Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Restoran Bukan Islam Yang Menjual Daging Halal

Soalan: 1. Bolehkah saya memakan makanan seperti kentang goreng (french fries), burger ikan (fillet-o-fish), pai dan makanan-makanan lain selain babi/khinzîr, ayam dan daging yang tidak disembelih, anjing dan haiwan-haiwan yang haram dimakan di restoran KFC dan Mc Donald yang ada di negara kafir? Saya ragu-ragu untuk membeli, kerana saya khuatir makanan itu tidak boleh dimakan kerana disediakan di dapur yang sama untuk makanan babi dan makanan haram yang lain. Saya berharap pihak tuan dapat berikan penjelasan yang detil mengenai masalah ini.

2. Di restoran Pizza Hut, bolehkah saya memakan pizza sayur-sayuran yang tidak ada daging babi mahupun daging binatang-binatang haram yang lain? Saya cuma khuatir kerana pizza tersebut tentulah disediakan di dalam dapur yang sama yang menghidangkan pizza daging babi/khinzîr.

3. Sekiranya di restoran KFC di negara kafir ini mengadakan minggu daging halal di mana restoran KFC tersebut mengatakan ayam-ayam yang dihidangkan pada minggu tersebut disembelih mengikut cara Islam, bolehkah saya memakan ayam-ayam yang dikatakan halal oleh pihak restoran KFC tersebut? Saya juga turut khuatir kerana ayam-ayam tersebut tentulah disediakan di dapur yang sama yang menyediakan daging babi dan binatang haram yang lain.

4. Apakah saya boleh memakan makanan yang dijual di restoran makanan yang lain yang menjual daging halal tetapi pada masa yang sama menjual daging haram untuk hidangan makanan tengahari dan makan malam?

Jawapan: Restoran yang pengurus dan tukang masaknya terdiri daripada bukan Islam, pada kebiasaannya mereka itu tidak mengetahui apa-apa cara penyediaan makanan yang halal dimakan oleh orang Islam. Di negeri mereka sudah setentunya tidak terikat dengan pemakanan yang halal dalam Islam.

Untuk lebih jelas, restoran atau kedai makan yang dipunyai oleh orang Islam, atau pengurusnya orang Islam, akan tetapi tukang masaknya orang bukan Islam, juga dianggap sebagai masakan bukan orang Islam, kerana orang bukan Islam itu tidaklah mereka itu mengetahui apa-apa berkenaan dengan halal dan haram, juga tentang suci dan najis. Oleh itu masakan mereka (yang bukan Islam itu) adalah syubhah. Sungguhpun yang empunya dan pengurus restoran atau kedai makan itu orang Islam, dalam makna kuasa mentadbir sepatutnya memang berada pada tangan orang Islam, namun pelaksanaan dan kerja memasak oleh orang bukan Islam itu tetaplah meragukan, berdasarkan yang orang bukan Islam itu adalah tidak mengetahui apa-apa berkaitan dengan selok-belok hukum; mana halal dan mana haram, mana suci dan mana najis, mana mutanajjis bahan-bahan yang hendak dimasak itu dan lain-lain.

Perlu diambil perhatian bahawa sesuatu yang syubhah boleh sahaja bertukar menjadi haram sekiranya seseorang Islam melihat sendiri, atau diberitahu oleh orang Islam yang ‘âdil bahawa masakan itu dicampur dengan benda haram, seperti binatang halal yang tidak disembelih menurut cara Islam atau dicampur dengan arak dan seumpamanya, maka haramlah bagi orang Islam memakan makanan itu.

Jadi restoran atau kedai makan milik orang bukan Islam, atau yang pengurusnya orang bukan Islam, sekalipun tukang masaknya orang Islam, maka restoran atau kedai makan seperti ini adalah dikategorikan sebagai menyedia dan membekalkan makanan yang syubhah. Ini kerana pemilik dan pengurus bukan Islam itu dianggap tidak mengetahui apa-apa tentang hukum halal, haram, suci, najis, mutanajjis dan lain-lain. Mereka ini berkuasa di restoran mereka. Mereka boleh sahaja memasukkan apa-apa yang dikehendaki oleh mereka, seperti memasuk atau mencampurkan bahan-bahan yang tidak halal ke dalam masakan.

Perbuatan restoran atau kedai makan menggantung itik yang dipulas atau dicucuk leher, mempamerkan daging khinzîr, menghidangkan arak, atau ia (restoran atau kedai makan) itu memang telah dikenali sebagai menghidangkan benda-benda yang tidak halal, adalah semua itu menjadi tanda atau bukti mutlak bahawa restoran atau kedai makan tersebut menghidangkan bahan-bahan yang tidak halal yang haram bagi orang-orang Islam memakannya.

Adapun dakwaan orang bukan Islam atau persaksian mereka tentang suatu makanan itu halal, adalah dakwaan atau persaksian yang sama sekali tidak diakui oleh syara‘, kerana mereka tidak memenuhi persyaratan sebagai orang yang boleh diterima dakwaan, ikrar dan persaksiannya. Jadi dakwaan orang bukan Islam tentang produk makanannya adalah tidak boleh diterima dan diakui begitu sahaja.

Makanan yang dihidangkan di restoran bukan Islam, paling tidak, ia adalah syubhah, kerana percampuran antara bahan halal dan tidak halal atau antara daging halal dan bukan halal boleh sahaja terjadi, termasuk alat-alat atau perkakas yang najis dan tidak najis yang boleh bermasuk-masukkan atau lain-lain sebab yang boleh membawa kepada syubhah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9758