Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Permasalahan Di Musim Haji

Soalan: 1. Pada tahun 1991 sembahyang semasa waktu wuquf di padang ‘Arafah pada hari Jumaat dibuat dua rakaat. Sebahagian jemaah terpaksa sembahyang Zuhur semula empat rakaat kerana tidak pasti sama ada ia sembahyang Jumaat atau Zuhur kerana tidak dimaklumkan apa sembahyangnya.

Maklumat yang saya perolehi daripada buku keluaran Kementerian Hal Ehwal Ugama, sembahyang Zuhur di padang ‘Arafah tidak boleh diqasharkan.

Soalannya, apakah sembahyang yang dikerjakan semasa wuquf di padang ‘Arafah apabila hari wuquf jatuh pada hari Jumaat atau hari lain daripada Jumaat? Adakah sembahyang Jumaat atau sembahyang Zuhur dan berapa rakaat? 2. Seorang perempuan yang berhadas besar (haidh) tidak dapat mengerjakan tawaf haji sehingga balik ke Brunei. Walaupun sudah berjumpa doktor di Makkah tetapi dirinya masih belum bersih daripada hadas besar. Beliau juga tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk mengerjakan haji pada tahun akan datang. Perkara ini telah ditanyakan oleh seorang kawan kepada urusan haji tetapi jawapannya ialah untuk berjumpa dengan doktor.

Bagaimanakah kedudukan perempuan ini, jika belum selesai rukun hajinya? Adakah dirinya masih terikat dengan perkara-perkara haram yang dilarang semasa ihram sehingga balik ke Brunei? Minta penjelasan mengenai perkara ini kerana meninggalkan wajib haji boleh dibayar dam, meninggalkan rukun haji dan tidak berkemampuan apa patut dibuat?

3. Ada pendapat menyatakan doa qunut di tanah suci semasa sembahyang Subuh tidak perlu dibaca kerana makmum mengikut imam dan diganti dengan sujud sahwi. Ada juga yang memberitahu wajib dibaca doa qunut kerana ia sunat ab‘adh dibuat macam di Brunei. Minta penjelasan mengenai perkara ini.

Jawapan: Wuquf Di ‘Arafah Pada Hari Jumaat

Para jemaah haji yang wuquf di ‘Arafah pada hari Jumaat tidak diwajibkan ke atas mereka mendirikan sembahyang jumaat, kerana di antara syarat sah mendirikan sembahyang jumaat itu ialah sembahyang Jumaat hendaklah didirikan di suatu tempat kediaman seperti kampung, desa, pekan atau bandar dan ia juga hendaklah didirikan sekurang-kurangnya oleh empat puluh orang yang bermastauthîn (menetap di tempat didirikan sembahyang Jumaat). Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Imam asy-Syafi‘e dan para sahabat berkata: “Jika bertepatan hari ‘Arafah pada hari Jumaat, tidaklah para jemaah haji bersembahyang Jumaat di sana, kerana di antara syarat sah Jumaat itu ialah (didirikan) di tempat ada orang menetap dan mereka yang mengerjakan sembahyang Jumaat itu ialah orang-orang yang bermastauthîn (orang yang menetap tinggal di tempat itu). Telah berlalu (sebelumnya) bahawa Imam asy-Syafi‘e dan para sahabat berkata: “Jika dibina di sana (Mina dan ‘Arafah) satu kampung dan ia ditempati oleh cukup empat puluh orang mastauthîn, hendaklah (wajib) didirikan di sana sembahyang jumaat (oleh empat puluh orang mastauthîn dan juga para jemaah haji). Adapun Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengerjakan sembahyang Jumaat di ‘Arafah sedangkan telah sabit di dalam hadits shahîh Bukhari dan Muslim daripada riwayat ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu bahawa hari ‘Arafah yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam wuquf di dalamnya adalah pada hari Jumaat.” (Al-Majmû‘: 8/111, 117-118)

Oleh itu adalah jelas bahawa sembahyang yang dikerjakan semasa wuquf di padang ‘Arafah, sekalipun ia jatuh pada hari Jumaat adalah sembahyang Zuhur. Sembahyang Zuhur pada hari wuquf di padang ‘Arafah itu pula tidak boleh diqasharkan, kerana jarak Makkah dengan padang ‘Arafah tidak sampai atau melebihi dua marhalah (89 kilometer).

