Persoalan Tentang Selawat
Soalan: Saya ingin bertanya beberapa soalan kepada pihak Tuan berhubung dengan beberapa permasalahan dan saya berharap agar pihak Tuan dapat menolong saya, iaitu:
1. Apakah makna sebenarnya selawat? Kenapa Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam? Mengapa kita dikehendaki berselawat banyak-banyak kepada Nabi? Apakah makna sebenar “ اللهم صل علىُممد
2. Ada setengah orang meletakkan Sayyidina Muhammad ketika berselawat, bolehkah?
Jawapan: Makna Selawat
Shalawât ( صلوات ) adalah perkataan Arab berasal daripada kata kerja “shalla” yang bererti telah bersembahyang. Ianya mengandungi persamaan dengan sembahyang dari sudut memuji-muji, di mana di dalam sembahyang kita memuji-muji Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedangkan dalam selawat kita memuji-muji Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dari segi bahasa pula, selawat bererti doa serta pengurniaan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Kenapa Allah Dan Para Malaikatnya Berselawat Kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam?
Di dalam ayat 56 surah al-Ahzâb, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan para malaikatNya berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara selawat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan selawat para malaikat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Abu al-‘Aliyah menafsirkan selawat Allah kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan ats-tsanâ’ (الثناء) yang bererti pujian terhadap Baginda. Sedangkan selawat para malaikat ditafsirkan dengan doa mereka untuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Penafsiran ini ada disebutkan juga oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya Shahîh al-Bukhari.
Imam al-Bukhari setelah menyebut tentang penafsiran Abu al-‘Aliyah, menukilkan pula penafsiran Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma iaitu: Selawat para malaikat bererti memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar Dia memberikan barakah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan selawat Allah kepada NabiNya ditafsirkan dengan pengampunan dan kasih sayang.
Persoalan mengapa Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan para malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam terjawab dengan memahami pengertian di atas.
Kelebihan Berselawat
Sementara itu kita dikehendaki berselawat banyak-banyak kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana terdapat banyak kelebihan atau keutamaan yang akan kita perolehi daripada amalan berselawat itu. Antaranya kelebihan yang dinyatakan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat, dan akan dihapuskan daripadanya sepuluh dosa, dan diangkat baginya sepuluh darjat. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Antara kelebihan yang boleh kita perolehi juga, sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al- Baihaqi menyebutkan:
Maksudnya: Selawat umatku dihadapkan kepadaku pada setiap hari Jumaat, maka sesiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dialah yang akan mempunyai kedudukan yang paling dekat kepadaku. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Antara hadits yang menyebutkan tentang kelebihan berselawat itu juga ialah:
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang lebih utama denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam Shahîhnya)
Inilah antara hadits-hadits yang menyebutkan tentang kelebihan berselawat dan sebab itulah kita dikehendaki berselawat seberapa banyak yang boleh.
Kewajipan Berselawat
Di samping itu, kita dapat mengetahui betapa pentingnya selawat itu disebut selalu apabila kita melihat kepada waktu-waktu yang kita dituntut supaya membaca selawat padanya, iaitu:
Pertama: Sesudah azan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar muadzdzin melaungkan azan, katakanlah (sambutlah bacaan azan itu) seperti yang dikatakannya, kemudian berselawatlah kamu kepadaku. (Hadits riwayat Muslim)
Kedua: Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan hendak keluar darinya.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, maka hendaklah dia mengucapkan salam kepada Nabi (membaca selawat dan salam), kemudian hendaklah dia membaca: َ َ رَمحَْتك ْ ِلأَبـْوَاب َّ افـْتَح اَللهُم (wahai Tuhanku, bukakanlah untukku segala pintu rahmatMu), dan apabila dia hendak keluar, hendaklah dia membaca (selepas berselawat): أَسْأَلُك َ من ْ فَضْلك (wahai Tuhanku, aku memohon kepadaMu limpahan rahmatMu).
