asy-Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi ketika mengulas perkataan Ibnu Hajar yang dinaqalnya daripada Imam al-Ghazali ( ألن أجزاءه تعود... اخل) katanya:

Ertinya: Zahir perbuatan ini bahawasanya bahagian-bahagian tubuh badan (orang yang berjunub) yang terpisah sebelum lagi mandi wajib tidak terangkat janâbah bahagian anggota berkenaan dengan memandikannya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: l/284-285)

Apa yang saya dapat fahami daripada keterangan al-‘Allâmah Ibnu Qasim di atas, bahawa tidaklah perlu dibawa bersama-samanya anggota yang dipotong ketika dia masih berjunub atau berhadas besar semasa dia mandi wajib kerana janâbah yang ada pada anggota-anggota itu tidak juga akan terangkat. (Wallâhu A‘lam).

Selain daripada itu, suatu perkara yang perlu juga diambil perhatian berhubung dengan bahagian-bahagian tubuh manusia yang ditanggalkan atau dipotong semasa seseorang itu masih hidup, jika ia bukan terdiri daripada aurat seperti kuku dan rambut lelaki maka sunat sahaja ditanam. Manakala jika bahagian itu aurat seperti rambut perempuan atau mana-mana bahagian daripada anggota tubuh sama ada lelaki atau perempuan yang haram dilihat oleh bukan mahramnya ketika ia masih bersambung dengan badannya, maka wajiblah ia ditanam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9721