Walau bagaimanapun adalah harus bagi jemaah haji yang keluar dari Makkah pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) mengambil rukhshah mengqashar dan menjama‘ sembahyang dengan syarat mereka hendaklah berniat untuk terus pulang ke tanah air setelah selesai ibadat haji. Ini bererti mereka tidak akan kembali bermukim di Makkah (tinggal di Makkah melebihi tiga hari). Apabila saja mereka meninggalkan perbatasan atau sempadan Makkah, maka mereka boleh melakukan sembahyang secara qashar ataupun jama‘ kerana mereka adalah di dalam musafir. Tetapi rukhshah berkenaaan itu akan hilang apabila mereka bermukim di mana-mana tempat persinggahan melebihi daripada tiga hari.

Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Imam asy-Syafi‘e dan para sahabat berkata: “Jika para jemaah haji masuk ke Makkah dan mereka berniat untuk tinggal di sana selama empat hari, (maka) mereka mesti menyempurnakan (tidak mengqasar) sembahyang. (Manakala) jika mereka keluar pada hari tarwiyah menuju ke Mina dan mereka berniat terus pergi bermusafir ke tanah air mereka bila habis selesai ibadat haji mereka, (maka) bagi mereka boleh mengqashar sembahyang dari ketika mereka keluar lagi, kerana mereka telah memulakan pelayaran yang dibolehkan di dalamnya mengqashar sembahyang.” (Al-Majmû‘: 8/117)

Tidak Mengerjakan Tawaf Haji Kerana Haidh

Jemaah haji perempuan yang datang haidh ketika masih di dalam ihram dan dia terpaksa balik ke negaranya menurut jadual penerbangannya, sedangkan dia belum lagi menunaikan tawaf ifâdhah (tawaf haji), maka ada beberapa jalan keluar boleh diikutinya sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah di dalam kitab Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh:

1. Jika perempuan yang datang haidh itu dapat menahan haidhnya dengan menggunakan ubat atau haidhnya terhenti seketika bukan kerana ubat, maka bolehlah dia mandi hadas dan pergi melakukan tawaf, sekalipun darah haidhnya kembali datang semula selepas musafir. Ini adalah salah satu daripada dua qaul Imam asy-Syafi‘e dalam perkara perempuan yang datang haidh di mana darahnya berhenti sehari lepas sehari. Maka hari di mana darahnya berhenti itu adalah dikira sebagai hari suci. Perempuan itu boleh beramal dan memakai qaul ini yang dikenali sebagai qaul at-talfîq dan ia ditarjîh oleh satu kumpulan ulama Syafi‘e. Qaul ini juga adalah sama dengan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad Rahimahumallah.

2. Perempuan yang datang haidh itu sabar menunggu sehingga darah haidhnya kering. Selepas itu terus tawaf.

Jika dia terpaksa juga meninggalkan Makkah, kemudian dia suci apabila tiba pada suatu tempat yang dia yakin tidak dapat kembali semula ke Makkah kerana ditakuti sesuatu terjadi kepada diri atau hartanya, maka ketika itu dan di tempat itu dia bolehlah bertahallul kerana dia dihukumkan sama dengan orang yang muhshar, iaitu orang yang sedang ihram haji atau umrah tetapi terhalang untuk menyempurnakan rukun-rukunnya. Selepas tahallul itu dia telah terlepas daripada segala ikatan ihramnya dan dia bolehlah melakukan apa yang dilarang selama dalam ihram.