(Hadits riwayat Abu Daud) Ketiga: Ketika membaca tahiyyat akhir di dalam sembahyang. Menurut mazhab Syafi‘e, selawat adalah wajib dibaca pada tahiyyat akhir di dalam sembahyang. Bermakna, sembahyang tidak sah kalau tidak dibaca selawat dalam tahiyat akhir. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu bertasyahhud di dalam sembahyang, maka hendaklah dia mengucapkan َ (Hadits riwayat al-Baihaqi) Keempat: Di dalam sembahyang jenazah. Kelima: Di antara takbîr-takbîr sembahyang Hari Raya. Keenam: Pada permulaan doa dan akhirnya. Ketujuh: Ketika hendak memulai sesuatu urusan penting. Kelapan: Pada akhir qunut. Kesembilan: Pada malam hari Jumaat dan siangnya. Kesepuluh: Di dalam khutbah. Menurut mazhab Syafi‘e, para khatib wajib membaca selawat untuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada permulaan khutbah, sesudah membaca tahmîd. Kesebelas: Ketika berziarah ke makam Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kedua belas: Setelah selesai membaca talbiyah. Ketiga belas: Ketika telinga berdengung. Keempat belas: Pada setiap kali mengadakan majlis. Kelima belas: Tatkala ditimpa kesusahan dan kerisauan. Keenam belas: Pada setiap pagi dan petang.
Ketujuh belas: Ketika berjumpa dengan sanak saudara dan kawan-kawan.
Kelapan belas: Ketika mendengar orang lain menyebut nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Inilah tempat-tempat dan waktu-waktu yang ditentukan oleh syara‘, supaya kita berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika kita berada pada tempat, waktu atau keadaan tersebut.
Adapun makna sebenar “اللهم صل على ُممد وعلى آل ُممد ” itu ialah: “Ya Allah, mohon turunkan rahmatMu ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad”.
Hukum Membaca Sayyidina
Menurut kitab-kitab fiqh yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘e, meletakkan atau membaca “sayyidina” sebelum membaca nama Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berselawat adalah afdhal yakni lebih baik, kerana yang demikian itu bererti menghormati dan memuliakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Syeikh Syamsuddin ar-Ramli di dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj mengatakan: “Dan yang lebih afdhal ialah menambah lafaz “sayyidina” seperti mana yang dikatakan oleh Ibnu Zhahirah dan dikatakan sejelas-jelasnya oleh sekumpulan ulama, dan dengannya juga difatwakan oleh pengarang kitab ini, kerana di dalamnya (dengan menambah “sayyidina” dalam selawat), kita telah mengerjakan perintah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan telah mengucapkan yang benar iaitu bercakap dengan sopan dan beradab. Membaca “sayyidina” lebih afdhal daripada tidak membacanya.” (Nihâyah al-Muhtâj: 1/530)
Di dalam kitab Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj karangan al-‘Allâmah Ibnu Qasim al-‘Abbadi menyebutkan: “dan Syeikh Jalaluddin al-Mahalli memegang teguh fatwa yang mengatakan bahawa yang lebih afdhal adalah menambah “sayyidina”, dan fatwa ini dihuraikannya dengan panjang lebar tetapi bukan di dalam kitabnya Syarh al-Minhâj dan dia berkata: “Adapun hadits yang mengatakan “janganlah kamu bersayyidina kepadaku dalam sembahyang” adalah hadits mungkar yang dibuat-buat (hadits Maudhû‘)”. (Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj: 2/86-87)
Daripada keterangan al-‘Abbadi ini ternyata bahawa Syeikh Jalaluddin al-Mahalli memfatwakan membaca “sayyidina” adalah afdhal, dan hadits yang mengatakan “jangan bersayyidina kepadaku dalam sembahyang” adalah hadits yang dibuat-buat oleh pembohong.
Tersebut di dalam kitab Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj juga: “dan telah masyhur fatwa yang mengatakan bahawa lebih baik ditambah “sayyidina” sebelum menyebut nama Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj: 2/86)
Di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn ada menyebutkan: “Dan adalah lebih baik mengucapkan “sayyidina” sebelum nama Nabi, kerana yang afdhal adalah bersopan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam”. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/274-275) Inilah di antara nash-nash ulama di dalam kitab-kitab fiqh yang mu‘tamad yang sepakat dalam hal-hal berikut: 1. Membaca “sayyidina” dalam selawat adalah lebih afdhal. 2. Membaca “sayyidina” itu adalah dengan maksud menghormati dan memuliakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 3. Mengucapkan selawat tanpa menambah “sayyidina” itu boleh, tetapi kurang sopan. 4. Bersopan dan beradab kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah suatu hal yang pokok dalam agama Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9750
