Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Perihal Sembahyang Tahiyyatul Masjid

Soalan: Saya ada kemusykilan mengenai dengan sembahyang dan pahala. Seperti yang kita sedia maklum, bila seseorang itu masuk ke dalam masjid adalah digalakkan untuk melakukan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid terlebih dahulu sebelum melakukan ibadat yang lain. Soalan saya, adakah benar pendapat ini, seseorang itu akan mendapat pahala sunat Tahiyyatul Masjid, sedangkan dia tidak melakukannya dan terus sahaja melakukan sembahyang qadha?

Jawapan: Adalah benar pendapat yang mengatakan bahawa seseorang itu akan mendapat pahala sunat Tahiyyatul Masjid, sedang dia tidak melakukannya dan terus sahaja melakukan sembahyang qadha atau lainnya sebagaimana akan dihuraikan di bawah ini.

Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dianggap telah terlaksana dengan mengerjakan sembahyang fardhu atau dengan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat atau lebih daripada dua rakaat. Di dalam hadits diterangkan:

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk hingga dia melaksanakan sembahyang dua rakaat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid itu dianggap telah terlaksana dengan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat sama ada diniatkan atau tidak dalam sembahyang itu untuk mengerjakan juga sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, maka dengan demikian itu gugurlah tuntutan untuk mengerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid serta terlepas daripada hukum makruh meninggalkannya.

Berkata ulama Syafi‘e: “Tidaklah disyaratkan seseorang yang masuk masjid berniat sembahyang Tahiyyatul Masjid dua rakaat, bahkan jika dia sembahyang dua rakaat dengan niat sembahyang muthlaq atau sembahyang sunat rawâtib atau bukan rawâtib atau sembahyang fardhu tunai atau qadha atau nazar, maka memadai yang demikian itu dan baginya apa yang dia niatkan dan hasillah sembahyang Tahiyyatul Masjid secara dhimnân (termasuk juga). Tiada khilâf dalam perkara ini.”

Berkata lagi ulama Syafi‘e: “Jikalau seseorang itu berniat sembahyang fardhu dan Tahiyyatul Masjid atau sembahyang rawâtib dan Tahiyyatul Masjid, maka hasil semuanya tanpa khilâf ulama.” (Al-Majmû‘ li an-Nawawi: 4/45).

Walau bagaimanapun sembahyang Tahiyyatul Masjid tidak terlaksana dengan mengerjakan sembahyang yang lain yang hanya serakaat, sembahyang jenazah, sujud tilâwah ataupun sujud syukur.

Sembahyang Tahiyyatul Masjid dapat dilaksanakan beberapa kali kerana beberapa kali masuk ke dalam masjid.

Perkara-perkara yang menggugurkan tuntutan sembahyang Tahiyyatul Masjid:

1. Senghaja duduk sekalipun untuk mengambil wudhu.

2. Duduk yang lama kerana tidak tahu, namun apabila hanya sebentar sahaja umpama lupa atau tidak tahu, tidaklah menghapuskan tuntutan sembahyang Tahiyyatul Masjid itu.

Perkara-perkara yang tidak menggugurkan tuntutan sunat Tahiyyatul Masjid pula ialah:

1. Berdiri sekalipun lama.

2. Duduk kerana minum bagi orang yang kehausan, kerana minum dengan duduk terhindar daripada makruh dan juga makruh sembahyang dalam keadaan haus.

3. Sembahyang dengan cara duduk sesudah mengangkat takbîr dengan berdiri.

Makruh Melakukan Sembahyang Tahiyyatul Masjid

Makruh meninggalkan sembahyang Tahiyyatul Masjid tanpa uzur. Kalau seseorang masuk ke dalam masjid sedang sembahyang fardhu berjemaah hampir didirikan, seandainya jika dikerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid membawa luput fadhilat takbîratulihrâm bersama-sama dengan imam, maka janganlah dikerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid, tetapi hendaklah berdiri menanti sembahyang fardhu. Ini kerana jika dia mengerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid atau duduk pada saat itu maka hukumnya makruh. Namun jika tidak luput fadhilat takbîratulihrâm bersama dengan imam kerana mengerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid, maka tidaklah makruh mengerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid pada waktu itu bahkan sunat.

Makruh khatib yang masuk ke dalam masjid melakukan sembahyang Tahiyyatul Masjid sedang waktu berkhutbah telah tiba.

Makruh masuk ke dalam masjid untuk duduk tanpa wudhu.

Orang yang masuk ke dalam masjid yang tidak berwudhu atau berwudhu tetapi tidak dapat mengerjakan sembahyang Tahiyyatul Masjid kerana sesuatu hal, maka disunatkan baginya membaca empat kali:

Ertinya: Maha suci Allah dan segala puji hanya bagi Allah, tiada tuhan selain Allah. Allah Maha Besar dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan daya dan upaya yang dikurniakan Allah yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9729