Walaupun begitu, ibadat hajinya dikira belum sempurna lagi dikerjakannya, iaitu tawaf, serta sa‘i sekiranya belum dilakukannya ketika tawaf qudum. Untuk kesempurnaan hajinya, dia hendaklah kembali semula ke Makkah apabila berkemampuan untuk melakukan tawafnya. (Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh: 387- 388)

Cara bertahallul orang muhshar itu ialah dia hendaklah menyembelih seekor kambing (seperti syarat korban) di tempat di mana dia terhalang dengan berniat tahallul (keluar daripada ihram mengerjakan haji). Kemudian dia hendaklah bercukur dengan berniat tahallul juga (keluar daripada ihram mengerjakan haji). Daging sembelihan itu hendaklah diagihkan kepada fakir miskin di tempat di mana dia terhalang itu. Jika dia tidak mendapat kambing, maka menurut qaul al-azhhar boleh digantikan dengan memberi makanan (beras atau gandum) berdasarkan nilai harga seekor kambing dan tidak boleh baginya untuk bertahalull kecuali setelah dia memberi makanan. Jika dia tidak mampu juga, maka dia hendaklah berpuasa satu hari bagi setiap secupak makanan tersebut dan dia boleh bertahallul dengan segera menurut qaul al-azhhar (tanpa menunggu melakukan puasa terlebih dahulu). (Mughni al-Muhtâj: 1/717-718, al-Majmû‘: 8/293-296 dan Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh: 548-549)

Doa Qunut Di Dalam Sembahyang Subuh

Membaca doa qunut di dalam sembahyang Subuh adalah salah satu daripada sunat ab‘adh yang jika ditinggalkan sama ada dengan senghaja atau terlupa, disunatkan bagi orang yang bersembahyang Subuh itu mengerjakan sujud sahwi. Jika dikerjakannya sujud sahwi dia mendapat pahala dan jika dia tidak mengerjakannya, sembahyang Subuhnya itu tetap sah, kerana sujud sahwi itu adalah sunat sahaja hukumnya. (Mughni al-Muhtâj: 1/282-284, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/318-319)

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Qunut di dalam sembahyang Subuh selepas mengangkat kepala daripada ruku‘ rakaat yang kedua adalah sunat di sisi kami (mazhab asy-Syafi‘e) tanpa ada perselisihan pendapat. (Al-Majmû‘: 3/474)

Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu yang berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa berqunut di dalam sembahyang Fajar (Subuh) sehinggalah Baginda meninggal dunia (wafat). (Hadits riwayat Ahmad)

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata lagi:

Ertinya: Sujud sahwi adalah sunat ketika meninggalkan perkara yang disuruh dan melakukan perkara yang dilarang (di dalam sembahyang). (Mughni al-Muhtâj: 1/282)

Adapun jika imam sembahyang Subuh tidak membaca doa qunut sama ada dia terlupa atau dia bukan bermazhab Syafi‘e seperti keadaan yang berlaku di Tanah Suci Makkah, maka dalam hal ini, adalah disunatkan bagi makmum membaca doa qunut jika dia sempat melakukan sujud bersama-sama dengan imam pada sujud yang pertama dan kemudian disunatkan lagi baginya untuk melakukan sujud sahwi kerana wujud perbezaan sembahyangnya dengan sembahyang imamnya. Jika dia tidak dapat berbuat demikian (membaca qunut dan sujud bersama-sama dengan imam pada sujud yang pertama), maka hendaklah dia mengikut apa yang dilakukan oleh Imam dan kemudian dia disunatkan melakukan sujud sahwi.

Dalam hal ini, Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah berkata:

Ertinya: Jika seorang yang bermazhab Syafi‘e mengikut (berimamkan) seorang yang bermazhab Hanafi di dalam sembahyang Subuh (sedang dia tidak membaca doa qunut kerana di dalam mazhab Hanafi tidak disunatkan membaca doa qunut), (jika) dia (makmum Syafi‘e) dapat membaca doa qunut dan boleh mendapati imam pada sujud pertama, (maka sunat) dia melakukan (perkara tersebut). Jika dia tidak dapat melakukannya, maka tidak (disunatkan dia melakukannya dan batal sembahyangnya jika dia tertinggal dua rukun sembahyang yang panjang). (Walau bagaimanapun) dalam semua hal (tersebut), dia (disunatkan) bersujud sahwi menurut qaul muktamad selepas salam imamnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9738