Persoalan Mengenai Al-Istishhâb (الاستصحاب)
Soalan: Saya adalah seorang penuntut syariah dalam tingkatan enam. Saya ada satu soalan yang sampai sekarang merumitkan saya untuk mengetahui jawapannya. Soalan saya ialah apakah yang dimaksudkan dengan istishhâb?
Di dalam buku ilmu usul fiqh karangan ustaz Abdul Aziz (salah satu buku yang kami gunakan ketika ini) ada mengatakan bahawa pengertiannya adalah seperti berikut: Istishhâb ialah sesuatu perkara atau keadaan dihukum ada pada zaman kedua berdasarkan kepada adanya zaman pertama. Begitulah pengertiannya yang saya kurang faham. Sebetulnya kami belum lagi belajar mengenainya, tetapi ia adalah salah satu tajuk yang menjadi pembentangan saya tidak lama lagi. Saya berharap agar pihak Tuan dapat membantu saya.
Jawapan: Al-istishhâb )االستصحاب( ialah salah satu metode al-istidlâl (mengambil dalil) yang
digunakan oleh ulama ushul fiqh dalam menetapkan hukum. Kehujahannya tidak disepakati di kalangan para ulama. Dalam mazhab asy-Syafi‘e, al-istishhâb digunapakai sebagai salah satu metode al-istidlâl dalam menetapkan sesuatu hukum. (Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm: 4/282, 287)
Ada beberapa definisi al-istishhâb yang dikemukakan oleh para ulama ushul fiqh yang mana pada umumnya membawa pengertian bahawa hukum asal yang sedia ada pada masa lampau akan tetap terus berlaku untuk zaman sekarang atau yang akan datang, selama mana tidak ada dalil yang mengubah hukum itu.
Sebagai contoh masalah penetapan hak milik ke atas sesuatu barang. Jika sesuatu barang itu telah disabitkan menjadi milik seseorang yang telah dimilikinya sama ada melalui pembelian, pewarisan, hibah, wasiat atau sebagainya. Hak Milik itu akan terus berjalan untuk selamanya sehingga ada bukti atau dalil yang menunjukkan adanya pemindahan hak milik. Jadi, jika ada orang lain yang mendakwa bahawa barang itu adalah miliknya, maka dia hendaklah mengemukakan dalil yang menunjukkan adanya pemindahan hak milik barang itu kepadanya. Dalam hal ini tidak cukup sekadar kemungkinan (ihtimâl) adanya penjualan. Contoh yang lain lagi ialah berkenaan dengan orang yang diketahui masih hidup pada masa tertentu. Dia tetap dianggap masih hidup sampai ada bukti kematiannya. Oleh itu orang yang hilang misalnya tetap dianggap masih hidup sampai ada bukti (dalil yang menunjukkan atas kematiannya. Atau setidaknya terdapat petunjuk-petunjuk yang menunjukkan kematiannya. Dengan berdasarkan petunjuk-petunjuk itulah nanti kemudiannya ditetapkan kematiannya. (Ushûl al-Fiqh: 277)
Menurut al-Khawarizmi Rahimahullah bahawa al-istishhâb adalah alternatif terakhir untuk menjadi sandaran dalam berfatwa (setelah tidak didapati sandarannya pada sumber-sumber lain). Seorang mufti jika ditanya tentang suatu masalah, maka dia secara berurutan akan mencari ketetapan hukumnya melalui al-Qur’an, kemudian sunnah, kemudian ijmâ‘ dan kemudian qiyâs. Jika daripada keempat sumber hukum itu tidak didapati juga ketentuan hukumnya, maka baru dia menerapkan dalil al-istishhâb sama ada yang bersifat menafikan (negatif) atau mensabitkan (positif). Jika keraguan berkisar dalam memutuskan sama ada hilang atau tidak hilangnya sesuatu perkara, maka menurut hukum asal ia tetap kekal (tidak hilang). Jika keraguan berkisar dalam memutuskan sama ada sabitnya sesuatu perkara atau tidak, maka menurut hukum asal ia tidak kekal (tidak sabit). (Irsyâd al-Fuhûl: 2/680)
Kaedah Yang Keluar Daripada Prinsip Al-Istishhâb
Berdasarkan al-istishhâb juga, para ahli fiqh mengeluarkan beberapa kaedah fiqhiyyah, iaitu:
Ertinya: Menurut hukum asal adalah kekal apa yang terdahulu sebagaimana adanya sehingga sabit ada sesuatu yang mengubahnya.
Oleh itu orang yang hilang umpamanya adalah dihukumkan masih hidup sehinggalah ada bukti atau dalil yang menunjukkan kepada kematiannya. Dengan itu, harta orang hilang itu tidak difarâ’idhkan dan haknya di dalam harta waris dibekukan sehinggalah disabitkan halnya sama ada hidup atau mati menurut jumhûr ulama.
Ertinya: Hukum asal terhadap sesuatu itu adalah harus.
Berdasarkan kaedah ini adalah dihukumkan sah setiap akad atau tindak-tanduk yang tidak ada dalil syara‘ yang menunjukkan rosaknya atau batalnya akad atau tindak-tanduk itu.
Ertinya: Hukum asal pada tanggungan itu ialah bebas daripada segala beban tanggungan dan kewajipan menunaikan hak.
Oleh itu tidak harus mensabitkan sesuatu tanggungan ke atas seseorang atau menisbahkan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan ada dalil.
Ertinya: Keyakinan tidak hilang dengan keraguan iaitu tidak terangkat hukum sesuatu yang diyakini dengan keraguan.
Oleh itu barang siapa yakin bahawa dia telah berwudhu dan merasa ragu-ragu berhadas, dihukumkan kekal wudhunya itu. (Ushûl al-Fiqh al-Islâmi: 2/900-901)
Oleh kerana persoalan yang ditanyakan di atas memerlukan pembahasan yang panjang, maka ada baiknya Awang merujuk kitab-kitab yang berkaitan dengannya seperti: 1. Al-Mustasyfâ min ‘Ilm al-Ushûl karangan Imam al-Ghazali Rahimahullah. 2. Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm karangan al-Amidi Rahimahullah. 3. Irsyâd al-Fuhûl ilâ Tahqîq al-Haqq min ‘Ilm al-Ushûl karangan asy-Syawkani Rahimahullah. 4. Mashâdir at-Tasyrî‘ al-Islâmi fîma la Nashsh fîh karangan Abdul Wahhab Khallaf Rahimahullah. 5. Ushûl al-Fiqh karangan Imam Muhammad Abu Zahrah Rahimahullah. 6. Ushûl al-Fiqh al-Islâmi karangan Dr. Wahbah az-Zuhaili Hafizahullah. 7. Al-Wajîz fî Ushûl al-Fiqh karangan Dr. Abdul Karim Zaidan Hafizahullah dan lain-lain lagi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9742
